Dendam terbalas! Garuda tersembam ke bumi dibaham Harimau Malaya. Nampaknya reputasi gah Indonesia sekadar omong kosong apabila anak-anak buah K. Rajagobal memastikan penyokong Malaysia berpesta di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kemenangan cukup menyakinkan, 3-0.
Luka kekalahan 1-5 di Jakarta telah diubati dengan kemenangan berharga ini dan Malaysia kini berpeluang cerah menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama.
Turut menyaksikan kemenangan bersejarah itu ialah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan dif-dif kehormat yang lain.
Dianggarkan sebanyak 85,000 penonton membanjiri stadium pada malam, semalam.
Nama Safee Sali layak disanjung sebagai wira Malaysia kerana dua golnya pada minit ke-59 dan 71 selain Mohd. Ashari Samsudin pada minit ke-67 memastikan Malaysia membuatkan Indonesia pulang dengan penuh kekecewaan.
Kemenangan ini sudah pasti memberikan kelebihan besar buat Malaysia yang akan bertandang ke bumi Jakarta pada Rabu depan untuk perlawanan akhir kedua.
Walaupun beraksi agak gementar pada separuh masa pertama, percaturan bijak Rajagobal memasukkan Ashari dan mengeluarkan
Mohd. Amirulhadi Zainal untuk menukar rentak serangan sebaik bermula separuh masa kedua membuahkan hasil lumayan buat pasukan negara.
Ashari bagaikan menjadi senjata sulit negara apabila serangan dari arah sebelah kiri jelas bertenaga dan membuatkan benteng Indonesia dalam keadaan kucar-kacir.
Detik gemilang Malaysia bermula 14 minit pada separuh masa kedua, apabila pengantin baru yang melangsungkan majlis persandingannya, Norshahrul Idlan Talaha bijak menghukum kesilapan Maman Abdurachman di sebelah kanan sebelum melorongkan bola kepada Safee yang tidak dikawal untuk memberikan gol pembukaan buat Malaysia.
Keyakinan Garuda sedikit terjejas selepas Malaysia meraih gol pertama dan kesempatan itu diambil oleh pemain Malaysia, hasilnya, Ashari melakukan rembatan menarik dalam kotak penalti pada minit ke-67 untuk menewaskan Markus yang hanya mampu tergamam.
Keadaan di Bukit Jalil gegak gempita sementara penyokong Indonesia terus bermuram apabila Malaysia memperoleh gol ketiga hasil hantaran silang yang cantik daripada bek kanan, Mahalli Jasuli sebelum disudahkan melalui tandukan Safee pada minit ke-71 bagi meletakkan Harimau Malaya kini sebelah kaki untuk menjulang Piala AFF.
Selepas gol tersebut, aksi pemain Indonesia semakin longlai, namun sebaliknya keyakinan pemain Malaysia semakin menggila, malah hampir mendapat gol keempat melalui sayap lincah negara, S. Kunanlan pada masa kecederaan tetapi Markus sempat menghalang.
Dalam aksi di Jakarta nanti, Malaysia sudah pasti akan kehilangan khidmat Mohd. Amirulhadi Zainal yang mengutip kad kuning kedua dalam perlawanan ini sementara Indonesia pula terpaksa meratapi ketiadaan Oktovianus Maniani yang turut menerima nasib yang sama.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/