Seperti kata Rais, kegiatan pembelian gelaran sosial itu jika tidak ditangani, akan melahirkan satu generasi “ilmuwan palsu”.
Berdasarkan situasi semasa di mana ramai yang tiba-tiba bergelar “doctor falsafah”, dakwaan Rais itu sudah pasti berasas. Paling penting, beliau pastinya tidak akan mengeluarkan sesuatu dakwaan tanpa bukti.
Maka, gejala "PhD ekspres" seperti yang digelar Rais itu perlu disekat. Jangan biar ia menjadi “budaya”.
Bayangkan jika negara ini dilimpahi dengan mereka yang bergelar “Dr” tetapi sebenarnya hanya mempunyai ijazah doktor falsafah palsu. Gelaran itu diperoleh tanpa perlu bersusah-payah belajar. Bagi golongan ini, etika dan kredibiliti bukan lagi menjadi keutamaan.
Namun sekiranya gejala ini "terdedah dan terbongkar", bayangkan apa yang bakal berlaku pada kredibiliti golongan ilmuwan secara keseluruhan.
Malang bagi mereka yang benar-benar memperoleh PhD menerusi laluan yang betul. Sudah pasti sedikit-sebanyak kredibiliti mereka akan dipersoalkan. Tentu mereka juga akan menerima “bahangnya”. Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga.
Kita memang tabik pada pemimpin atau individu yang sanggup bersengkang mata belajar dan membuat tesis untuk memperoleh ijazah yang membawa gelaran itu. Bukan mudah untuk memperoleh PhD. Ada yang terpaksa menghabiskan masa bertahun tahun untuk mendapatkannya.
Kesan gejala pembelian PhD rasanya lebih teruk berbanding pembelian gelaran sosial yang membawa status Datuk.
Memang pembelian “Datuk” juga merupakan tindakan yang tidak beretika tetapi sekurang-kurangnya ia tidak melibatkan soal ilmuwan. Ia tidak menjejaskan bidang pendidikan negara.
Tetapi daripada segi moral, kedua-dua gejala pembelian status “Datuk dan Dr” ini memang tidak boleh diterima langsung.
Ia perlu dikekang segera. Seperti kata Rais, kenal pasti apa yang boleh dilakukan untuk menangani perkara ini.
Jabatan Peguam Negara mesti bertindak segera. Isytiharkan sahaja perbuatan mereka ini sebagai satu jenayah. Selepas itu, gunakan apa sahaja peruntukan yang ada untuk mengekangnya. Jangan biar ia menjadi barah yang boleh memalukan negara.
Kita tidak mahu negara dilimpahi oleh “doktor-doktor falsafah” palsu.
Begitu juga mereka yang bergelar “Datuk”. Biarlah hanya yang benar-benar terbukti berjasa kepada negara dan bangsa sahaja yang menerima gelaran berprestij itu.
Jangan biarkan gelaran Datuk menjadi seperti tiada nilai. Jangan sampai nanti semua yang kaya akan bergelar “Dr atau Datuk”.
Kalau di P.Pinang, Dato' Zahrain telah dianugarahkan pula gelaran Dato' Seri oleh TYT P.Pinang. Tindakan beliau sebenarnya menunjukkan sikap sebenar beliau yang mengejar pangkat dan masih berbudaya umno.
Sedangkan DAP pula, tidak seorang pun pimpinannya di P.Pinang yang menerima anugerah gelaran "Dato' " ini.
Seorang pemimpin yang berjiwa rakyat harus mengutamakan rakyat dulu bukannya diri sendiri. Baru setahun perintah P.Pinang dah terhegeh-hegeh minta gelaran Dato' Seri pula. Tidakkah tindakan ini memalukan PKR?
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/