SharpShooter Followers

Monday, December 07, 2009

AMK P.Pinang tidak pernah menolak sebarang perhimpunan rakyat

Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) menghormati luahan mahasiswa melalui Presiden Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) iaitu Sdr Shazni Munir,yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Ini menunjukkan suara Mahasiswa masih lantang dalam menegur & prihatin dengan suasana yang berlaku di sekeliling mereka terutamanya daripada sudut hak kebebasan dan demokrasi rakyat.

Perlu diberi penegasan di sini, bahawa AMKPP tidak pernah menolak mana-mana perhimpunan yang dilakukan oleh rakyat sebelum ini termasuklah yang dianjurkan oleh penduduk Kampung Buah Pala.

Adalah tidak benar dakwaan tersebut jika dilabelkan AMKPP menolak hak kebebasan bersuara setelah Kerajaan Pakatan Rakyat mendapat mandat untuk mentadbir Pulau Pinang. AMKPP sedar bahawa sekiranya kami menolak perhimpunan secara aman, ianya bercanggah dengan apa yang kami perjuangkan selama ini.

Walau bagaimanapun, AMKPP menegaskan dalam sidang media yang dibuat baru-baru ini jelas bahawa kami tidak pernah menolak hak kebebasan bersuara mana-mana pihak bagi menyatakan pendapat terutamanya dalam isu-isu yang berkaitan rakyat termasuk perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak Pemuda BN di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Cuma, apa yang pasti adalah kami menolak isu yang dibangkitkan Pemuda BN seolah-olah Kerajaan Negeri tidak prihatin dengan penduduk Pulau Pinang. Jelas semua tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri di Kampung Buah Pala adalah jalan yang terbaik yang mampu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam mendengar rintihan bagi mencari penyelesaian kepada isu berkenaan.

AMKPP juga telah membangkitkan perbezaan di antara penyelesaian Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat terhadap isu Kampung Buah Pala, berbanding dengan tindakan Kerajaan Negeri BN dahulu terhadap penduduk nelayan Kampung Sungai Batu Pulau Pinang. Itu perlu dijawab terlebih dahulu oleh Pemuda BN terutamanya Pemuda UMNO Pulau Pinang.

AMKPP juga membangkitkan layanan 'Double Standard' pihak polis ketika berdepan dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh Barisan Nasional serta laporan berat sebelah berita TV3 terhadap perhimpunan tersebut yang hanya bersifat memburukkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Demonstrasi yang diadakan atau disertai oleh Pakatan Rakyat selama ini, adalah jelas mengenai isu besar yang mendatangkan kesan yang amat besar terhadap rakyat seperti isu kenaikan harga minyak yang membebankan, perhimpunan BERSIH bagi membersihkan Suruhanjaya Pilihanraya yang terpalit dengan ketidakpercayaan rakyat, pemansuhan akta ISA yang menzalimi rakyat dan pelbagai lagi.

Berbeza dengan demonstrasi anjuran BN hanya lebih daripada memanipulasi pemikiran rakyat dengan tipu helah mereka yang jelas bukannya untuk kepentingan rakyat. Khairy Jamaluddin juga selaku Ketua Pemuda UMNO pernah mengeluarkan kenyataan bahawa para demonstran adalah seperti 'Beruk'. Khairy perlu dipersoalkan mengenai prinsip beliau dalam isu ini apabila yang terlibat dalam demonstrasi di depan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tempoh hari, majoritinya adalah di kalangan ahli yang beliau pimpin, di mana beliau juga Pengerusi Pemuda BN Malaysia.

Dalam laporan polis yang dibuat oleh AMKPP, jelas perhimpunan yang dikatakan aman tersebut telah menyebabkan kerosakan di pintu pagar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang boleh dianggap sebagai menghina persidangan Dewan Undangan Negeri yang sedang berlangsung pada waktu itu.

Tidak cukup dengan itu, gambar YAB Ketua Menteri Pulau Pinang juga dibakar dengan sewenang-wenangnya. Kita tidak menolak hak bersuara, tetapi jika ianya dibuat berdasarkan pembohongan serta putar belit fakta yang jelas serta dengan sengaja merosakkan harta benda awam, perkara ini perlu diberi perhatian serius. Oleh yang demikian bagi menghormati pandangan Mahasiswa, AMKPP mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar menyediakan satu tempat bagi mana-mana pihak yang ingin menyatakan perasaan, suara serta pandangan mereka.

Cadangan ini menunjukkan kita tidak menolak perhimpunan secara aman oleh mana-mana pihak, ia juga bagi mengelakkan kerosakan seperti yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang telah disenaraikan sebagai salah sebuah bangunan warisan. Kita mahu sejarah hitam tersebut itu tidak berulang lagi dan cadangan ini bakal menjadikan Pulau Pinang sebagai Kerajaan Negeri pertama yang menyediakan tempat untuk berhimpun.

AMKPP juga mempelawa jika ada mana-mana pihak termasuk SMM ragu atau kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh kami ini atau mana-mana kenyataan media kami, adalah lebih baik untuk berdialog dengan AMKPP terlebih dahulu bagi memperjelaskan maksud sebenar kami.

AMIR HJ. GHAZALI
Ketua Angkatan Muda
KeADILan Pulau Pinang (AMKPP)
013-584 8386

YB SIM TZE TZIN
Timbalan Ketua Angkatan Muda
KeADILan Pulau Pinang (AMKPP)
012-606 8048

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/