Srikandi KEADILAN hari ini kesal dengan insiden yang tercetus di
antara ahli panel jemputan Puan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin
dan saudari Bawani KS yang merupakan pelajar jurusan undang-undang di
UUM apabila pelajar itu dimalukan dalam satu sesi Forum Dialog Mahasiswa
Suara Perubahan yang dianjurkan oleh pihak universiti.
Semua sedia maklum bahawa program yang dihadiri oleh Saudari Bawani
KS ialah sesi forum dialog yang pengisiannya pastilah berkisar kepada
pemahaman dan sesi soal jawab.
Srikandi
yang meneliti persoalan yang cuba dibangkitkan oleh saudari Bawani KS
dalam program itu melihat bahawa Bawani cuba untuk menyuarakan pendapat
dan persoalan yang jelas berkaitan dengan pemasaalahan yang dekat dengan
generasi muda hari ini.
Puan Sharifah telah memperlihatkan ketidakmatangan beliau dalam
berhadapan dengan kenyataan dan persoalan yang diberikan oleh Bawani.
Srikandi melihat ia sebagai satu sikap yang biadap, tidak matang dan
tidak profesional. Persoalannya jelas, Bawani bicara soal isu yang
menekan mahasiswa , isu yang membelenggu mahasiswa namun jawapan yang
diberikan hanyalah #listen!
Untuk itu dalam ruang demokrasi di negara ini yang dilihat semakin
tercemar dengan budaya “Diam dan Dengar” ia menjelaskan bagaimana suara
rakyat tanpa mengira siapa pun jika yang dibangkitkan itu ialah soal
kelemahan kerajaan maka ia harus “ didiamkan”.
Srikandi mengambil pendirian bahawa Bawani berhak diberikan ruang
tanpa dimalukan dan mendesak Sharifah Zohra dalam kadar segara memohon
maaf kepada Bawani dan seluruh mahasiswa.
Puan Sharifah Zohra yang merupakan Presiden Suara Wanita 1 Malaysia
(SW1M) adalah lambang kepada budaya pembodohan Umno BN yang selama ini
menanam rasa ego kuasa yang akhirnya melenyapkan kesantunan bahasa dan
budaya Melayu.
Mungkin Puan Sharifah harus diingatkan bahawa dia bakal berhadapan
dengan ribuan anak muda yang tidak akan hanya “diam dan dengar” tetapi
akan bangkit bersama dalam mempertahankan hak mereka.
Kepada saudari Bawani KS, Srikandi KEADILAN mengutus salam tahniah
diatas keberanian dan ketegasan beliau dalam menyuarakan pendapatnya
tanpa mengira siapa.
Ini keberanian yang harus didokong dan dicontohi oleh semua anak muda
terutamanya wanita muda Malaysia tanpa mengira latar belakang dan siapa
kita dalam menyuarakan hak dan pendapat kita.Ini masa untuk generasi
muda bangkit dengan prinsip bahawa budaya biadap dan usaha pembodohan
ini harus ditolak!
Siti Aishah Shaik Ismail
Ketua Srikandi KEADILAN Malaysia
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/