SharpShooter Followers

Thursday, December 03, 2009

Kg Tok Panjang - Hampir bergaduh kerana isu parit

Kelmarin adalah pengalaman berharga sebagai pembantu khas YB Ong Chin Wen Adun Bukit Tengah. Saya turun bersama rakan seperjawatan (Jordan Kee) ke Kg Tok Panjang, Bukit Tengah sebab menerima aduan dari penduduk dan JKKK di sana agar segera turun padang selesaikan masalah besar.

Saya turun bersama dengan niat mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan sebab aduan yang kami terima, pergaduhan kaum hampir berlaku.

Dibawah laporan dari Sinar Harian

Pergaduhan hampir tercetus antara tuan tanah dan juga penyewa tapak, di Kampung Tok Panjang, dekat sini, gara-gara parit yang dikorek pada asalnya untuk tujuan menampung air hujan kini menjadi kolam takungan bagi sisa-sisa dari rumah penyewa tanah tinggal berhadapan rumah tuan tanah itu. Keadaan menjadi bertambah gawat apabila hujan turun lewat petang Selasa lalu.

Salah seorang tuan tanah, Halijah Jaafar, 70, berkata, parit sepanjang kira-kira 100 meter yang terletak di atas tanah milik keluarganya itu telah lama dikorek, iaitu semenjak arwah suaminya masih hidup kira-kira 20 tahun lalu.

Menurutnya, suaminya membenarkan parit itu digunakan oleh jiran yang tinggal di hadapan rumah, iaitu penyewa tapak tanah lot yang membina rumah di atas tanah berkenaan tetapi digunakan secara berlebih-lebihan sehingga menyebabkan rumahnya dan beberapa rumah lain mengalami banjir terutama apabila hujan lebat.

Justeru, ia menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan mereka yang tinggal di tanah pusaka itu kerana jiran di hadapan rumah tidak menghargai apa yang telah mereka korbankan.

“Parit ni dulu mulanya hanyalah untuk tampung air hujan saja. Tapi, sebab kesian, bagila depa (mereka) guna. Bila dah bagi guna, semua air dari rumah mereka salurkan ke parit kecil ini.

“Mak cik bukan apa, marah sebab kita tak tau air apa yang dah mengalir masuk ke parit ni. Depa bela anjing dan sebagainya. Kami orang Islam, bila hujan air melimpah masuk dalam rumah.

“Dulu air dalam parit ni jernih saja, tapi sekarang dah jadi serupa air acar. Dulu jugak kalau tak hujan air dalam parit ni kering, tapi la ni hujan ka, tak hujan ka air sentiasa ada. Ia dah berlarutan hampir setahun,” katanya.

Beliau berkata, sudahla diberi kebenaran untuk menggunakan parit itu, mereka dengan sewenang-wenangnya membuat laluan sendiri dengan membina saluran kecil bagi memudahkan air dari rumah mereka mengalir ke parit kecil itu, bukan satu atau dua, malah lebih dari itu.

Beliau pernah meminta longkang dibina di belakang rumah mereka, tetapi tidak dapat dibuat memandangkan mereka membina rumah melebihi had yang sepatutnya. Justeru, tiada lagi ruang untuk membina longkang, melainkan mereka perlu merobohkan bahagian belakang rumah yang dibuat di atas tanah yang berlebihan itu.

Keengganan pihak penyewa tanah itu merobohkan bahagian belakang rumah mereka menyebabkan keadaan semakin parah dan berlakulah pertikaman lidah antara mereka. Ini kerana, air hujan yang mengalir sudah semestinya akan berkumpul di hadapan rumah pemilik tanah pusaka itu berikutan keadaan rumah mereka yang rendah seterusnya menyebabkan bajir.

Ia akhirnya menyebabkan Halijah dan sanak saudaranya yang juga merupakan pemilik tanah di situ menjadi semakin hilang sabar. Apa yang lebih menyakitkan hati adalah pihak jiran di seberang sana langsung tidak mempedulikan keadaan parit tersebut, cuma seorang dua sahaja yang mempunyai rasa tanggungjawab. Dan, selalunya, mereka terpaksa mencuci sendiri parit berkenaan bagi melancarkan aliran air.

Halijah berkata, pihak keluarganya telah pun memberi kebenaran untuk mereka membina longkang yang sempurna sebelum Ramadan lalu, tapi hingga kini tiada apa yang berlaku.

Malah, surat kebenaran untuk membina longkang yang ditandatangani mereka juga didakwa tidak sampai ke tangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tanpa mengetahui sebab musababnya.

“Dulu Ahli Parlimen Prof Dr Ramasamy pernah datang melawat, tapi dia hanya tengok di bahagian belakang saja. Sana bukannya ada apa-apa. Masalahnya kini di depan, parit ini. Wakil rakyat pun tak pernah datang sini tengok keadaan kami,” katanya.

Oleh yang demikian, bagi memuaskan hati kedua-dua pihak, Halijah berkata, dia sepakat bersama sanak-saudaranya mengambil keputusan untuk menutup kembali parit yang dikorek itu.

Dalam pada itu, dua pembantu khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tengah, Jordan Kee Yu Wah dan Amizuddin Ahmat turun padang, petang kelmarin mewakili Adun, Ong Chin Wen bagi mendengar luahan perasaan penduduk selain mencari jalan penyelesaian di atas kemelut yang melanda antara kedua belah pihak itu.

Walau bagaimanapun, insiden pergaduhan tercetus apabila terdapat individu dalam kalangan pemilik tanah pusaka itu tidak berpuas hati dengan beberapa perkara. Situasi tegang itu berlarutan hampir 15 minit sebelum ia kembali tenang.

Akhirnya, satu penyelesaian dicapai. Pemilik rumah di seberang jalan membenarkan untuk membia longkang di hadapan rumah mereka.

Jordan Kee Yu Wah berkata, setelah meneliti dan mengambil kira pelbagai aspek, mereka bersetuju untuk membina longkang sepanjang kira-kira 70 meter itu, yang mana air dari rumah mereka nanti akan terus disalurkan ke longkang utama yang terdapat berhampiran Tabika Kemas Kampung Tok Panjang.

Menurutnya, pemilik tanah juga bersetuju untuk menangguhkan sementara waktu kerja-kerja penutupan parit berkenaan sehingga longkang yang dijanjikan itu siap dibina.

“Saya berharap dengan pembinaan longkang ini nanti akan dapat menyelesaikan masalah yang tercetus sejak sekian lama itu. Ini juga bagi mengelakkan pertikaman lidah terus berlaku antara kedua-dua pihak tersebut,” katanya.

Sementara itu, Amizuddin pula berkata, pihak kontraktor akan melawat kawasan pembinaan esok (hari ini) bagi membuat penilaian kos dan bagaimana longkang konkrit itu akan dibina.

Katanya, pembinaan akan dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan kedua-dua pihak terus bermasam muka ekoran masalah tersebut. Sehubungan itu, beliau berharap agar dengan adanya longkang tersebut nanti kedua-dua pihak kembali hidup dalam keadaan yang lebih harmonis.

SITI AZILA ALIAS
SINAR HARIAN UTARA
UNIT PERAI TENGAH

Berita tentang isu ini boleh juga anda baca di sini.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/