SharpShooter Followers

Saturday, June 18, 2011

MB Selangor prihatin serah RM483,800 kepada 84 keluarga setinggan.

Seramai 84 keluarga setinggan Kampung Kok Doh di Bandar Baru Selayang hari ini menerima saguhati pemindahan dan bantuan perumahan daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi menjayakan projek perumahan Bukit Botak yang akan menempatkan 1,200 peneroka bandar yang telah menunggu lebih 20 tahun untuk memiliki rumah.

Penduduk Kampung Kok Doh, yang tinggal di atas tanah milik anak syarikat kerajaan Negeri Selangor yang terletak di sebelah Kampung Bukit Botak telah menerima saguhati berjumlah keseluruhan RM483,800 dari Dato Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu majlis penyampaian cek di Dewan Kompleks Pegawai Daerah Gombak di Selayang tengahari tadi.

Saguhati pemindahan tersebut bukan sahaja melibatkan bantuan pemindahan sebanyak RM500 seorang tetapi juga tawaran dan bantuan pembelian rumah Semi-D Bukit Botak atau rumah kos rendah - mengikut kelayakan masing-masing.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Pegawi Daerah Gombak Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Othman Omar.

Dari 84 keluarga, 63 telah layak membeli rumah Semi-D Bukit Botak dengan harga RM99,000. Mereka juga telah diberi peruntukan tambahan RM3,600 seorang sementara menunggu rumah siap dalam masa 12 bulan, serta saguhati pemindahan RM500.

Seramai 20 keluarga yang layak membeli rumah kos rendah RPKR di Selayang Mulia yang bernilai RM42,000 telah diberi subsidi RM7,000 untuk pembelian rumah. Ini bermakna mereka hanya membayar RM35,000 untuk memliki rumah RPKR.

Selain itu, mereka menerima peruntukan tambahan RM1,500 serta saguhati pemindahan RM500 seorang,

Dalam ucapannya sempena majlis penyampaian cek itu, Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Kok Doh yang memberi kerjasama kepada kerajaan negeri dalam pemindahan ini kerana ianya akan menjayakan projek perumahan Bukit Botak yang akan memberi penyelesaian menyeluruh kepada masalah setinggan dan peneroka bandar.

"Dahulu, penduduk dipujuk menyerahkan hak tanah mereka kepada syarikat pembinaan yang telah gagal untuk membina rumah dan membayar pampasan seperti yang dijanjikan. Bila kita jadi kerajaan pada Mac 2008 kita dapati sudah 20 tahun mereka menunggu. Dalam masa 2 tahun kita dapat merancang penyelesaian yang menyeluruh. Sekarang rumah sedang dibina oleh PKNS dan akan siap mengikut jadual," katanya.

Beliau berkata kerajaan Negeri komited dalam memastikan nasib peneroka bandar terbela di mana perancangan pembinaan projek perumahan dibuat dengan rapi agar mereka mendapat hasil yang baik.

"Dahulu yang dijanjikan rumah kos rendah RM45,000. Untuk penambahbaikan, kita arahkan PKNS membuat perancangan membuat rumah semi-D dengan harga RM99,000. Jika tidak mahu, PKNS bersedia membeli rumah pada harga RM170,000.

Oleh itu pemilik tanah tidak rugi apa-apa kerana keuntungan mereka terjamin. Di kawasan ini, ada yang sanggup membeli rumah Semi D pada harga RM220,000. Jadi tiada siapa yang rugi," katanya.

Beliau berkata projek ini adalah bukti hasil kesungguhan dan komitmen Kerajaan Selangor menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai sejak 25 tahun lalu yang gagal diselesaikan oleh pihak pentadbiran terdahulu.

Kerajaan Negeri pada mulanya menghadapi kesukaran untuk membantu membaik pulih projek terbengkalai ini kerana hak milik terhadap lot-lot tanah telah diserahkan kepada syarikat pemaju yang terdahulu.

Menteri Besar kemudian mengambil keputusan mengarahkan tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri sebagai jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan penduduk Bukit Botak.
 

Sehingga kini projek ini berjalan lancar dengan kemajuan di tapak telah mencapai 21 peratus, dan dijangka siap menurut jadual iaitu pada bulan Jun 2012


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone