SharpShooter Followers

Friday, December 07, 2012

Amk P.Pinang bidas Teng

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) kesal dengan sikap Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, yang cuba meraih sokongan politik dengan mempersoalkan peningkatan perbelanjaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk peruntukan hal ehwal Islam di Pulau Pinang.

Kenyataan seumpama ini dilihat sebagai satu cubaan untuk meniup api kebencian di kalangan rakyat Pulau Pinang dan manifestasi sikap 'Islamophobia' anggota MCA. Kenyataan Teng bukan saja tidak bertanggungjawab bahkan dangkal.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) mengecam sikap Teng yang cuba mewujudkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat bukan Islam dengan kenyataan berbaur hasutan itu.

Hakikatnya, semenjak Pakatan Rakyat memerintah, nasib masyarakat Pulau Pinang, tak kira ras dan agama terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri.

Peningkatan belanjawan hal ehwal Islam membuktikan betapa tadbir urus ekonomi negeri di bawah Pakatan Rakyat adalah lebih baik sehingga mencatat lebihan. Maka dengan lebihan ini, lebih banyak dana dapat disalurkan kepada program - program pendidikan dan pembentukan jatidiri rakyat bagi mewujudkan masyarakat yang madani di Pulau Pinang.

Fakta ini membuktikan kerajaan negeri terdahulu, yang dipimpin Barisan Nasional sebagai pentadbir yang lemah dan gagal mentadbir ekonomi dengan baik.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) percaya dengan kenyataan terbaru Teng ini, mereka telah menunjukkan sikap sebenar pimpinan Barisan Nasional dan Malaysia Chinese Association (MCA) yang bukan hanya rasis tetapi juga anti-Islam. Mereka sanggup untuk menggunakan hujah - hujah rasis dan dangkal semata - mata untuk meraih sokongan politik yang tak seberapa.

AMKPP percaya bahawa rakyat Pulau Pinang jauh lebih bijak menilai dan tidak akan terpengaruh dengan politik rasis anutan BN dan komponen mereka.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) mencabar UMNO yang selama ini sering melaungkan retorik bahawa parti rakan KEADILAN - Parti Tindakan Demokratik (DAP) - sebagai parti yang anti - Islam; untuk sama - sama menegur dan mengecam kenyataan Teng.

Setiap sayap UMNO tak usah takut untuk menegur komponen mereka sendiri kerana isu ini bukan hanya melibatkan soal masyarakat Melayu dan Islam, tetapi melibatkan soal kebajikan rakyat Pulau Pinang seluruhnya. Sikap diam diri UMNO sehingga hari ini apabila berhadapan dengan komponen mereka, MCA, membuktikan betapa UMNO sudah tidak lagi berdaya untuk mewakili kepentingan masyarakat Melayu Islam lagi.

Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) akan terus menyatakan sokongan kepada kepimpinan, Ketua Menteri, YB Lim Guan Eng, bersama barisan Exco yang kekal istiqamah melaksanakan dasar - dasar yang menjunjung prinsip keadilan dan kepedulian akan nasib rakyat Pulau Pinang.

AMKPP percaya rakyat Pulau Pinang akan terus memberikan mandat yang lebih besar kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri ini dan membentuk kerajaan Pusat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


Sekian, terima kasih.

Dr AFIF BIN BAHARDIN
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP)


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone