Menteri Kewangan jelas ingin meyakinkan sektor kewangan bahawa kerajaan persekutuan mampu untuk meneruskan pentadbiran yang dipenuhi ketirisan dan budaya rasuah tanpa melakukan islah dan reformasi yang menyeluruh ke atas struktur ekonomi yang dipenuhi budaya kronisme.
Pada masa yang sama, beliau juga sedar dengan pelaksanaan satu cukai penggunaan yang baru dan menyeluruh ke atas rakyat yang tidak mampu menanggungnya adalah satu langkah yang penuh liku.
Perenggan 80-83 dalam Ucapan Bajet Menteri Kewangan mengandungi kod-kod yang berkata kepada sektor kewangan bahawa pelaksanaan GST amat hampir:
"80. Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.
81. Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.
82. Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.
83. Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif."
Perenggan 145 pula menunjukkan yang pemotongan 1 peratus cukai adalah berkaitan dengan pelaksanaan GST, yang secara asasnya bermaksud penjimatan yang dinikmati dari pemotongan ini akan akhirnya dibayar balik melalui GST.
"145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50 ribu ringgit."
Ucapan Perdana Menteri ini jelas bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan kabinet beliau. April lalu, apabila ditanya di Parlimen mengenai kaitan antara GST dan TUKAR (Program Transformasi Kedai Runcit) Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengatakan bahawa "TUKAR tiada kaitan dengan GST."
Laman web Kementerian tersebut turut menyatakan bahawa objektif TUKAR, sebagai salah satu EPP yang bertujuan memodenkan kedai runcit di bawah NKEA termasuk:
- program membangunkan kedai-kedai runcit tempatan jenis ''mom and pop';
- peningkatan tahap kompetitif peruncit dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan;
- usaha-usaha menyediakan peruncit untuk pelaksanaan Goods and Services Tax (GST).
Kenyataan yang bercanggah sebegini adalah percubaan untuk menipu Parlimen, wakil rakyat, dan rakyat Malaysia amnya.
Pakatan Rakyat menentang pelaksanaan GST hinggalah perkara-perkara berikut diselesaikan, yakni:
1. Tanpa islah dan reformasi ke atas sistem yang dipenuhi rasuah dan budaya kronisme, Kerajaan tiada hak moral (moral right) untuk melaksanakan apa-apa sistem cukai baru samada GST mahupun apa sahaja;
2. Kerajaan pasca-PRU13 nanti perlu mengambil langkah agar tidak menzalimi golongan menengah dan golongan miskin, tetapi membantu mereka meningkatkan pendapatan dan pendapatan boleh guna demi memastikan kualiti hidup ditingkatkan, serta mereka mempunyai lebih banyak wang agar boleh membantu memacu ekonomi dalam negeri. Jika mereka dicukai, maka pendapatan boleh guna mereka berkurangan.
Kerajaan Barisan Nasional wajib ingat bahawa 60 peratus isi rumah mempunyai pendapatan bulanan kurang RM3,000, yang membolehkan mereka menyertai program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Dengan terlaksananya cukai GST, kumpulan ini terpaksa membayar cukai yang lebih dari apa yang mereka dapat dari BR1M.
Tanggapan bahawa beberapa ratus jenis barangan yang dinikmati golongan miskin tidak dikenakan cukai GST tidak benar kerana pelaksanaan BR1M membuktikan golongan menengah dan miskin merupakan 60 peratus dari keseluruhan penduduk di negara ini. Jumlah ini adalah terlalu besar untuk dikecualikan dari GST.
Kerajaan wajib ikhlas dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat mengenai dasar-dasar ekonomi, lebih-lebih lagi apabila berkaitan isu cukai. Untuk berselindung disebalik kod-kod dan kenyataan yang samar adalah satu tindakan yang cukup tidak bertanggungjawab.
Barisan Nasional patut mengangkat isu GST dan membawanya ke PRU yang akan datang dan tanyakan sendiri kepada rakyat Malaysia sama ada mereka akan memilih sebuah Malaysia yang kotor dengan GST, ataupun yang disarankan Pakatan Rakyat: sebuah Malaysia yang bersih tanpa GST.
YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai
YB Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Bukit Bendera
YB Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone