KERAJAAN Negeri Pulau Pinang sekali lagi cuba mencipta sejarah dengan mewujudkan Undang-Undang Anti Lompat Parti ke arah merealisasikan polisi integriti di negeri berkenaan.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, undang-undang pencegahan pada amalan 'rasuah politik' itu akan dikemukakan di Dewan Undangan Neger (DUN) Pulau Pinang selepas menerima kata sepakat daripada kepemimpinan Pakatan Rakyat negeri.
"Pindaan ini bersejarah kerana buat pertama kali dilakukan di Pulau Pinang demi mengharamkan tindakan lompat parti untuk kepentingan peribadi, baik dalam bentuk wang (rasuah) atau bukan wang.
"(Pindaaan) ini juga sebenarnya untuk mendaulatkan integriti dan akauntabiliti politik," ujar beliau di Komtar, George Town.
Berucap pada majlis Jamuan Hari Raya Puasa serta wacana mengenai undang-undang tersebut, beliau berkata, hasrat demokratik Kerajaan Negeri turut disokong oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat merangkap Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Malah, katanya lagi, undang-undang baru itu sebenarnya tidaklah mencabuli kebebasan bersuara atau kebebasan berpersatuan sebagaimana yang didalih oleh pembangkang Pulau Pinang.
"Seseorang Ahli Parlimen atau ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dipilih atas tiket parti tertentu.
"Maka, apabila dia lompat parti, dia wajib untuk melepaskan jawatan yang disandang itu lalu mendapatkan semula mandat rakyat melalui pilihan raya, tidak kira lah sama ada keputusan dia lompat parti itu betul atau salah," jelas beliau.
Sebelum pada itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman selaku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang) dan Datuk Mohd. Salleh Man (ADUN Permatang Pasir merangkap Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang) masing-masing menyatakan pendirian bersetuju dengan hasrat Kerajaan Negeri melaksanakan undang-undang pencegahan itu.
Selain Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussein dan Prof.Dr.P.Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), hampir kesemua Exco Kerajaan Negeri turut hadir dalam majlis wacana itu.
Sejak Ogos lalu, Guan Eng menerima kritikan daripada beberapa pemimpin Barisan Nasional ekoran mencadangkan "undang-undang pencegahan" tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (Ahli Parlimen Umno dari Padang Rengas) dilaporkan berdalih, semua wakil rakyat sepatutnya diberi kebebasan untuk memilih mana-mana parti.
Guan Eng dalam reaksi spontan berkata, undang-undang pencegahan itu perlu supaya insiden dakwaan kudeta Kerajaan Negeri Perak pada 5 Februari 2009 yang dikatakan berpunca oleh tiga ADUN Pakatan Rakyat 'lompat parti' tidak berulang tidak berulang di Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.
Mereka, Jamaluddin Mat Radzi (ADUN PKR dari Behrang, Mohd. Osman Jailu (ADUN PKR dari Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (ADUN DAP dari Jelapang merangkap Timbalan Speaker DUN Perak).
"Takkan kita nak biarkan insiden yang berlaku di Perak berulang di Pulau Pinang (iaitu) sebuah kerajaan yang sepatutnya berdiri atas mandat rakyat (pilihan raya) boleh tumbang hanya kerana tiga orang (wakil rakyat) lompat parti," soal beliau - Faqar
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone