SharpShooter Followers

Tuesday, December 21, 2010

AMK akan buatkan umno tidak tenang di Tenang

Angkatan Muda Keadilan Johor akan menggerakkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri Tenang, yang disifatkan sebagai gerak-kerja ‘perang habis-habisan’, kata Ketua AMK Johor, Zabidie Abas.

Menurut Zabidie, setakat ini AMK Johor telah membuat beberapa persiapan awal bagi menghadapi pilihanraya itu yang merupakanjulung-julung kali diadakan di Johor sejak Pilihan Raya Umum Mac 2008.

“Bagi KEADILAN dan AMK sendiri, kita sudah membuat tinjauan di kawasan Dun Tenang terutamanya di kawasan Felda dan perkampungan orang-orang asli di situ. Sekarang ini kita dalam proses untuk membentuk jentera parti supaya Dun Tenang di Johor ini dapat kita lakukan perang secara habis-habisan,” ujarnya kepada Keadilandaily.com

Zabidie berkata, PRK itu bakal menjadi penanda aras kepada sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat, terutamanya bagi menghakis persepsi bahawa Johor merupakan kubu kuat Umno-Barisan Nasional.

“Saya merasa tidak mustahil untuk kita menang jika kita jalankan gerak kerja yang rapi dan tersusun. Dan saya percaya pilihan raya ini akan menjadi satu pemangkin untuk semangat baru kepada Pakatan Rakyat di Johor dan memberi kekuatan bersama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Keadaan sudah berubah kesan pilihan raya umum 2008 di mana perkembangan Pakatan di Johor bertambah baik. Ini kesan dari jentera latihan yang telah kita hantar pada pilihan raya-pilihan raya kecil seperti di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan lain-lain,”ujarnya.

Ditanya mengenai persiapan dalam masa terdekat, Zabidie berkata AMK akan bergandingan bersama Pemuda Pas dan Dap bagi melancarkan jentera Pemuda Pakatan Rakyat pada 1 Januari ini.

“Kita akan keluarkan seberapa ramai ahli AMK yang kita ada, dan ahli AMK dari seluruh cabang seberapa maksima bagi bersiap sedia untuk gerak kerja dalam pilihan raya ini,”katanya.

Mengulas lanjut, Zabidie berkata isu tempatan di kawasan itu, terutama membabitkan masyarakat Felda dan orang asli akan diberi perhatian serius.

“Majoriti kira-kira 2,400 yang diperolehi BN pada PRU dulu datangnya dari Felda. Kita melihat Felda, anak-anak muda merasa diri mereka tidak dihargai oleh kerajaan Umno-BN. Kita dalam usaha mendekati mereka, hakikatnya pengundi Umno pada pilihan raya umum yang lalu diberikan pelbagai imbuhan untuk mengundi Umno-Barisan Nasional,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat berkata, beliau mensasarkan kira-kira 1,000 pemuda Pakatan Rakyat dalam majlis pelancaran jentera Pakatan Rakyat yang akan diadakan di bilik gerakan Pemuda PAS Johor di Pekan Labis.

“Kita sasarkan kira-kira 1,000 Pemuda Pakatan akan hadir dalam majlis tersebut yang akan dilancarkan oleh Naib Presiden PAS Salahudin Ayub,” katanya seperti
yang dilapor Malaysiakini.

Kerusi Dun Tenang dikosongkan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha akibat kompilasi penyakit kencing manis pada 17 Disember lalu. Sebelum ini allahyarham menang kerusi berkenaan dengan menewaskan calon Pas, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,493 undi. Dun Tenang merangkumi 50 peratus undi Melayu, 38 peratus undi Cina dan 12 peratus undi India.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/