1. Terima kasih kepada pihak media yang hadir pada hari ini dan ini amat dihargai. Pada hari ini saya ingin mengulas mengenai belanjawan yang baru dibentangkan oleh PM Dato' Seri Najib.
2. Isu-isu Wanita adalah luas dan pelbagai. Wanita membentuk separuh daripada penduduk Malaysia, tetapi penglibatan wanita di sektor pekerjaan dan politik, adalah masih terhad. Pada hari ini, saya ingin melahirkan suara hati, sebagai seorang wanita yang pernah bekerja sebagai doktor pakar mata di hospital kerajaan selama 15 tahun.
Saya juga ingin berbicara sebagai seorang muslimah dan ibu kepada 6 orang anak; saya bersyukur walaupun ayah mereka, Anwar Ibrahim dimasukkan ke dalam penjara dengan zalim, semua anak-anak kami boleh dikatakan berjaya mendapati pendidikan tinggi dan kini mempunyai kehidupan produktif dan gembira. Saya juga ingin berkata sebagai seorang nenek yang sudah mempunyai tiga orang cucu dan juga sebagai seorang ahli politik. Dengan pengalaman yang pelbagai inilah maka saya ingin membicarakan tentang isu-isu wanita.
3. Wanita Pakatan Rakyat yang diketuai bersama oleh YB Hajah Zuraidah daripada KEADILAN, YB Chong Eng daripada DAP dan YB Hajah Siti Zailah daripada PAS telah berjaya menerbitkan satu polisi yang dipanggil "Agenda Wanita Malaysia".
Dokumen ini mempunyai 7 teras yang komprehensif untuk meningkatkan dan memberdayakan Wanita: dasar pendidikan yang lebih baik, kelangsungan kesihatan dan kualiti hidup, penglibatan dan peluang ekonomi, kesejahteraan sosial, pendemokrasian politik, penguatkuasaan undang-undang daripada diskriminasi dan memupuk agenda Wanita muda. Kesemua dasar-dasar yang tersebut diatas ada terkandung di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat kami.
4. Saya ingin membuat perbandingan diantara Belanjawan Pakatan Rakyat dengan belanjawan BN UMNO dan akan menjelaskan dua polisi kami iaitu :-
• Caruman Wanita Nasional; dan
• Elaun Penjagaan Anak.
5. Caruman Wanita Nasional adalah satu skim jaringan keselamatan sosial bagi Wanita suri rumah. Ideanya adalah seperti berikut; sekiranya suami meninggal dunia, menjadi kurang upaya atau menceraikan isteri, suri rumah akan mempunyai simpanan wang untuk menangani sebarang kemunkginan yang boleh terjadi. Kerajaan Pakatan Rakyat bercadang untuk memberikan caruman sebanyak RM600 setahun kepada setiap suri rumah, dan akan memastikan dan menggalakkan suami menyumbang sejumlah wang sebanyak RM120 ke RM1,200 setahun kepada caruman yang sama.
6. Sasaran skim ini adalah untuk memastikan seorang suri rumah mempunyai sekurang-kurangnya simpanan sebanyak RM30, 000 ketika usia 50 tahun. Kami menjangkakan terdapat 5 juta suri rumah yang bakal menyertai skim ini dan ianya akan menelan belanja kira-kira RM3 bilion setahun. Walaupun skim ini adalah berdasarkan kepada prinsip kebajikan, sasaran ekonominya adalah untuk menggalakkan simpanan peribadi. Skim ini adalah merupakan salah satu program kita untuk meningkatkan pendapatan isi rumah (disposable income).
7. Skim Elaun Penjagaan Anak diperkenalkan untuk menolong wanita miskin yang bekerja dimana pendapatan isi rumah yang kurang daripada RM1, 000 sebulan. Bagi setiap kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, kita akan menyediakan dana jagaan kanak-kanak sokongan sebanyak RM1, 000 setahun. Sokongan ini berhasrat membantu ibu yang bekerja untuk membayar yuran pengasuh menjaga anaknya ketika ibu sedang berkerja.
8. Kini terdapat kira-kira 470,000 isi rumah miskin yang layak untuk skim ini dan pada kadar purata 2 orang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun bagi setiap isi rumah, skim ini akan menelan belanja kira-kira RM940 juta setahun. Walaupun mahal, skim ini mempunyai sasaran ekonomi untuk membebaskan lebih ramai Wanita untuk menyertai tenaga kerja.
9. Kesimpulannya; kedua-dua projek memberdayakan Wanita tersebut akan menelan belanja RM3.94 bilion setahun. Pada keseluruhannya, Pakatan Rakyat berhasrat untuk membelanjakan sehingga RM4.5 bilion setahun untuk kesemua program wanita, ini merupakan 10 kali ganda lebih daripada apa yang ditawarkan oleh UMNO BN.
Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,
Presiden
Parti Keadilan Rakyat
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone