SharpShooter Followers

Sunday, July 24, 2016

SOAL-JAWAB ISU 1MDB UNTUK PANDUAN PAKCIK-PAKCIK DI KAMPUNG #1MDB

*SOAL-JAWAB ISU 1MDB UNTUK PANDUAN PAKCIK-PAKCIK DI KAMPUNG*

*1. AMERIKA NAK RAMPAS HARTA 1MDB NI. INI SATU CAMPURTANGAN ASING!*

Macam ni pakcik. Pakcik ada dengar Amerika nak rampas tanah 1MDB di airport TUDM Sg. Besi? Tanah 1MDB di Jalan Tun Razak?

Ada Amerika nak rampas tanah-tanah milik 1MDB di Malaysia? Tiada kan? Amerika hanya nak rampas harta hasil pendapatan filem Hollywood bertajuk "The Wolf of Wall Street". Sebab itulah dalam kertas pendakwaan, defendan atau pihak yang disaman ialah "The Wolf of Wall Street" Motion Picture.

Filem ini dikatakan dibuat hasil daripada penggubahan wang haram yang melalui institusi-institusi kewangan di Amerika. Harta hasil pendapatan filem ini juga dimiliki oleh sebuah syarikat yang didaftarkan di Amerika sana, bukan di Malaysia. Ada 17 harta yang disenaraikan, termasuklah hotel di Beverly Hills. Beverly Hills ini kawasan tempat tinggal pelakon dan penyanyi pakcik.

Di Amerika sana, pelakon & penyanyi kaya-kaya, bukan macam di sini. Ada juga jet peribadi. Kalau kita dapat jet ini karang, kita trylah naik ramai-ramai untuk pergi haji. Lagipun, yang mula-mula menyiasat benda ini bukannya orang Amerika pakcik, tapi orang Melayu kita juga.

Pakcik ingat tak Timbalan Pendakwa Raya SPRM yang ditahan? Melayu dia tu. Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis yang ditukar? Melayu. Peguam Negara yang ditamatkan perkhidmatan atas sebab 'kesihatan', Melayu.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM yang ditukar, Melayu. Pengarah Komunikasi Strategik Khas SPRM yang ditukar, Melayu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM yang disuruh 'bercuti', Melayu. Pegawai SPRM yang solat hajat beramai-ramai pun, Melayu semuanya pakcik.

Siapa tahu mungkin ini sebenarnya campurtangan kuasa Allah Taala hasil daripada solat hajat mereka?
-----------------------------------------------------------------------------
*2. HABIS TU APA KENA-MENGENA FILEM 'WOLF' INI DENGAN 1MDB?*

Filem 'Wolf' ini, dibuat oleh syarikat milik anak angkat PM kita, nama dia Riza Aziz. Tahun 2012, syarikat si Riza ini dapat duit daripada 1MDB sebanyak USD238 juta, iaitu kira-kira RM741.6 juta pakcik.
-----------------------------------------------------------------------------
*3. DAH TU BIARLAH 1MDB NAK BAGI BERAPA BANYAK PUN. DUIT SYARIKAT, SYARIKAT PUNYA SUKALAH.*

Masalahnya pakcik, 1MDB telah mengisytiharkan kepada umum, bahawa ia tidak memiliki apa-apa kepentingan atau pelaburan terhadap syarikat Riza Aziz. Jadi kalau tiada apa-apa kepentingan, buat apa pula nak bagi RM741.6 juta, kan pakcik?
-----------------------------------------------------------------------------
*4. MACAMANA KAU TAHU SI RIZA NI DAPAT DUIT TU. PANDAI-PANDAI SAJA KAU FITNAH BUDAK TU.*

Sebab si Riza ini, dia simpan duit dalam bank, pakcik. Dia tak simpan duit bawah tilam. Jadi, bank ada rekod duit-duit itu masuk ke akaun syarikat dia sebanyak 3 kali:

18 Jun 2012: USD133 juta (RM419.9 juta)
23 Okt 2012: USD60 juta (RM183.5 juta)
14 Nov 2012: USD45 juta (RM138.2 juta)
JUMLAH: USD238 juta (RM741.6 juta)

Duit-duit ini pula, dipindahkan daripada akaun bank Switzerland, ke akaun bank Singapura. Jadi negara Switzerland simpan rekod, negara Singapura pun simpan rekod.
-----------------------------------------------------------------------------
*5. 700 JUTA PULA. DULU BUKANKAH DAH TERBUKTI DUIT TU DERMA, APA NAMA TU, YANG 2.6 BILION TU?*

Memang betul pakcik, SPRM sendiri telah menyatakan pada Ogos 2015, bahawa hasil siasatan mereka mengenai duit RM2.6 bilion itu ialah: duit itu duit derma. Kemudian, keluar pula video Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, yang orang kata mengesahkan bahawa derma itu datang daripada keluarga diraja Arab Saudi. 'Orang kata'.

Cuba pakcik dengar balik video itu. Menteri Arab ini kata:

*WARTAWAN*: "Tuan. Uh, adakah anda maklum tentang latarbelakang <tidak dapat didengar>, mengenai <tidak dapat didengar> sumbangan kepada Perdana Menteri Malaysia?"

("Your Excellency. Uh, are you aware of the background of <inaudible>, upon the <inaudible> donation to the Prime Minister of Malaysia?")

*MENTERI LUAR ARAB SAUDI* :

"Kami sedia maklum tentang, tentang sumbangan tersebut. Dan ia adalah sumbangan yang ikhlas, dengan uh, tiada apa diharapkan sebagai balasan. Uh, kami juga sedia maklum bahawa Peguam Negara Malaysia telah menyiasat perkara ini dengan teliti dan tidak menemui sebarang kesalahan jadi bagi kami perkara ini telah ditutup."

_("We are aware of the, the donation. And it is a genuine donation, with uh, nothing expected in return. Uh, we are also fully aware that the Attorney-General of Malaysia has thoroughly investigated the matter and found no wrongdoing so as far as we're concerned this matter was closed.")_

Saya nak tanya pakcik: dalam kenyataan Menteri Arab ini, ada tak dia sebut jumlah sumbangan, dan ada tak dia kata bahawa sumbangan itu datangnya daripada keluarga diraja Arab Saudi? Sebab dalam kertas pendakwaan Amerika, Amerika kata duit RM2.6 bilion itu dipindahkan daripada akaun milik Eric Tan Kim Loong, bukan milik keluarga diraja Arab Saudi. Pakcik juga kena ingat: duit RM2.6 bilion itu, bukan duit yang masuk ke akaun si Riza ya? Duit RM2.6 bilion itu ialah duit yang dimasukkan ke dalam akaun orang lain, iaitu 'Malaysian Official 1'.

Memang ada orang-orang upahan yang berhempas pulas mahu seluruh rakyat Malaysia menumpukan perhatian kepada isu sumbangan RM2.6 bilion, supaya mereka lupa berbilion-bilion ringgit yang lain, contohnya:

*A. Pinjaman Palsu USD700 Juta Oleh PetroSaudi Holdings*

USD700 juta ini bukannya kes 'sumbangan' RM2.6 bilion, ya pakcik? USD700 juta ini bersamaan dengan RM2.4 bilion pada tarikh duit itu dipindahkan. Ceritanya macam ni: PetroSaudi Holdings ini, sekali dengar ada bunyi 'Petro' di hadapan, ada nama 'Saudi' di belakang, terus orang anggap "Ini 'Petronas' bagi Arab Saudi agaknya, syarikat minyak nasional Arab Saudi". Salah tu pakcik.

Syarikat minyak nasional bagi kerajaan Arab Saudi ialah Saudi Aramco. PetroSaudi Holdings ini hanya sekadar syarikat persendirian sahaja, baru-baru ditubuhkan pula tu. Syarikat ini ditubuhkan bisnesman bernama Tarek Obaid, dan ada kaitan dengan Turki bin Abdullah, anak kepada almarhum Raja Abdullah, raja Arab Saudi yang baru meninggal tahun lepas. Adakah bila berurusan dengan syarikat yang 'ada kaitan' dengan anak raja, maka ia bermakna berurusan dengan kerajaan?

Pakcik kena faham: almarhum Raja Abdullah ada 19 orang anak. Yang menggantikan almarhum jadi raja pula bukan anak beliau, tapi adik tiri beliau. Jadi faham-faham sahajalah kedudukan anak-anak almarhum, tak banyak manapun pengaruh mereka ke atas keputusan kerajaan Arab Saudi.

PetroSaudi Holdings ini dikatakan telah bagi pinjaman sebanyak USD700 juta kepada syarikat usahasama 1MDB-PetroSaudi Limited. Masalahnya, PetroSaudi Holdings tak pernah pun bagi duit tu, tapi 1MDB-PetroSaudi Limited diminta untuk bayar balik. Macam ada Ah Long datang minta hutang daripada pakcik, tapi pakcik tak pernah pinjam pun daripada Ah Long tu.

Tapi sebab pakcik dah tua dan pelupa, pakcik pun bayarlah sahaja. Lebih malang lagi, bila pakcik bayar, pakcik tak pula bayar terus kepada si Ah Long tu. Tapi pakcik bagi pula duit itu kepada Ah Pek, anak si Ah Long. Si Ah Pek kemudiannya bawa duit itu untuk berjoli.

Samalah macam 1MDB-PetroSaudi Limited ini. Dia sebenarnya tak berhutang, tapi dia bayar juga. Bila bayar, dia tak bayar terus kepada PetroSaudi Holdings, tapi kepada Good Star Limited, syarikat lain milik seseorang bernama Jho Low.

Ini namanya bangang bertimpa-timpa ni pakcik. Daripada USD700 juta ini, Amerika ada rekod bahawa sejumlah USD20 juta telah dimasukkan ke akaun 'Malaysian Official 1':
23 Feb 2011: USD10 juta (RM30.5 juta)
13 Jun 2011: USD10 juta (RM30.3 juta)
JUMLAH: USD20 juta (RM60.8 juta)

Peguam Negara sendiri menyatakan bahawa akaun ini milik 'Malaysian Official 1'. Bukan saya yang kata, pakcik.

*BUKTI DIPERLUKAN*:

a. Dokumen/rekod kiriman wang Deutsche Bank (Malaysia) Berhad bertarikh 30 September 2009 sebanyak USD700 juta kepada akaun milik Good Star (Seychelles) Limited bernombor 11116073 di RBS Coutts Bank Limited (kini Coutts & Co. Limited).
b. Dokumen/rekod bayaran fi broker kepada akaun bernombor 7573800 di J. P. Morgan (Suisse) SA.

STATUS SIASATAN: Tiada maklumat siasatan.
-----------------------------------------------------------------------------
*B. Penjualan Harta Bukan Milik Sendiri Oleh PetroSaudi Holdings*

PetroSaudi Holdings dituduh menjual harta yang bukan miliknya kepada 1MDB-PetroSaudi Limited. Harta berkenaan sebenarnya dimiliki oleh syarikat lain, iaitu Buried Hill Energy.

Ceritanya macam ini pakcik. Pakcik nak beli satu bidang tanah daripada Ah Long. Pakcik pun bayar duit kepada Ah Long. Bila pakcik pergi ke pejabat tanah, pegawai bagitau pakcik, tanah itu sebenarnya bukan Ah Long yang punya. Jadi pakcik pun terpinga-pinga: duit dah habis, tanah tak dapat.

*BUKTI DIPERLUKAN*:

a. Dokumen perjanjian usahasama 1MDB-PetroSaudi Limited bertarikh 28 September 2009.
b. Dokumen perjanjian pembelian aset oleh PetroSaudi Holdings bertarikh 4 Julai 2009.
c. Rekod pembatalan perjanjian pembelian aset oleh PetroSaudi Holdings bertarikh 23 November 2009.

*STATUS SIASATAN*: Tiada maklumat siasatan.
-----------------------------------------------------------------------------
*C. Pecah Amanah RM42 Juta Ke Akaun Peribadi*

Ini lagi satu duit yang tidak termasuk dalam kes 'sumbangan' RM2.6 bilion, tapi rakyat 'lupa' nak tanyakan. Bila rakyat 'lupa', jawabnya senyap sajalah. Duit sebanyak RM42 juta daripada SRC International Sdn. Bhd. (kini anak syarikat Kementerian Kewangan Malaysia) telah didakwa dilupuskan ke dalam sebuah akaun peribadi. Ini benda paling senang nak terangkan kepada pakcik. Macam pakcik kerja di pejabat, pakcik nampak duit majikan, pakcik ambil duit tu, masuk poket pakcik. Senang nak faham, kan?

*BUKTI DIPERLUKAN*:

a. Borang permohonan kiriman wang Affin Bank Berhad bertarikh 26 Disember 2014 sebanyak RM5 juta kepada akaun bernombor 2112022011880 di AmIslamic Bank Berhad.

b. Borang permohonan kiriman wang Affin Bank Berhad bertarikh 26 Disember 2014 sebanyak RM27 juta kepada akaun bernombor 2112022011880 di AmIslamic Bank Berhad.

c. Borang permohonan kiriman wang Affin Bank Berhad bertarikh 10 Februari 2015 sebanyak RM10 juta kepada akaun bernombor 2112022011880 di AmIslamic Bank Berhad.

*STATUS SIASATAN*: Siasatan "masih berjalan oleh SPRM."
-----------------------------------------------------------------------------
*6. OKLAH. PAKCIK ADA SOALAN LAST NI. SIAPA DIA 'MALAYSIAN OFFICIAL 1'?*

Ok pakcik, kertas pendakwaan Amerika kata 'Malaysian Official 1' ini ialah:

i. Pegawai berjawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia;
ii. Berjawatan tinggi dalam 1MDB. Berkuasa melantik dan menyingkir ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Sebarang komitmen kewangan 1MDB memerlukan kelulusan beliau;
iii. Ahli keluarga kepada Riza Aziz.

PM pun sudah berjanji "kita akan beri kerjasama yang sepenuhnya dengan semua badan siasatan peringkat antarabangsa". Jadi kita sama-sama nantikan kerjasama dari insan bernama NAJIB RAZAK.