SharpShooter Followers

Monday, March 21, 2016

KHAIRY JAMALUDIN PERLU JUGA DISIASAT BERHUBUNG SKANDAL PENYELEWENGAN PEGAWAI KBS

KHAIRY JAMALUDIN PERLU JUGA DISIASAT BERHUBUNG SKANDAL PENYELEWENGAN PEGAWAI KBS

www.amanah.org.my

Selepas kecoh isu tajaan RM 1.4 juta untuk 191 orang exco Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda Bahagian UMNO mengerjakan umrah oleh Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda UMNO YB Khairy Jamaludin sepertimana pendedahan oleh salah seorang exco Pemuda UMNO saudara Nazir Hussin Akhtar Hussin, kini salah seorang pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula ditahan pihak SPRM untuk siasatan skandal penyelewengan dana KBS sebanyak RM 100 juta.

Laporan siasatan tersebut amat memeranjatkan rakyat negara ini kerana di saat tahap kualiti sukan negara merosot dan dikritik, skandal ini mendedahkan bagaimana tuntutan kontraktor dibayar melalui MSN untuk program anjuran KBS yang tidak dijalankan atau tidak wujud. RM 100 juta adalah satu jumlah yang besar yang seharusnya dibelanjakan dengan penuh berhemah bagi menjalankan program pembangunan sukan yang merupakan segmen penting pembangunan negara.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap anak muda,  masalah pengangguran lebih 400,000 graduan negara ini boleh diatasi jika jumlah ketirisan tersebut dimanfaatkan sebagai insentif perniagaan di kalangan anak muda.

Seharusnya, Khairy juga perlu disiasat bagaimana skandal jijik seperti ini boleh didakwa dilakukan oleh pegawai di kementeriannya. Ini adalah kerana program-program yang didakwa tidak dilaksanakan atau tidak wujud dikatakan dianjurkan oleh kementeriannya. Adakah beliau tidak tahu perkara ini atau hanya membiarkan sahaja ianya berlaku?

Siasatan sebegini penting bagi membersihkan KBS daripada apa-apa elemen jenayah rasuah dan penyelewengan dana awam. Seksyen 25 akta SPRM 2009 menjadikan kegagalan melaporkan sesuatu perbuatan rasuah sebagai satu kesalahan. Justeru, beliau boleh disiasat.

Sepertimana ucapan Khairy dalam perasmian Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang lalu di mana beliau tidak akan memekakkan telinga terhadap isu penyelewengan, Pemuda Amanah dengan ini menuntut Khairy supaya tidak membisu daripada menjelaskan isu ini serta telus untuk disiasat.

FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua
Pemuda AMANAH Nasional

Pegawai KBS songlap RM100j, beli kereta Audi, beg Hermes, cincin Cartier

PETALING JAYA, 20 Mac — Penahanan pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menimbulkan persoalan tata kelola dana jabatan kerajaan diuruskan, lapor akhbar Malay Mail hari ini.

Suspek berusia 56 tahun yang menjadi dalang menggelapkan kira-kira RM100 juta dana kementerian sejak enam tahun lalu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Kajang pada Jumaat.
SPRM menyita beberapa barangan termasuk 12 kenderaan antaranya Audi, Mercedes Benz, Nissan GTR dan Toyota Vellfire.

Antara barang mewah lain yang dibeli dengan dana gelap tersebut ialah jam berjenama Richard Mille (RM400,000), 40 beg tangan berjenama termasuk jenama Hermes (RM400,000), set cadar mewah (RM300,000), dan barang kemas termasuk cincin mutiara Cartier bernilai RM600,000.

Barangan yang disita berjumlah RM20 juta, sementara wang di dalam 69 akaun bank berjumlah RM8.33 juta dibekukan.
Lapan kontraktor termasuk seorang wanita ditahan kerana didakwa bersubahat dalam kes itu.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata dana itu disalurkan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan bayaran dibuat kepada 14 syarikat yang dimiliki kontraktor dan RM14 juta kepada akaun peribadi suspek.

Azam berkata suspek sudah menyalah guna dana sejak 2010.

"Tetapi dia mungkin melakukan perkara itu lebih awal melihat penglibatannya dalam KBS sejak 1998 dan memegang jawatannya sejak lapan tahun lalu," katanya.

Menjelaskan modus operandi, Azam berkata penjawat awam itu akan memastikan bayaran dari MSN disalurkan kepada syarikat untuk projek atau penganjuran program kementerian.
"Tapi sebenarnya, projek itu tidak dijalankan. Dalam sesetengah keadaan, projek tidak wujud tetapi wang dibayar," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram.

Kesemua sembilan suspek direman seminggu.
- See more at: http://m.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pegawai-kbs-songlap-rm100j-beli-kereta-audi-beg-hermes-cincin-cartier?utm_content=buffer605e4&utm_medium=social&utm_source=twitter.com&utm_campaign=buffer#sthash.VpVDyDij.dpuf