SharpShooter Followers

Tuesday, June 14, 2011

Rahmat lega akan dapat rumah baru RM33 ribu

JURU – Sebuah keluarga yang tinggal dalam serba kekurangan dekat Kampung Bukit Kechil, dekat sini, boleh menarik nafas lega selepas permohonan mereka untuk membina rumah baru diluluskan kerajaan negeri.

Rahmat Eusoff,47, yang menghidap penyakit jantung berkata, dia bersyukur kerana masih ada pihak yang prihatin dengan nasib yang dialami mereka sekeluarga.

Menurutnya, mereka tidak perlu lagi hidup dalam keadaan bersesak di dalam sebuah rumah kecil lagi selepas ini apabila rumah mereka siap nanti.

"Sebelum ini, kami berlapan terpaksa berkongsi tempat tidur memandangkan rumah ini hanya mempunyai satu bilik tidur.

"Tetapi, selepas ini kami semua tidak perlu lagi berbuat demikian kerana rumah kami akan berwajah baru. Terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Seberang Perai Tengah (SPT), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah YB Ong Chin Wen dan semua pihak terlibat di atas bantuan yang diberikan ini," katanya dalam nada sebak.

Rahmat ditemui pada majlis kesyukuran yang diadakan di rumahnya, baru-baru ini bagi meraikan hari penuh bermakna dalam hidup mereka.

Majlis turut dihadiri ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Ketua Penolong Pegawai Daerah bahagian (Pembagunan), Masirah Che Ani.

Dalam pada itu, ADUN berkata, peruntukan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang (UPEN) yang diberikan melalui PDT SPT diluluskan bagi membina rumah baru untuk keluarga berkenaan.

Menurutnya, rumah baru yang akan dibina itu nanti merangkumi kerja-kerja menaik taraf serta menambah bilik itu melibatkan kos sejumlah RM33 ribu.

"Kita telah mengemukakan permohonan kepada PDT pada Februari lalu, namun ia memakan masa yang lama untuk diproses. Tetapi, akhirnya pada hari ini ia diluluskan.

"Justeru, saya meminta kepada semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya memaklumkan kepada saya jika ada keluarga susah di kampung mereka yang perlukan bantuan. Ia perlu agar bantuan sewajarnya dapat diberikan," katanya.

Beliau berkata, pembinaan rumah baru Rahmat itu dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi.

Terdahulu, Sinar Harian dalam laporannya bertarikh 18 Januari lalu menyiarkan tentang kisah Rahmat Eusoff dan keluarganya yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan selepas dia ditimpa penyakit dua tahun lalu.

Bebanan tugas keluarga pula terpaksa ditanggung isteri, Normah Muhamad,42, yang mencari rezeki sebagai pembantu di sebuah pusat penanaman cendawan di Kampung Telok, Bukit Minyak.


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone