SharpShooter Followers

Monday, November 18, 2013

@azmizam Ketua Amk Selangor kecam Karpal Singh

KENYATAAN HAPUS PARTI BERTERAS AGAMA OLEH KARPAL SINGH: PENGAJARAN BERMAKNA UNTUK PAKATAN RAKYAT

Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK Selangor) melihat reaksi kepimpinan Dewan Pemuda Pas terhadap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai satu tindakan normal dan selari dengan tatacara mempertahankan sesuatu institusi daripada dikecam sewenang-wenangnya di media dan khalayak umum, sambil percaya ia satu pengajaran bermakna buat Pakatan Rakyat.

Tindakan Karpal Singh selaku Pengerusi DAP Kebangsaan, Ahli Parlimen, peguam serta aktivis masyarakat yang berpengalaman dianggap tidak cocok, dan membuka ruang untuk media alat Barisan Nasional memutar-belitkan isu ini dan menjadi bola tanggung bagi memporak-perandakan hubungan PAS -DAP khasnya.

Karpal Singh harus menyedari impak negatif yang lebih berat ditanggung oleh jentera bawahan terutamanya, yang terpaksa pula menjalankan 'kerja lebih masa' untuk menenangkan gelora di peringkat akar umbi serta penerangan khusus bagi menerangkan isu yang berlaku.

Kecenderungan rakyat untuk menerima bulat-bulat segala informasi dari media propaganda ini mestilah disedari oleh mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat sebelum membuat sebarang ulasan dan kenyataan. Sebarang kenyataan, biarpun di dalam kepakaran individu sebagai pengamal undang- undang dan ahli politik berpengalaman mestilah dirujuk kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Bagaimanapun, AMK Selangor berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik oleh kedua-dua belah pihak, dan dilanjutkan dengan pematuhan garis panduan dalam mengeluarkan sebarang kenyataan lisan mahupun bertulis. Usahlah menambah kesulitan jentera untuk menjalankan sebarang penerangan lanjutan, dikala kekangan media nasional yang cukup mendesak.

Justeru, AMK Selangor berharap keharmonian dan kerjasama erat Pakatan Rakyat tidak terganggu dengan isu semasa. Biarpun kita menyedari musuh sentiasa memasang jerangkap samar dan berniat jahat, ini bukanlah alasan untuk leka dan terjerat dalam mainan politik sebegini.

Sentiasalah memupuk kerjasama bukan sahaja melalui agenda politik, tetapi keberhasilan itu harus wujud melalui muafakat dan saling menghormati dasar serta perlembagaan parti gabungan agar tidak wujud sebarang syak dan keraguan dalam menerajui perubahan reformasi.

PEMANGKIN REFORMASI

AZMIZAM ZAMAN HURI
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone