SharpShooter Followers


Friday, May 31, 2013

Malapetaka besar buat Sabah halang Izzah - Bung Mokhtar


Tindakan pejabat Ketua Menteri Sabah menghalang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar untuk memasuki Sabah semalam turut diselar oleh ahli parlimen BN.

Ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin menyelar tendakan itu dengan mendakwa satu kesilapan besar dan malapetaka oleh kerajaan negeri Sabah.

“Saya tak faham mengapa Nurul tak dibenarkan memasuki Sabah. Kalau ini benar, satu kesilapan dan malapetaka.

“Saya rasa ini adalah kesilapan yang besar dan perlu diperbetulkan,” kata Bung Mokhtar dalam twitternya.

Semalam Nurul Izzah ditahan oleh imigresen Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 7.30 petang.

Beliau kemudian diarah pulang dan tidak dibenarkan memasuki Sabah.

Sementara itu Pemuda PAS Pusat mengecam tindakan kerajaan Sabah menafikan hak ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memasuki negeri itu, sedangkan pengganas Sulu berjaya menjejak ke Lahad Datu selama beberapa minggu sehingga mengorbankan anggota keselamatan.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor mendakwa insiden terhadap Nurul Izzah itu menunjukkan ada dendam yang tersimpan dalam lubuk hati pemimpin negeri itu sehingga pemimpin Pakatan Rakyat yang disenaraihitamkan tidak dibenarkan datang.

riduan mohd nor"Tatkala pengganas Sulu berjaya menjejak dan mendarat di daerah Lahad Datu, bertapak beberapa minggu sehingga akhirnya mengorbankan beberapa anggota keselamatan negara, Nurul Izzah pula yang baru sahaja dinobatkan sebagai ahli parlimen yang sah dinafikan hak untuk sampai ke Sabah," kata Riduan dalam satu kenyataannya hari ini.

"Nurul Izzah dianggap seperti insan yang paling berdosa dan penjenayah paling kejam bagi rakyat Sabah. Mungkin beliau adalah pengganas Sulu yang paling dikehendaki atau individu yang memiliki senjata api dan boleh membunuh rakyat di sana. Kerana itu beliau diharamkan dari menjejak kaki ke negeri tersebut," kata Riduan lagi.

Beliau mengulas insiden di mana pihak imigresen tidak membenarkan Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR memasuki negeri itu dan mengatur penghantaran pulang malam tadi.
Pemimpin PKR itu berkata beliau tidak dibenarkan berjumpa MP Penampang, Darell Leiking yang bertindak sebagai peguamnya.

Mengulas lanjut, Riduan berkata sebagai warganegara, rakyat bebas untuk melancong, merantau dan pergi ke mana-mana sahaja negeri di Malaysia dan tidak terbatas pada sesetengah negeri sahaja.

Menurutnya lagi, Sabah bukannya sebuah republik atau negara lain yang boleh menentukan siapa yang boleh atau tidak datang ke negaranya.

"Seorang ahli parlimen yang mempunyai kuasa menentukan arah tuju dan dasar negara serta boleh meminda perlembagaan melalui sidang parlimen tidak dibenarkan masuk ke salah sebuah negeri dalam negara ini!

"Selagi warganegara tersebut memiliki kad pengenalan yang sah, tidak mempunyai rekod jenayah serta tidak mempunyai masalah apa-apa dengan kerajaan Malaysia, apa hak Sabah untuk menghalang seseorang warganya untuk datang ke negeri tersebut?" kata Riduan.


Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/