BN MENANG KURANG BERGAYA
Pada
jam 1 pagi tadi, kita boleh lihat rupa Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd
Najib Razak yang kelihatan seakan sedih dan lesu apabila berjaya
memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan. Di dalam
fikirannya, penulis merasakan beliau mungkin sedih dengan kemenangan
berkenaan yang nampak tidaklah memberangsangkan kerana ini adalah
keputusan PRU terburuk BN atau Perikatan (sebelum 1969) yang pernah
dicapai sejak negara merdeka. Hakikatnya, Najib mungkin juga sukar
menerima kemenangan ala kadar itu berlaku kerana sudah banyak perkara
yang dilakukan oleh jentera beliau demi ‘membeli’ undi rakyat Malaysia.
Jika diterjemahkan kepada jumlah nilai wang ringgit yang telah
dibelanjakan sebelum dan semasa PRU13 maka jumlahnya pasti telah
mencapai jutaan ringgit.
Dengan
BN yang berbelanja dengan menyewa ruang iklan dalam laman-laman web
termasuklah dalam laman web dilihat pro-Pakatan Rakyat (PR), kempen
iklan dalam media massa serta menaikkan papan kenyataan besar-besaran di
sepanjang jalan dan lebuhraya utama di negara ini, nampaknya
‘pelaburan’ bernilai jutaan ringgit tersebut tidaklah memberikan hasil
yang dijangkakan sama sekali. Malah, penyusutan jumlah kerusi Parlimen
yang pernah dikuasai selepas PRU 2008 iaitu 140 kerusi ke 133 kerusi dan
bagi DUN-DUN (kecuali Sarawak) pula menyaksikan penurunan banyak dari
307 kerusi ke 275 kerusi menampakkan pelaburan ini tidaklah sesuatu yang
berbaloi.
Yang
merugikan kerajaan BN pula ialah terus kehilangan dengan lebih teruk
negeri-negeri maju iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang mana rakyatnya
memilih untuk memberi peluang sekali lagi kepada PR memberikan
khidmatnya. Di Selangor, BN hilang 8 kerusi DUN yang dirampas sebanyak 7
kerusinya oleh PAS dan 1 oleh DAP manakala hilang 1 kerusi DUN di Pulau
Pinang kepada DAP. Dalam lain perkataan, kerajaan PR berjaya membentuk
kerajaan negeri yang mempunyai majoriti 2/3 di kedua-dua negeri itu.
Meskipun begitu, BN berjaya menawan Kedah tetapi tanpa menguasai 2/3
majoriti. Malah, keadaan juga berakhir getir buat BN apabila Perak dan
Terengganu menyaksikan perkongsian kerusi DUN nampak seimbang yang tiada
satu parti pun berjaya menguasai 2/3 kerusi.
Najib sebagai Pengerusi BN terjejas
Kedudukan
Najib sendiri amat kritikal kerana beliau kini dilabel sebagai Perdana
Menteri yang memimpin jentera parti yang mencapai keputusan terburuk
yang dicatatkan dan malah kehilangan penguasaan pada majoriti undi
popular seluruh negara. SPR memaklumkan BN memperolehi 5.2 juta undi
popular manakala lawannya PR mendapat 5.5 juta undi popular. PR
mempunyai lebih penyokongnya di Malaysia dibandingkan dengan BN kali
ini. Namun yang menjadi lumrah kuasa di Malaysia adalah berpaksi pada
parti yang memenangi majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan.
Sememangnya tidak dapat dielakkan bahawa jumlah komposisi pengundi dalam
sesebuah kerusi Parlimen tidak dapat dipertikaikan tetapi jelas nampak
bahawa wujudnya keadaan tidak setara. Bayangkan di Selangor sahaja
,contohnya kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dimenangi BN mempunyai
pengundi seramai 37,390 orang tetapi diberikan sama tarafnya dengan
kerusi Parlimen Selayang yang dimenangi PR yang mempunyai 3 kali lebih
ramai pengundi iaitu 106,055 orang. Keadaan beginilah yang menjadi
pertikaian tetapi apa boleh buat sudah semuanya ditentukan sedemikian
rupa oleh pemerintah.
Menjadi
persoalannya ialah adakah Umno yang kini menjadi tonggak kepada BN
apabila menguasai 103 kerusi dari 133 akan terus memberi ‘walaq ‘kepada
Najib untuk terus memimpin parti? Adakah Umno perlu melalui lagi saat
getir berkemungkinan berlakunya perpecahan dan perebutan kuasa di dalam
parti sekiranya Najib berundur memberi laluan kepada pertandingan? Namun
begitu, adalah menjadi langkah bijak untuk Najib berundur diri dalam
masa terdekat dan menyerahkan kepada parti untuk memilih kumpulan
pemimpin yang baru bagi membawa Umno ke arah yang lebih popular. Lima
tahun akan datang pasti berlalu begitu sahaja dan Umno tidak mempunyai
masa yang lama untuk mengawal dan mendamaikan perpecahan di dalam parti
sebelum menghadapi PRU ke-14.
Tsunami ‘Cina’ hanyalah salah satu faktor dan tidak cerminkan segalanya
Walaupun
begitu, tindakan menghuraikan keputusan PRU-13 sebagai ‘tsunami’
pengundi Cina adalah tidak tepat sama sekali.Namun begitu, tidak
dinafikan pengundi Cina memang sudah menolak komponen-komponen parti
Cina dalam BN seperti MCA, Gerakan, SUPP (Sarawak) dan LDP (Sabah).
Tetapi jangan lupa pengundi Melayu Bandar dan Sub Bandar juga menyokong
PR. Contoh mudah ialah apabila PAS Selangor berjaya menambah 7 kerusi
DUN menjadikannya memperolehi 15 DUN di Selangor. Kawasan-kawasan baru
ini adalah bermajoriti pengundi Melayu di antara 52%-65% dari jumlah
pengundi. Oleh itu, faktor tsunami politik ‘Cina’ tidak boleh dipakai
langsung di kawasan ini. Bukan itu sahaja,PAS Terengganu yang berjaya
‘hampir’ membentuk kerajaan negeri juga pastinya memerlukan undi
pengundi Melayu untuk mencapai kedudukan tersebut. PAS Terengganu kali
ini memenangi 15 kerusi DUN Terengganu (termasuk 1 dimenangi calon PKR)
manakala BN Terengganu pula mendapat 17 kerusi DUN. Ini membuktikan lagi
bahawa tsunami Cina tidak relevan sama sekali kerana pengundi bukan
Melayu di negeri Terengganu tidak sampai pun 5%.
Kajian
menyeluruh perlu dilakukan dan tidak sekadar menyalahkan pengundi Cina
yang memberi kemenangan kepada PR. Selagi kerusi-kerusi Melayu masih
lagi dimenangi Umno maka amat sukarlah PAS dan PKR untuk memperolehi
majoriti di dalam PR. DAP tidak wajar disalahkan oleh penyokong PR
Melayu kerana sebagai parti yang masih dilihat mewakili bangsa Cina dan
India apabila menang 38 kerusi Parlimen, DAP hanya berjaya memperolehi
70% kemenangan di 55 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Malah, dua
pemenang Parlimen untuk DAP juga adalah dua calon Islam yang
masing-masing di kerusi Bukit Bendera di Pulau Pinang dan kerusi Raub di
Pahang.
Umno
tidak lagi mempunyai banyak masa untuk berehat walaupun menang tidak
bergaya kali ini. Strategi-strateginya sebelum ini seperti membiarkan
persepsi umum mengenai perkaitannya dengan pertubuhan ultra Melayu
seperti Pertubuhan Pribumi Kebangsaan (Perkasa) dan membiarkan mantan
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bercakap sesuka hatinya perlulah
dikawal demi menarik kembali sokongan pengundi Cina dan muda di bandar.
Di dalam usaha transformasi Najib sebelum ini, umum melihat BN hanya
memperjuangkan atau membantu golongan luar bandar dan gagal melihat
kepada keperluan hidup pengundi di bandar terutamanya di bandar-bandar
besar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. BN perlu sedar pengundi
bandar tidak berkongsi sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh
sesetengah pemimpin BN sendiri apabila berkempen. Bagi mereka, periuk
nasi dan taraf kehidupan mereka memainkan peranan mereka untuk memilih
parti yang disokong. Bukan itu sahaja, faktor media sosial dan sikap BN
yang mengawal media massa sepenuhnya terus membuatkan para pengundi
geram kerana kesal BN terus mendakwa Malaysia ini bebas dan demokrasi
tetapi mempertahankan penggunaan media massa tempatan sebagai haknya
sahaja.
Transformasi BN bukan sahaja untuk nasional tetapi juga dalaman parti
Bukan
sahaja BN patut menumpukan pada transformasi nasional tetapi yang
paling penting ialah BN perlu melakukan muhasabah atau dalam bahasa
sosialnya ialah transformasi dalaman. Masa bakal berlalu dengan cepat
sebelum PRU 14 dan BN perlu memulakan transformasi imej, doktrin,
ketelusan pengurusan wang dan organisasi untuk mendapatkan sokongan
semula. Jika PRU12 dan PRU13 terus menunjukkan penyusutan kerusi dan
undi popular pada BN maka tidak mustahil untuk trend berkenaan
berterusan di masa hadapan yang boleh menghumbankan mereka terus dari
puncak kuasa. Oleh itu, BN kenalah anggap situasi sekarang hanya sebagai
talian hayat atau satu lagi peluang (yang mungkin juga terakhir) untuk
memerintah dan berubah sepenuhnya jika mahu terus relevan di masa
hadapan.
Bagi
PR, terimalah keputusan dalam PRU13 tidak kiralah apa dakwaan ke atas
ketelusan SPR demi keharmonian negara. PR perlulah berfikiran positif
kerana PR sememangnya masih menang tetapi belum cukup sahaja untuk
berkuasa. Usahlah turun berdemonstrasi buat masa sekarang tetapi
merancang semula pelan kempen mereka terutamanya di Sabah dan Sarawak.
PR kena akur tanpa sokongan kuat rakyat Sabah dan Sarawak, cita-cita ke
Putrajaya tidak akan tercapai. Apa yang boleh diteruskan sekarang ialah
memperbaiki permuafakatan sesama komponen PR dan berusaha agar
menjadikan satu barisan parti dikenali sebagai Pakatan Rakyat
didaftarkan secara rasmi menjelang PRU akan datang.
Hanya
satu pesan saya kepada BN, berhentilah mendendami dan membuli PR
sepertimana yang dilakukan sepanjang 5 tahun lalu kerana rakyat menilai
setiap tindak-tanduk yang dilakukan oleh pemimpin BN sebagai bermotif
politik. BN dan PR perlulah bertoleransi di antara satu-sama lain serta
bersepakat sekali-sekala di dalam perkara-perkara yang menjamin
kepentingan masa hadapan negara kita. Sekiranya Najib sedar akan
keperluan untuk penyatuan nasional, usahlah syarat-syarat untuk ke arah
itu merupakan syarat-syarat diletakkan oleh BN sahaja tetapi mengambil
kira kepentingan rakyat dan memerlukan buah fikiran parti lawan. Dalam
berbuat apa-apa untuk negara, BN kena sedar sekali lagi bahawa partinya
tidak lagi memiliki majoriti undi popular dan ini bukan saya yang cakap
tetapi SPR sendiri sudah maklumkan pada umum. BN hanya beruntung kerana
menang paling banyak kerusi di Dewan Rakyat sahaja. - Shaharul Shafie
____________________
Shaharul
adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik, Teknologi Sains
Maklumat dan program pembangunan organisasi. Beliau juga kini
melanjutkan pengajian di peringkat PhD di sebuah universiti terkemuka
tempatan. Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa
perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di beberapa
laman web dan media cetak. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Din Sharpshooter
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/