SharpShooter Followers

Thursday, July 02, 2015

JINGGA 13 KECAM KENAIKAN HARGA MINYAK, DESAK KERAJAAN BERI PENJELASAN

Kenyataan Media
JINGGA13 Malaysia

2 Julai 2015

JINGGA 13 KECAM KENAIKAN HARGA MINYAK, DESAK KERAJAAN BERI PENJELASAN

JINGGA 13 mengecam tindakan kerajaan  menaikkan harga minyak 10 sen bg RON95 dan 20 sen bg RON 97 setelah memberikan bonus sebanyak RM500 kepada kakitangan awam. Tindakan menaikkan harga minyak ini seolah-olah merupakan galang ganti sebagai menampung kembali pemberian bonus tersebut yang akhirnya memberikan kesan sepenuhnya kepada rakyat sedangkan harga minyak mentah dunia adalah menurun  dan turut dirasai dari kejatuhan mata wang Ringgit.

Malah rakyat sudah pun terbeban dengan kenaikan harga barang dan GST.  Rakyat terpaksa membayar harga yang mahal akibat urus tadbir kerajaan yang lemah dan kegagalan DS Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

JINGGA 13 juga mempersoalkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek yang mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan lagi mengumumkan harga baru petrol pada hari terakhir setiap bulan, sebaliknya pengguna hanya akan mengetahui harga baru sama ada berubah atau kekal pada tengah malam.

Jika sebelum ini kerajaan akan memaklumkan terlebih dahulu melalui media beberapa hari sebelum kenaikan minyak dibuat, mengapakah sekarang ini pihak kerajaan cuba untuk berbuat sebaliknya? Adakah ianya polisi baru yang diamalkan oleh kerajaan sebagai cara untuk melepaskan diri daripada berhadapan dengan bantahan rakyat?

Rakyat juga perlukan penjelasan berhubung dengan perkara-perkara ini memandangkan tindakan-tindakan kerajaan ini dilihat semakin merugikan rakyat dari sehari ke sehari dan memberikan tekanan serta kesan negatif khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin berikutan kenaikan tersebut , lebih-lebih lagi dalam suasana umat Islam berdepan dengan Ramadhan dan persiapan menyambut Idul Fitri.

JINGGA 13 juga menyokong penuh pemfailan rang undang-undang persendirian untuk mewujudkan Tabung Penstabilan Harga Minyak di Parlimen dalam sesi akan datang. Ini kerana kewujudan Tabung Penstabilan Harga Minyak tersebut adalah berkaitan dengan kebajikan rakyat.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

FARIZ MUSA
Ketua Koordinator
JINGGA13 Malaysia