SharpShooter Followers

Sunday, July 24, 2011

Ambiga hadiahkan ‘hero’ Bersih 2.0 ijazah Doktor Kehormat

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga mendedikasikan ijazah Doktor Kehormat Undang-undang yang diterimanya daripada University of Exeter kepada Baharuddin Ahmad yang terbunuh ketika perhimpunan 9 Julai lalu dan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masih ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Selain mereka, beliau turut melahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang berani tampil di sebalik tekanan dan halangan pihak berkuasa dalam mempertahankan hak fundamental mereka.

“Ada sesetengah pihak di kerajaan yang menentang kaedah yang digunakan untuk menghalang kami. Malah, doktor-doktor juga keluar dari zon selesa mereka untuk bercakap menentang ketidakadilan,” kata Ambiga dalam ucapan menerima ijazahnya.

Ambiga merupakan bekas penuntut University of Exeter dan menerima ijazah undang-undang beliau tiga dekad lalu.

“Dan, sudah pasti ada peguam-peguam dan media bebas yang berdiri di pihak yang benar dan keadilan.

“Bagaimanapun, hero yang sebenar ialah rakan dan penyokong kami Allahyarham Baharuddin Ahmad yang membayar harga bernilainya dalam perjuangan murni kami, enam ahli Parti Sosialis Malaysia, ketika sedang kita bercakap (di sini), berada dalam tahanan di bawah undang-undang pencegahan dan rakyat Malaysia yang berani keluar daripada tindakan (pihak berkuasa) menakut-nakutkan dan menghina demi mempertahankan hak asasi mereka,” kata beliau lagi.

Justeru kata Ambiga, beliau menghadiahkan anugerah itu kepada “kesemua mereka.”

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu berkaitan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

Walaupun dihalang dan disekat pihak berkuasa termasuk memutuskan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram, penganjur mendakwa telah berjaya menghimpunkan 50,000 orang. Tetapi polis menafikan jumlah itu.

Baharuddin didakwa mati selepas melarikan daripada tembakan gas pemedih mata oleh polis di kawasan KLCC tetapi polis pula mempertahankan ahli PAS itu meninggal dunia kerana komplikasi jantung.

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata, perkembangan sepanjang enam minggu lalu dalam menggerakkan sokongan bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil telah mengajar beliau lebih daripada apa yang dialami sepanjang tiga dekad lalu sebagai seorang peguam profesional.

“Pasukan saya dan saya berhadapan dengan tekanan sepenuhnya daripada kerajaan yang berkuasa, dan kemudian saya sedar tentang kepentingan kebebasan institusi-institusi kerajaan, khususnya kehakiman, untuk menangani salah guna kuasa,” katanya.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/