Dari Sabang sampai ke Merauke rakyat bangkit untuk menentang rancangan pemerintahan Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) untuk menaikkan harga BBM.
Indonesia menjadi perhatian dunia. Malahan ada analisis mengatakan krisis harga BBM ini mampu menjatuhkan presiden SBY.
Tiket pesawat dibeli dan terbang terus ke kota Jakarta. Turut bersama adalah seorang teman yang juga seorang aktivis senior.
Apatah lagi Jakarta bukanlah kota asing bagi kami. Saya sendiri secara peribadi telah sering berulang alik ke kota ini. Pergolakkan politik di Indonesia sudah pasti akan mempengaruhi Kuala Lumpur.
Gerakan reformasi yang menumbangkan regim Soeharto pada tahun 1998 memberikan inspirasi kepada gerakan penentangan terhadap regim Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kebangkitan rakyat
Kami tiba di Jakarta pada 30 Mac lalu, lebih kurang jam 8 malam di hari kemuncaknya demonstrasi besar-besaran di hadapan gedung Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Demo berlangsung dihadapan gedung DPR bertujuan untuk memberi tekanan kepada anggota DPR yang akan mengundi sama ada bersetuju atau tidak menaikkan harga BBM.
Pemerintah mahu menaikkan harga BBM bersubsidi dari Rp1,500 ke Rp6,000 seliter. Satu kenaikkan yang tinggi — tidak ramai yang seberani SBY kecuali mantan perdana menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi — menaikkan harga minyak 70 sen sekaligus.
Alasan utama pemerintahan SBY menaikkan harga BBM adalah kerana kenaikkan harga bahan bakar dunia. Persoalannya, jika harga bahan bakar dunia turun nanti, apakah SBY akan turunkan kembali harga BBM di Indonesia?
Abdullah dihukum pada PRU 2008. Apakah yang bakal berlaku kepada SBY? Demo besar-besaran rakyat di hadapan gedung DPR hanya mampu menangguhkan kenaikkan harga BBM.
Majoriti anggota DPR mengundi untuk bersetuju dengan kenaikkan harga BBM. Akan tetapi ianya akan berlaku selepas enam bulan.
Politik BBM
Partai Keadilan Sejahtera (PKS) belot daripada koalisi pemerintah apabila mengundi untuk tidak bersetuju dengan kenaikkan harga BBM. Kini PKS telahpun dipecat dari koalisi pemerintah. Tiga menteri dari PKS dalam kabinet SBY turut dilucutkan jawatannya.
Sementara Golkar — anggota koalisi pemerintah — yang turut menentang kenaikkan harga BBM belot kepada rakyat dan mendokong pemerintah untuk menaikkan harga BBM.
Begitulah hebatnya politik BBM di Indonesia. Apa pun yang berlaku, penentangan terhadap kenaikkan BBM belum berakhir. Ianya reda seketika akibat penangguhan terhadap kenaikkan harga BBM enam bulan kedepan.
Parti PDIP, yang merupakan parti pembangkang kepada koalisi pemerintah tetap dengan pendirian menolak kenaikkan harga BBM.
Kelompok-kelompok pemuda dan buruh tidak akan terus berdiam diri. Front Perjuangan Pemuda Indonesia (FPPI) pada 31 Mac lalu berdemo dihadapan Istana Presiden.
FPPI tetap dengan pendirian untuk terus menentang kenaikkan harga BBM.
Konfederasi Kongres Aliansi Serikat Buruh Indonesia (KASBI) yang membawa ribuan buruh untuk berdemo dihadapan gedung DPR pada 30 Mac lalu sudah pasti tidak akan terus berdiam diri.
Walaupun harga BBM hanya akan naik selepas enam bulan akan datang, harga barang keperluan asas (sembako) telah mula dinaikkan. Majoriti rakyat bawahan sudah merasakan keperitan hidup.
Hanya masa yang menentukan berapa lama lagi SBY mampu memimpin Indonesia. Jatuh itu pasti - Amin Iskandar
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone