Muhyiddin digesa jumpa Agong pohon lucut jawatan Najib
Bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa timbalan perdana menteri agar bertemu Yang Di Pertuan Agong bagi memohon pelucutan jawatan perdana menteri. Bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menggesa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar bertemu Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pelucutan jawatan Datuk Seri Najib Razak sekurang-kurangnya buat sementara waktu dan seterusnya memangku jawatan perdana menteri.
Husam menggesa agar Muhyiddin bersama Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memohon mengadap ke bawah duli bagi membuat permohonan itu demi "membolehkan siasatan dan tindakan yang bebas dapat diambil" terhadap dakwaan aliran wang lebih RM2.3 bilion ke dalam akaun Najib.
"Ketika peguam negara membuat kenyataan melihat sendiri dokumen-dokumen berkaitan dan mengarahkan serbuan dibuat ke atas syarikat berkaitan, negara kita sepatutnya diambil alih seorang PM yang baharu atau paling kurang pemangku PM.
"Sesuatu mesti dilakukan semua pihak dalam negara kita untuk memaksa PM melepaskan tanggungjawab dan kuasanya setidak-tidaknya untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan tindakan yang bebas dapat diambil," kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu.
Husam turut menggesa ahli-ahli Parlimen sedia ada tanpa mengira fahaman politik memberikan sokongan mereka kepada Muhyiddin bagi mengambil alih jawatan itu daripada Najib.
Pada masa sama katanya, Muhyiddin perlu menjamin satu tindakan undang-undang akan dilaksanakan tanpa pilih kasih, apabila memangku jawatan itu.
"Ahli Parlimen seluruhnya perlu menunjukkan sikap patriotik mereka termasuk memberikan sokongan kepada TPM untuk mengambil alih negara daripada Najib sekalipun mereka adalah daripada parti-parti di luar kerajaan.
"Tan Sri Muhyiddin juga perlu menjamin suatu tindakan undang-undang diambil tanpa mengira kedudukan dan pangkat.
"Lebih banyak malapetaka akan berlaku jika tindakan segera tidak diambil," katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan sebab Najib tidak membuat sebarang laporan polis bagi membersihkan namanya ekoran dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang mendakwa beliau menerima wang itu di dalam akaun peribadinya di AmBank.
"Najib hanya menyatakan peguam-peguamnya akan memberikan nasihat kepadanya tentang tindakan yang sepatutnya diambil beliau.
"Kenapa begitu lambat peguam-peguamnya memberikan nasihat dan cadangan tindakan yang perlu dilakukan beliau.
"Najib perlu melakukan pembelaan dirinya dari pada semua tuduhan tuduhan yang dilakukan The Wall Street Journal dan Sarawak Report.
"Langkah yang pertama yang sepatutnya dilakukan Najib ialah membuat laporan polis ke atas WSJ dan SR," katanya dalam kenyataan hari ini.