Malah, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menganggap, cadangan yang masih dalam penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak masuk akal dan menganggapnya sebagai sesuatu yang remeh-temeh.
Beliau turut menempelak SPR dengan meminta agar ditunjukkan padanya kekecohan dan bentuk keganasan yang didakwa suruhanjaya itu sehingga perlunya meminda akta berkenaan.
"Apa yang ganasnya? Cadangan itu tidak masuk akal dan buang masa. Apa yang lebih penting adalah peraturan untuk memberi ruang lebih selesa kepada penyokong parti bertanding.
"Banyak lagi isu besar yang perlu diberi perhatian seperti undi pos, wang deposit dan ketelusan dalam perlembagaan pilihan raya.
"Tempoh bertenang 24 jam atau 12 jam juga bukan isu besar yang patut diberi perhatian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kedua-dua perkara itu sedang diteliti secara serius untuk dimasukkan dalam cadangan pindaan tersebut yang akan dibentangkan di Parlimen pada tahun depan.
Cadangan itu dikemukakan bertujuan membendung kekecohan dan keganasan yang ditimbulkan oleh penyokong-penyokong parti bertanding.
Jika diluluskan, mereka yang melanggar peraturan itu boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak lebih setahun.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw turut bersependapat dengan Salahuddin dan meminta SPR supaya meneliti sedalam-dalamnya keberkesanan cadangan itu sebelum dikemukakan ke Parlimen.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tempoh tiga hari dan 24 jam itu akan terus dipanjangkan sekiranya ia masih gagal mencapai objektif untuk membendung kekecohan dan keganasan penyokong.
"Ini bukan soal masa tetapi ia tentang keadaan politik semasa. Soalnya adakah rakyat faham atau tidak erti sebenar demokrasi dan keamanan?
"Semua itu perlu diterapkan melalui pendidikan. Kalau setiap rakyat mempunyai kesedaran dan cintakan keamanan, mereka pasti tidak akan bertindak mengikut emosi sehingga berlaku keganasan.
"Semuanya bergantung kepada kesedaran individu dan saya percaya pendidikan adalah cara terbaik bagi mengatasi masalah ini. Tetapi janganlah sampai mahu meluahkan emosi secara sederhana pun kita disekat," katanya.
Pengarah Pilihan Raya Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun menganggap cadangan SPR itu sebagai 'percubaan baik' bagi meredakan bahang semasa penamaan calon yang seringkali mengundang rasa tegang antara penyokong parti bertanding.
Namun katanya, cadangan itu bukanlah satu reformasi menyeluruh seperti diharapkan pembangkang kerana ia tidak menyentuh hal-hal fundamental dalam pilihan raya.
"Antaranya adalah pembersihan daftar pemilih, mencari jalan agar 4.3 juta rakyat yang layak tetapi masih belum mendaftar, mendaftar segera untuk mengundi selain akses media yang lebih adil.
"Tetapi tidak saya nafikan, cadangan ini percubaan yang baik. Diharapkan agar SPR dapat meneruskan lagi penambahbaikan dalam perkara yang membabitkan dasar-dasar pilihan raya," katanya.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/