Dalam aduannya, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyebut bahawa penyiasat tersebut, yang asalnya mendakwa Datuk Seri Najib Razak ada hubungan sulit dengan wanita Mongolia itu, berbohong apabila menafikannya dalam tempoh 24 jam.
"Membuat akuan bersumpah dengan maklumat palsu adalah salah di sisi undang-undang.
"Namun tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas Balasubramaniam," aduan polis itu dipetik.
Dalam kenyataan terbarunya, Balasubramaniam mendedahkan bagaimana wujud tekanan terhadapnya agar menukar akuan bersumpah pertamanya, 3 Julai tahun lalu, susulan pertemuan dengan beberapa individu – antaranya adik perdana menteri Datuk Mohamed Nazim Razak dan peniaga permaidani Deepak Jaikishan, yang didakwa rapat dengan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.
Nama-nama ini bagaimanapun tidak dinyatakan dalam aduan polis SAMM di ibu pejabat polis persekutuan pagi ini, sebaliknya hanya disebut "proksi" Najib.
Penyelaras SAMM Badrul Hisham Shaharin (foto atas, berkaca mata), yang membuat aduan tersebut, menambah kenyataan terbaru Balasubramaniam – bekas anggota polis Cawangan Khas – boleh didapati dalam laman web termasuk rakaman video di Youtube.
"Beliau mengakui semua kegiatan tersebut melibatkan polis, tentera dan beberapa individu yang bertindak bagi pihak (proksi) Najib Razak.”
Dalam aduan sama, Badrul Hisham yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR menyebut Balasubramaniam mendakwa menerima RM750,000 dan "dijanjikan RM5 juta sebagai habuan tambahan" selepas menafikan akuan pertama dalam akuan bersumpah kedua – yang dibuat 4 Julai tahun lalu.
Laporan SAMM diserahkan kepada pegawai perhubungan awam polis Bukit Aman, Inspektor Mohd Sail Hassan di hadapan pintu masuk ibu pejabat tersebut.
Semalam, Pemuda Pakatan Rakyat membawa isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dalam satu kenyataan parti itu hari ini, diminta hadir memberikan keterangan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 9.30 pagi esok berhubung dakwaan Balasubramaniam.
Najib dan Rosmah sering kali menafikan dakwaan pembabitan mereka dengan Altantuya. Manakala Malaysiakini telah berusaha untuk mendapatkan komen Mohamed Nazim tetapi sehingga kini masih belum berjaya.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/