SharpShooter Followers

Thursday, December 31, 2009

Atasi masalah banjir di Permatang Batu

BUKIT TENGAH – Masalah parit yang tersumbat menyebabkan bajir seringkali berlaku di kawasan Permatang Batu, dekat sini, yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada kaum India.

Salah seorang penduduk, R Santha, 47, berkata, parit yang terletak berhadapan kawasan perumahannya kerap dipenuhi air setiap kali hujan lebat hingga menyebabkan ia melimpah ke dalam rumahnya dan jiran-jiran yang lain.

Menurutnya, kedudukan rumah mereka yang rendah juga menjadi punca air mudah untuk memasuki ruang dalam rumah.

“Setiap kali hujan lebat rumah mesti banjir. Setahun lebih kurang dua kali mesti banjir. Susah kalau banjir sebab semua barang akan rosak. Kami semua bukanlah orang yang berada.

“Paling teruk pernah air masuk sampai paras lutut. Waktu tu memang kelam-kabut. Semua barang kena angkat letak di tempat yang tinggi.

“Bukan itu, saja, banjir juga menyebabkan dinding rumah yang diperbuat daripada ‘plainwood’ menjadi kembang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Manakala, bagi seorang lagi penduduk, S Candra,50, pula berkata, banjir yang berlaku menyebabkan kira-kira 24 rumah digenangi air.

Katanya, parit yang menjadi punca banjir itu tidak pernah dikorek menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan sempurna ekoran terdapat banyak sampah-sarap di dalamnya.

“Banjir ni dah lama, sejak kira-kira 20 tahun lalu. Parit ni baru pertama kali dikorek dua tahun lalu, tapi banjir juga.

“Ramai penduduk yang merungut kerana perlu menanggung kerugian setiap kali banjir berlaku kerana kebanyakan penduduk di sini bukanlah orang yang berada,” katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tengah, Jordan Kee Yu Wah dan Amizudin Ahmat yang mengadakan lawatan ke tapak parit berkenaan berkata, pihak Adun telah pun mengupah kontraktor untuk membersihkan kawasan parit sepanjang kira-kira lima kilometer itu bagi kemudahan penduduk serta melancarkan perjalanan air.

Menurut Jordan Kee Yu Wah, kerja-kerja pengorekan telah dimulakan pada 24 Disember lalu dan siap ssepenuhnya pada 27 Disember lalu.

“Saya berharap agar kerja-kerja pengorekan yang telah dilakukan ini akan dapat mengurangkan masalah banjir di kawasan Permatang Batu ini.

“Justeru, penduduk juga disarankan agar tidak membuang sampah dengan sesuka hati ke dalam parit ini bagi mengekalkan kebersihannya serta melancarkan perjalanan air demi kepentingan semua penduduk,” katanya.

Sementara itu, Amizudin Ahmat pula berkata, parit akan tersumbat jika ada orang membuang sampah ke dalamnya.

Katanya, kesedaran sivik dalam diri setiap individu perlu ada dengan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya ke dalam parit, sebaliknya mengambil inisiatif dengan membuangkannya ke dalam tong sampah.

“Jika penduduk dapat mendisiplinkan diri, saya percaya, masalah banjir ini dapat dikurangkan. Ia sekali gus dapat memberi satu gambaran yang indah terhadap kawasan sekitar Permatang Batu ini.

“Jika masih ada lagi yang berdegil, sudah semestinya masalah ini tidak akan dapat diselesaikan. Malah, akan bertambah lagi, kerana ia bukan saja akan menyebabkan banjir, malah akan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang seterusnya membawa kepada penyakit demam Denggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kesemua penduduk bersatu hati dengan menjaga kebersihan parit berkenaan sebaik mungkin agar mereka dapat mengekalkan keindahan alam seterusnya mengurangkan bebanan mereka selama ini dalam mengharungi banjir.

Azila - Sinar Harian


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/