Sambutan Ulangtahun Kelahiran ke-70 Sasterawan Negara
Profesor Muhammad Haji Salleh
Sempena ulangtahun kelahiran Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh yang ke-70, Penang Institute akan menganjurkan majlis khas untuk meraikan, menghargai dan mengiktiraf sumbangan perjuangan tokoh sasterawan yang tersohor ini.
Tokoh merupakan seorang sasterawan negara yang telah menggilap bakatnya sejak tahun1960-an lagi dan telah menerima anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1991. Beliau mendapat pendidikan awal di High School Bukit Mertajam dan Maktab Melayu Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya, Singapura dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera. Pada tahun 1970, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan pada tahun 1973, beliau memperolehi Ph.D dari Universiti Michigan Amerika Syarikat.
Prof Muhammad Haji Salleh pernah dilantik sebagai Profesor Tamu di bawah rancangan Fulbright-Hays dan mengajar di North Carolina State University , Amerika Syarikat. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia. Mengimbas sejarah, pada tahun 1978, beliau pernah dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan dan berdasarkan latar belakangnya, ternyata Muhammad Haji Salleh seorang yang menguasai bidang kesusasteraan bersasaskan pandangan intelektual. Oleh itu beberapa orang tokoh-tokoh yang berkecimpung dalam dunia kritikan seperti Sohaimi Abdul Aziz, Anwar Ridwan serta Mana Sikana berpendapat bahawa Muhammad Haji Salleh adalah seorang tokoh yang juga merupakan seorang pemikir dan juga pencari yang tidak jemu-jemu merantau untuk mendalami bidang kesusasteraan di seluruh pelosok dunia.
Kini, beliau banyak menumpukan masanya menulis berkenaan Melayu Pulau Pinang yang merangkumi persoalan sastera Pulau Pinang serta giat menghasilkan banyak manuskrip, buku, kertas-kertas kerja berkenaan persoalan kemajuaan sosio-ekonomi masyarakat Pulau Pinang, khasnya Melayu. Ini amat menepati semangat yang diungkapkan oleh Muhammad Haji Salleh sendiri, iaitu; ‘sasterawan adalah lidah masyarakatnya.’
Acara sambutan terbahagi kepada 3 program.
Pertama, sebuah Pameran Khas akan diadakan di ruang legar Tingkat 3 KOMTAR yang akan berlangsung dari Isnin, 9 April 2012 hingga Sabtu, 14 April 2012. Pameran tersebut akan mempersembahkan sumbangan, karya dan perjalanan hidup Prof MHS.
Seterusnya, siri keempat Forum Nusantara akan diadakan pada Sabtu, 14 April dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari di Auditorium F, Tingkat 5 KOMTAR, dengan tajuk “Sireh Pulang ke Gagang: Menelusuri Karya dan Jasa SN Muhammad Hj Salleh”. Forum ini bakal dibarisi oleh tokoh-tokoh terkenal seperti Prof Dato’ Dr Salleh Yaapar, Prof Madya Dr Mawar Safie, Eddin Khoo dan Prof Dato’ Dr Abdul Kadir Lebai Din sebagai moderator.
Acara sambutan akan diakhiri dengan program Malam Kemuncak Sambutan Ulangtahun Kelahiran ke-70 Sasterawan Negara Profesor Emeritus Muhammad Haji Salleh, bermula dari jam 7.30 malam hingga 11.00 malam, di Dewan Tunku (Dome), Tingkat 5, KOMTAR.
Program kemuncak ini bakal menyaksikan kehadiran tokoh-tokoh khas dari dalam dan luar negeri, seperti Goenawan Mohamad, tokoh sasterawan tersohor di Indonesia dan pengasas majalah Tempo, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan membentangkan sebuah pengkisahan khas tentang MHS serta Hasmi Hashim (Buddhi Hekayat) yang terkenal sebagai penulis lirik lagu Awan Nano. Ucapan pengantar sambutan pula akan disampaikan oleh YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang.
Penang Institute amat berbangga untuk mengajak para peminat dan pencinta bahasa dan budaya dari seluruh pelusuk negara untuk menghadiri dan menjayakan acara khas ini yang bertujuan untuk meraikan seorang tokoh yang sudah lama menuang baktinya demi memelihara dan mengembangkan dunia persuratan di rantau ini.
SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Penyelaras Acara Sambutan merangkap
Eksekutif Komunikasi & Program,
Penang Institute
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...Amizudin Ahmat(Din Binjai)http://sharpshooterblogger.blogspot.com/