SharpShooter Followers


Friday, May 10, 2013

Ketua AMK Selangor @azmizam jawab kritikan Pemuda Pas Selangor

Menjawab Kritikan Pemuda Pas Selangor: Usah Salah Faham Kenyataan Pimpinan Keadilan
 
Angkatan Muda Keadilan Selangor hari ini merasa terkejut dengan tindakan Saudara Mohd Sany Hamzan, Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor yang menyelar secara terbuka kenyataan pimpinan Keadilan Selangor dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor, dan menganggap kenyataan tersebut sebagai satu salah faham yang akan menjejaskan pemuafakatan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor.

AMK Selangor percaya bahawa kenyataan Saudara Mohd Sany itu, adalah bersifat individu dan tidak mencerminkan pendirian PAS secara menyeluruh di peringkat pusat mahupun di Selangor dan berharap dapat membantu beliau menjelaskan kekeliruan itu melalui kenyataan berikut.
 
Isu yang dibangkitkan jelas memperlihatkan beliau keliru dengan mendakwa YB Azmin Ali, YB Zuraida Kamarudin dan YB Shuhaimi Shafie sebagai tamak haloba dan tidak sedar kendiri, yang sebenarnya hanyalah menjawab kepada beberapa kenyataan terbuka dari parti bersekutu yang lain berkaitan isu ini.

Pimpinan telah mengambil langkah mempertahankan kehendak ahli Parti Keadilan Rakyat Selangor untuk mendapatkan satu proses yang lebih bersama dan konsensus dalam menamakan bakal Menteri Besar Selangor untuk penggal yang seterusnya.
 
AMK Selangor menghormati dan mengucapkan tahniah kepada PAS Selangor yang memperolehi pertambahan kerusi dalam DUN Selangor bagi penggal yang baru ini, tetapi bertegas bahawa kerusi Menteri Besar tidak hanya bersandar semata-mata kepada bilangan tersebut. Saudara Mohd Sany harus menyingkap semangat Pakatan Rakyat di negeri Perak pada 2008 yang lalu dimana PAS diberikan laluan untuk memegang jawatan Menteri Besar walaupun DAP dan Keadilan mempunyai bilangan kerusi yang lebih pada masa itu.
 
Lagipun, Parti Keadilan Rakyat seharusnya memenangi jumlah kerusi yang sama atau lebih, merujuk kepada Dun Kota Damansara dan Dun Semenyih, yang menunjukkan calon dibawah lambang Keadilan tewas hasil pertembungan tiga penjuru yang salah satunya ditandingi PAS iaitu di Kota Damansara.

Maka secara logik politik, hak PKR sebagai penyandang kerusi Menteri Besar Selangor tidak wajar dipertikaikan oleh PAS. Selangor. Keadilan mengambil sikap terbuka dan menghormati keputusan DAP melantik peneraju negeri di Pulau Pinang, dan juga pemilihan MB Kelantan yang baru oleh PAS dan berharap kedua parti itu memberi ruang untuk Keadilan memilih calonnya sebagai Menteri Besar Selangor.
 
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden PAS , Tuan Guru Dato Seri Hadi Awang sendiri menyebut, beliau memberikan sokongan untuk Parti Keadilan Rakyat untuk terus diberi penghormatan untuk menyandang amanah tersebut dan kini menjadi keutamaan Keadilan untuk memilih calon Menteri Besar mengikut perbincangan dan konsensus dalaman parti ini.

AMK Selangor percaya Keadilan mempunyai senarai tokoh yang berwibawa untuk menerajui Pakatan Rakyat negeri Selangor bagi meneruskan manifesto dan visi pembangunan negeri ini.
 
Kekeliruan seperti yang ditunjukkan ini telah menjadikan YB Azmin Ali sebagai mangsa, seolah-olah beliau cuba merebut kekuasaan di negeri Selangor.

Disamping itu AMK Selangor percaya untuk menghadapi penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat ini, Selangor memerlukan satu proses pemilihan pentadbiran yang lebih telus dan bersama, untuk dijadikan rujukan pada masa hadapan apabila menerajui Putrajaya. Tidak ada lagi sistem pilihan yang secara semberono tanpa melalui satu proses yang mendapatkan keputusan secara kolektif dan paling berkesan.
 
AMK Selangor tidak berniat untuk memanjangkan kekeliruan dengan Dewan Pemuda PAS Selangor, dan berharap polemik ini turut selesai dengan sidang akhbar yang dibuat oleh YB Azmin Ali berkenaan pendirian beliau terhadap parti, fitnah perebutan kerusi MB dan juga kesetiaan beliau terhadap perjuangan rakyat pagi tadi.

Keadilan sentiasa menjaga pemuafakatan bersama dalam Pakatan Rakyat dan sebarang perkara yang dibangkitan tidak lebih semata-mata untuk mencari jalan penyelesaian yang mementingkan keperluan rakyat.

 
PERTAHANKAN KECEMERLANGAN SELANGOR
 
AZMIZAM ZAMAN HURI
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia

Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone