Rakyat Malaysia menyambut kedatangan tahun 2017 dengan kenaikan harga petrol dan diesel. Pada 1 Januari 2017 yang lepas harga runcit petrol RON95 dan diesel naik sebanyak 20 sen. Manakala harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 15 sen. Tambah mendukacitakan apabila kedatangan Tahun Baru Cina tahun ini juga disambut dengan kenaikan harga bahan bakar.
Berkuat kuasa 1 Februari 2017 harga runcit petrol 95 dan 97 naik sebanyak 20 sen. Manakala harga runcit diesel meningkat sebanyak 10 sen. Ini bermakna sepanjang bulan pertama dan kedua tahun ini rakyat Malaysia telah dibebankan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 40 sen, diesel sebanyak 30 sen dan RON97 sebanyak 35 sen.
Kenaikan harga bahan bakar bagi bulan Februari adalah tidak munasabah.
Ini kerana dua faktor utama yang menjurus kepada kenaikan harga bahan bakar iaitu perubahan harga minyak mentah dunia dan perubahan nilai matawang Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) tidak menunjukkan perubahan yang ketara.
Berdasarkan pasaran sehingga jam 4 petang tadi, data menunjukkan purata harga minyak mentah Brent sepanjang Januari 2017 mencatatkan purata penurunan bulanan sebanyak 2.46%.
Berdasarkan data dari laman rasmi Bank Negara Malaysia sehingga jam 5 petang tadi, nilai RM berbanding USD menunjukkan purata perubahan sebanyak negatif 1.40%.
Kenapakah rakyat harus memikul beban kenaikan harga petrol dan diesel sedangkan tidak wujud sama sekali faktor-faktor yang menjurus kepada sebarang kenaikan?
Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak sepatutnya segera tampil memberikan penjelasan mengapa kenaikan harga petrol dan diesel ini berlaku.
Pada masa yang sama, saya menggesa agar pihak Kerajaan mempertimbang semula subsidi minyak serta mengurangkan kadar GST demi meringankan beban yang dipikul rakyat pada ketika ekonomi suram ini.
*Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail*
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN
1 Februari 2017