SharpShooter Followers

Friday, March 16, 2012

Baru Bian nafi tuduhan Raja Petra

Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian menafikan sepenuhnya dakwaan Raja Petra Kamarudin bahawa beliau memperkenalkan syarikat Azam dan Azan Sdn Bhd (AASB) kepada Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk satu projek penswastaan di Selangor.

“Ini adalah kali pertama saya mendengar nama syarikat ini. Saya juga tidak mengetahui apa-apa berkenaan urus niaga yang diceritakan dalam artikel beliau,” jelas Baru Bian.

“Saya merasa teruja dengan bab terbaru ‘novel’ Raja Petra ini. Malah, saya bangga kerana beliau dan orang di belakangnya menganggap saya sebagai satu ancaman kepada kerajaan pemerintah”, ujar beliau.

Beliau turut berkata, rakyat berfikiran wajar dan matang untuk tidak mempercayai tuduhan melulu tanpa bukti. Beliau menjangka tuduhan-tuduhan tidak berasas ini akan terus direka menjelang pilihan raya umum nanti.

Beliau merujuk kepada artikel Raja Petra bertajuk ‘EPISODE 20: The USD10 million kickback’, yang mengatakan AASB membayar wang sogokan berjumlah USD10 juta kepada KEADILAN sebagai dana pilihanraya.

Artikel itu menyatakan AASB diberi kontrak dalam projek pemindahan pasar Selayang bersama bengkel dan pejabat pelbagai guna milik Majlis Perbandaran Selayang.

Pada masa ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’ Kelalan itu berada di ibu negara untuk berbincang dengan pemimpin KEADILAN berkenaan tindakan yang akan diambil terhadap Raja Petra.

Dalam artikel tersebut, Raja Petra mendakwa Baru Bian memperkenalkan wakil AASB kepada Tian Chua untuk dibawa kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Namun, wakil itu tidak dinamakan dalam artikel itu.

Artikel itu turut mengemukakan beberapa dokumen dan surat berkenaan isu ini, tetapi semuanya bertarikh sebelum Mac 2008, iaitu sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Selangor dari Umno BN.



Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/