SharpShooter Followers

Monday, December 13, 2010

Rakyat perlu faham apa itu Wikileaks

KEADILAN memandang serius cubaan memanipulasikan maklumat yang didedahkan oleh Wikileaks mengenai komen-komen bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew and agensi perisikan negara tersebut berkenaan fitnah sodomi yang dilemparkan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pertamanya, rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi Wikileaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterimapakai. Wikileaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai.

Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan di antara ahli-ahli diplomat. Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee Kuan Yew and agensi perisikan negara itu.

Laporan The Sydney Morning Herald ditulis berdasarkan catatan pendapat peribadi ahli diplomat Singapura mengenai jiran serantau di dalam ASEAN, Jepun, China dan India. Ia adalah pendapat peribadi mereka, bukannya fakta.

Untuk memahami dengan lebih dekat bahawa catatan tersebut adalah pendapat peribadi mereka yang disensasikan, rakyat perlu juga meneliti secara keseluruhan maklumat-maklumat lain yang turut didedahkan olehWikileaks yang terkandung di dalam kabel yang sama merakamkan pandangan peribadi pegawai-pegawai diplomatik Singapura:

Bilahari Kausikan

Menurut satu kabel yang merakamkan satu mesyuarat pada September 2008, En Kausikan memberitahu Timbalan Setiausaha Pertahanan AS David Sedney bahawa “ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia” yang akan menyebabkan orang Cina “meninggalkan” Malaysia dan “menyusahkan” Singapura.

Mengenai kepimpinan Barisan Nasional pula, kata beliau: “Masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa. Najib Razak perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa”, secara jelas mengaitkan Perdana Menteri dengan skandal pembunuhan perempuan Mongolia Altantuya Sharibu. Dia mengulangi pendapatnya bahawa “Najib Razak terancam disebabkan kes pembunuhan itu”.

Dia juga memanggil bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra seorang yang mengamalkan “rasuah”, “sama seperti yang lain termasuklah pembangkang di Thailand”. Ujarnya dalam kabel itu lagi, Thaksin “membuat kesilapan berbuat baik dengan Putera Mahkota Thailand apabila Thaksin membayar hutang judi putera itu”. Katanya , putera itu “tidak keruan dan sangat mudah dipengaruhi”.

Komen-komen yang lain termasuklah kenyataan beliau “lebih selesa dengan Korea Utara sebagai kuasa nuklear berbanding jika Iran mempunyai senjata nuklear”. Beliau juga mengkritik Russia, yang menurutnya “berekonomi dunia ketiga dan sistem kesihatan Russia pula kucar-kacir”.

Peter Ho

Dalam Mac 2008, En Ho mengutuk mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kerana “membaling batu” kepada penggantinya, Tun Abdullah Badawi. Komennya terhadap Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin adalah lebih kasar.

Menurutnya, “Khairy Jamaludin akan ditikam di dalam Umno kerana tiada orang yang sukakannya (Khairy) kerana Khairy naik dalam politik akibat pertalian keluarga”.

Seperti juga rakan sekerjanya, En Ho mengulangi tuduhan yang mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan Altantuya Sharibu. Katanya, “Najib adalah seorang yang suka mengambil kesempatan. Walaupun setakat ini dia masih belum mengkritik Singapura, dia tidak teragak-agak sekiranya tindakan itu menguntungkannya. Masa depan politik Najib akan terus dihantui oleh skandal pembunuhan (Altantuya)”.

En Tommy Koh

Seorang lagi diplomat kanan Singapura yang dipetik oleh kabel yang didedahkan oleh Wikileaks itu mengkritik negara-negara lain yang ada pengaruh di rantau ini, dalam catatan mesyuarat dalam bulan September 2009.

Dia menggelarkan Jepun sebagai “orang gemuk yang kalah dan merajuk” apabila membandingkan hubungan China dan ASEAN yang makin rancak. Dia juga menyalahkan keadaan itu kepada “kepimpinan Jepun yang bodoh, lemah dan tidak ada wawasan”.

Pandangannya terhadap India juga buruk, melalui gambarannya bahawa “kawan India yang bodoh dan teragak-agak untuk berkecimpung dengan ASEAN”.

Justeru, kabel sulit yang mengandungi pandangan peribadi Lee Kuan Yew dan perisikan Singapura mengenai fitnah terhadap YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu dilihat di dalam konteks yang sama dan sebetulnya, iaitu komen-komen peribadi yang menghina semua pihak di Malaysia tanpa mengira parti dan latar belakang.

KEADILAN mengulangi pendirian parti bahawa pandangan-pandangan tersebut, walaupun terkandung di dalam kabel sulit diplomatik yang dibocorkan oleh Wikileaks, adalah pandangan peribadi individu-individu tersebut yang tidak disokong oleh fakta. Untuk berlaku adil kepada semua pihak, komen-komen itu perlu dianggap sebagai cakap-cakap kosong dan pendapat peribadi mereka.

Jika tidak, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri yang perlu berhempas pulas menjawab dakwaan demi dakwaan yang terkandung di dalam kabel sulit yang sama; yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya Sharibu.

Akhirnya, kita kena kembali kepada perkara pokok yang meruntun negara dan rakyat iaitu integriti sistem kehakiman yang dinodai sehingga menidakkan keadilan. Ini dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya Dato’ Seri Anwar Ibrahim diberikan ruang sepenuhnya membela diri tanpa manipulasi atau campur tangan politik; agar beliau mendapat perbicaraan yang adil dan telus.

Fitnah terhadap beliau dan keluarga telah mengheret seluruh negara ini diselubungi igauan sejak tahun 1998 lagi. Igauan tersebut boleh dihentikan sekiranya integriti dan kredibiliti institusi kehakiman dipulihkan.

Makanya, KEADILAN akan mengalu-alukan mana-mana maklumat (sulit atau tidak) dari mana-mana pihak yang boleh menegakkan kebenaran, asalkan maklumat itu adalah tepat dan berasaskan fakta. Malangnya, komen-komen yang terkandung di dalam kabel sulit yang dibocorkan itu tidak lebih dari maki hamun terhadap semua perkara yang bukan Singapura, bertepatan dengan rekod hubungan diplomatik yang dingin di antara Malaysia dan Singapura.

Continue reading ‘Laporan Sydney Morning Herald Dan Kandungan Kabel Diplomatik Singapura: KEADILAN Menolak Pendapat Peribadi Yang Disensasikan’

Kita sedar bahawa agensi perisikan Singapura dan Cawangan Khas Polis Malaysia sudah bekerjasama sekian lama, tetapi kerjasama tersebut tidak menumpukan kepada keselamatan serantau tetapi menjurus untuk keuntungan politik kedua pimpinan tersebut.

Kenyataan peribadi Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew membayangkan bahawa beliau tidak dapat menerima kepimpinan Anwar Ibrahim dan tidak mahu melihat Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya kerana ianya akan menjejaskan kedudukan Singapura di rantau ini.

Mereka lebih rela pimpinan UMNO-BN memerintah negara kerana pimpinan korup ini dengan mudah melutut kepada segala tuntutan Singapura.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/