SharpShooter Followers

Monday, October 01, 2012

P.Pinang negeri pertama tetapkan pampasan rumah RM42k bukti prihatin rintihan rakyat - TKM 1

LANGKAH menetapkan kadar pampasan atau gantian rumah secara percuma kepada penduduk yang terbabit dalam proses pembangunan infrastruktur di Pulau Pinang sekarang sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri prihatin (cakna) dengan suara rakyat terbanyak di negeri berkenaan.

Demikian penegasan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman semasa majlis penyerahan pampasan kepada 78 penduduk yang terlibat dalam fasa tiga Projek Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu baru-baru ini.

"Kerajaan Negeri amat peka mendengar suara rakyat khususnya dalam isu pemindahan penduduk...buktinya, Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama dalam negara ini yang menetapkan bayaran wang ehsan sebanyak RM42,000 atau menggantikan sebuah rumah kos rendah percuma kepada pemilik rumah atau bangunan yang terlibat.

"Bagi keluarga yang menumpang pula, wang ehsan sebanyak RM20,000 atau keutamaan membeli rumah diberikan dan bagi penyewa juga tidak ketinggalan menerima bayaran sebanyak RM5,000 atau keutamaan memiliki rumah," ujar beliau pada satu majlis di Komtar, George Town.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong), Koid Teng Guan (Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang), Zaini Husain (Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri Bahagian Pembangunan) merupakan antara kepemimpinan negeri yang hadir pada majlis tersebut.

Difahamkan, seramai 173 penama masing-masing ditawarkan pampasan berwajib, gantian rumah kos rendah secara percuma atau diberi keutamaan untuk memilik rumah kos rendah demi merealisasikan fasa tiga projek lebuh raya itu.

Sepanjang 800 Meter lebuh raya akan dibina dalam fasa tiga tersebut yang menghubungkan persimpangan Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim hingga ke Jalan Jelutong dan Jalan Batu Lanchang.

Fasa satu projek itu membabitkan pembinaan 2.7 Kilometer lebuh raya dari Persimpangan Udini ke Persimpangan Jalan Sungai Pinang yang disahkan siap sepenuhnya pada 6 Jun 2003.

Manakala, fasa dua projek tersebut pula membabitkan pembinaan 2.04 Kilometer lebuh raya dari Persimpangan Jalan Sungai Pinang ke Jalan Weld Quay sehingga persimpangan Gat Lebuh Acheh.

Mansor berkata, sebahagian besar pembinaan lebuh raya fasa dua ini telahpun siap pada 20 Jun 2006 lagi.

"Kerja-kerja menaik taraf baki lebuh raya (fasa dua), iaitu dari persimpangan Gat Jalan Prangin ke persimpangan Gat Lebuh Acheh baru sahaja disiapkan pada bulan Ogos yang lalu," kata beliau.

Menurut beliau, projek lebuh raya fasa tiga sepatutnya disapkan dalam tempoh 36 bulan bermula April 2008 lagi, namun, belum dimulakan lagi sehingga proses pemindahan penduduk berwajib selesai.

Perjanjian penswastaan ketiga-tiga fasa Lebuh raya Tun Dr. Lim Chong Eu atau dulunya dikenali sebagai "Jelutong Expressway (JE) ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan pemaju Jelutong Development Sdn. Bhd. pada 22 April 1997


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone