Mansor menyerahkan replika kunci rumah kepada Tan (kanan) sambil diperhati Khalijah (dua kanan) dan Azmi (kiri) serta Suhaidi (dua kiri) |
Penerima dan hadirin mengaminkan doa |
Mansor tidak kekok menikmati jamuan ringkas bersama penduduk kampung dan Suhaidi (kiri) |
PENANTI: Dua warga emas, Khalijah Man, dan Tan Han Eng, dari Kuala Mengkuang, di sini, berasa cukup gembira selepas permohonan mereka untuk menduduki rumah sendiri yang selesa dan mempunyai kemudahan air dan elektrik akhirnya terlaksana.
Kedua-duanya sebelum ini hanya tinggal menumpang di tanah orang sejak puluhan tahun lalu dengan mendiami rumah yang sangat daif bersama keluarga masing-masing.
Khalijah, 65, yang bekerja mengambil upah menoreh getah, berkata dia tidak mampu memiliki rumah sendiri ekoran pendapatannya hanya mencukupi untuk perbelanjaan sendiri sahaja.
“Saya tidak pernah bermimpi untuk menduduki rumah yang selesa dan sempurna. Ini kerana, sejak 40 tahun lalu saya hanya menumpang rumah di tanah orang.
“Saya selalu mengimpikan rumah sendiri namun ianya mustahil bagi saya kerana pendapatan mengambil upah menoreh getah hanya sekadar cukup untuk belanja keperluan saja,” katanya.
Khalijah, berkata sejak itu dia hanya menganggap impian memiliki rumah sendiri sekadar angan-angan dan mustahil diperolehinya.
Katanya, namun pada 2009, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kubang Ulu/Kuala Mengkuang diketuai Pengerusinya, Azmi Abdullah, mengunjunginya untuk bancian.
“Daripada situ, saya dimaklumkan layak untuk memohon bantuan rumah dan selepas urusan berkaitan tanah dan lokasi serta peruntukan selesai, akhirnya mimpi saya jadi kenyataan.
“Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada JKKK Kubang Ulu/Kuala Mengkuang dan kerajaan negeri kerana berusaha membantu golongan miskin seperti saya,” katanya.
Khalijah dan Tan ditemui ketika majlis penyerahan kunci dalam Program Bantuan Rumah di Kuala Mengkuang yang disampaikan sendiri Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, diiringi Penghulu Penanti, Suhaidi Sulaiman.
Sementara itu, Tan, 67, berkata beliau terharu atas sumbangan rumah bernilai RM33,000 berkenaan dan berterima kasih kepada pihak yang membantunya.
“Terima kasih Datuk (Mansor). Terima kasih (Lim) Guan Eng. Saya orang Cina miskin sangat terima kasih pada kerajaan (negeri) ini. Saya seronok,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mansor, berkata JKKK memainkan peranan penting menyalurkan maklumat berkenaan masalah komuniti masing-masing.
“Tahniah JKKK Kubang Ulu/Kuala Mengkuang kerana tindakan mereka membolehkan golongan berhak menerima hak mereka.
“Khidmat seumpama ini harus terus dikekalkan kerana JKKK ibarat kaki dan tangan kerajaan negeri yang fungsinya amat penting,” katanya.
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/