SharpShooter Followers


Thursday, September 24, 2015

PERUTUSAN AIDILADHA

PERUTUSAN AIDILADHA PRESIDEN KEADILAN 1436H/2015

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd.

Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kesempatan yang diberikan kepada kita untuk merayakan AidilAdha bagi tahun 1436 Hijrah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Kepatuhan dan ketaatan Nabi Ibrahim tiada tolok bandingnya yang telah menjadikan Baginda sebagai pemimpin contoh yang terulung dan terhebat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya.

(Setelah itu) Allah berfirman lagi: 'Sesungguhnya Aku melantik mu menjadi Imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia'. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: '(Ya Tuhan ku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunan ku (pemimpin-pemimpin ikutan)'. Allah menjelaskan lagi: '(Permohonan mu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim". (Surah Al-Baqarah:124)

Mengambil iktibar daripada peristiwa Korban ini, kita harus memperkukuhkan muafakat rakyat untuk berhadapan dengan penguasa yang zalim, yang mempelopori politik perkauman untuk mengapi-apikan permusuhan, yang mengamalkan politik korupsi serta pincang dalam menjalankan amanah mentadbir ekonomi negara dengan baik.

Kesungguhan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat, melepaskan mereka dari belenggu kemelesetan ekonomi dan mengelakkan negara terjerumus ke jurang perkauman, harus menjadi keutamaan kita.

Justeru, kita harus menyelami erti pengorbanan sebenar, iaitu berjuang penuh keikhlasan dengan mengetepikan kepentingan peribadi, kelompok, puak dan sebagainya, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pencapaian perjuangan kita.

Aidiladha juga mengajar erti pengorbanan, kesungguhan dam kesetiaan kita, sama ada terhadap Pencipta kita, mahu pun kepada sahabat handai dan rakan seperjuangan kita.

Mudah-mudahan Allah merestui perjuangan kita.

Salam Aidiladha buat seluruh umat Islam Malaysia daripada kepimpinan dan akar umbi KEADILAN, moga
ibadah korban kita diterima.

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walillahilhamd.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
DATUK SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
10 Zulhijjah 1436H