SharpShooter Followers

Friday, February 19, 2010

Penduduk resah kampung terjejas akibat operasi kuari


Kuari di Kampung Jalan Pengkalan


Habuk berterbangan setiap kali kenderaan keluar masuk dari kampung ini


BUKIT TENGAH – Lebih 200 penduduk yang tinggal di Kampung Jalan Pengkalan, dekat sini, semakin dihimpit kebimbangan ekoran masalah yang ditimbulkan akibat operasi kuari pembinaan berhampiran rumah mereka.

Penduduk, Shikh Ahmad Shikh Ali,47, berkata, kuari yang memulakan operasinya sejak lebih dua tahun lalu itu menimbulkan pelbagai kesulitan terutama membabitkan keselamatan orang kampung yang rata-rata sudah tidak tahan lagi dengan apa yang sedang mereka lalui kini.

Menurutnya, sepatutnya hanya lori dengan muatan maksimum lima tan sahaja dibenarkan untuk melalui jalan di kampung itu, akan tetapi sebaliknya berlaku.

“Kami dah pasang papan tanda di jalan masuk kampung ni, tapi tak diendahkan pemilik kuari yang dilihat bersikap mengejar keuntungan tanpa menghiraukan musibah yang dihadapi penduduk.

“Sebelum kuari ni dibina, ada satu projek perumahan di sini. Akan tetapi, ia dihentikan kerana mengalami masalah batu. Justeru, tempat itu diambil alih oleh sebuah syarikat lain yang membina kuari pembinaan kononnya bertujuan bagi meratakan kawasan berbatu itu untuk dibina projek perumahan lain.


Shikh Ahmad menunjukkan longkang yang tersumbat serta dipenuhi semak samun

“Masa mula-mula dulu, penduduk ada menyuarakan tentang ketidakpuasan hati ekoran pembinaan kuari ini, tetapi pihak kuari membuat perjanjian bahawa kuari ini hanya beroperasi selama dua tahun. Kini tempoh masa yang dijanjikan telah tamat, kuari masih lagi beroperasi dan ia membangkitkan kembali kemarahan kami,” katanya.

Shikh Ahmad berkata, kampung mereka kini sudah tidak mempunyai rupa kampung lagi, sebaliknya sudah seperti sebuah tapak perindustrian kerana dianggarkan lebih dari 100 lori lori yang keluar masuk setiap hari.

Berikutan itu, katanya, jalan yang digunakan penduduk untuk lalu-lalang di situ setiap hari kini sudah tidak nampak seperti jalan lagi ekoran jalan sedia ada sudah retak dan pecah.

Tambahnya, walaupun pemilik kuari meletakkan batu kerikil bagi menampung jalan yang pecah itu, namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah penduduk kerana habuk yang dikeluarkan setiap kali kenderaan lalu-lalang amat menjejaskan penglihatan serta mengancam kesihatan penduduk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hasan Ismail, 76 berkata, jika dulu kampung berkenaan ada kira-kira 80 buah rumah, tetapi kini yang tinggal hanya lebih 50 buah sahaja kerana kebanyakan pemilik sudah tidak tahan lagi untuk menanggung masalah dan mengambil keputusan berpindah ke tempat lain.

Menurutnya, hampir keseluruhan rumah di kampung tersebut sudah tidak selamat untuk diduduki kerana strukturnya mulai retak akibat dari kerja-kerja meletupkan batu oleh pihak kuari setiap hari.

“Setiap kali mereka tembak batu, rumah mesti bergegar. Memang sebelum tu, mereka akan bagitahu penduduk dulu tapi apa kami boleh buat? Dulu pernah la sekali mereka baik pulih rumah penduduk yang terjejas, tapi sekali tu saja la. Sekarang, rumah kami semua retak, pecah, mereka bukan nak tanggung.

“Sebelum ni, dalam satu hari lebih dari tiga kali mereka tembak batu, tapi sekarang dah kurang kepada satu hari sekali. Pun begitu, ia masih menjejaskan keadaan rumah kami,” katanya.

Dia yang merupakan penduduk asal kampung itu berkata, harapan penduduk kini agar pemilik kuari dapat memberikan kerjasama dengan mengubah laluan keluar tanpa melalui kawasan kampung.

Dalam pada itu, batu yang dibawa kuari turut mengancam keselamatan penduduk yang tinggal di situ.

Halijah menunjukkan tingkap rumahnya yang pecah ekoran batu kuari terpelanting dan digantikan dengan papan

Halijah Md Arif, 66, berkata, batu yang dibawa lori pernah beberapa kali terpelanting menyebabkan tingkap rumahnya pecah. Dan, apabila diadu mereka menafikan dakwaan yang dibuat itu.

“Mak cik dah bosan dengan keadaan ni. Bukan sahaja tingkap pecah, rumah retak, debu pun penuh lekat dekat tingkap sampai dah tak larat nak cuci.

“Kalau mereka tak beroperasi lega lah sikit, tapi kalau dah mula memang susah hati. Batu yang mereka bawa tu sering juga terjatuh dalam longkang hingga menyebabkan longkang di rumah mak cik tersumbat. Bila hujan banjir,”katanya.

Siti Noor Anita menunjukkan debu tebal yang melekat pada tingkap rumahnya


Bagi ibu muda, Siti Noor Anita Ramli,24, habuk yang berterbangan menyebabkan kesihatan keluarga terutama bayinya terjejas.

Katanya, kerapkali anaknya yang berusia lapan bulan itu sakit ekoran dari terhidu habuk yang dibawa lori kuari.

“Sejak kuari ni beroperasi, memang macam-macam masalah timbul. Anak saya selalu tak sihat, saya pun sering mengalami batuk dan selsema.

“Pernah juga terfikir nak pindah, tapi terpaksa tangguhkan dulu hasrat tu sebab masalah kewangan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kewujudan kuari bukan sahaja menjejaskan keselamatan dan rumah penduduk, malah habuk dan debu turut menjejaskan perniagaan kedai makan berhadapan kuari tersebut.





Pekerja kedai makan ini mengelap meja yang dipenuhi habuk dan debu kuari

Pemilik kedai makan, Alias Yahaya, 45, berkata, peniagaannya terjejas teruk sejak kuari itu beroperasi lebih dua tahun lalu.

Beliau berkata, pekerjanya terpaksa mengelap meja setiap 15 minit ekoran debu yang terlalu tebal setiap kali lori keluar masuk dari tapak kuari, selain kenderaan penduduk.

“Setahun setengah pertama dulu, perniagaan agak maju, pelanggan pun ramai. Tapi, sekarang pelanggan semakin berkurangan, pendapatan pun terjejas.

“Setiap kali lori berselisih, habuk terbang masuk ke dalam makanan dan ia dikhuatiri mencemarkan makanan. Habuk dan debu juga sering menyelaputi peralatan memasak kedai ini.,” katanya.



Amizudin (kanan) bersama sebahagian penduduk kampung Jalan Pengkalan yang membantah kewujudan kuari di kampung mereka

Dalam pada itu, Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Amizudin Ahmat yang turun padang meninjau permasalahan penduduk Kampung Jalan Pengkalan berkata, satu perjumpaan akan diatur bersama pihak kuari, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk kampung bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut yang melanda penduduk sejak sekian lama itu.

Menurutnya, isu berkenaan tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia membabitkan keselamatan serta keselesaan penduduk di situ.

“Saya akan cuba mengaturkan perjumpaan itu dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan bersama pihak MPSP minggu depan.

“Kita berharap agar penduduk dapat bersabar dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu penduduk menyelesaikan masalah ini,”katanya. Azila - Sinar Harian


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/