SharpShooter Followers

Friday, March 09, 2012

Pemuda PAS berdiri teguh di belakang TG Nik Aziz

Isu dalaman kerajaan pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang berlaku di Kedah belum lagi reda tiba-tiba timbul pula polemik pandangan supaya jawatan Timbalan Presiden PAS boleh dipegang oleh orang bukan Islam.

Tetapi Alhamdulillah, lega apabila melihat dan meneliti kenyataan Mursyid Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan dengan tegas bahawa sesiapa sahaja boleh memimpin PAS selagimana dia adalah orang Islam dan salih tanpa mengira apa bangsa dan keturunannya.

Bagi ahli bawahan bukan sahaja yang tinggal di bandar bahkan yang tinggal di kampung-kampung seperti saya polemik-polemik seperti ini membimbang dan merungsingkan mereka kerana bagi mereka isu-isu seperti ini sudah selesai kerana kemasukan dan intima mereka ke dalam PAS bukan sahaja melihat PAS itu sebagai sebuah parti politik tetapi sebagai sebuah jamaah dan gerakan Islam yang mewakili umat Islam di negara ini khususnya.

PAS diakui sebagai sebuah Jamaah Islam dan wadah kepada perjuangan umat Islam di negara ini, adalah satu dari mata rantai Gerakan Islam seluruh dunia yang ditubuhkan bagi memenuhi tuntutan tajdid selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah di Turki. Ia bersama-sama dengan Ikhwan Muslimin di Mesir, Jemaat Islami di Indo-Pak, Parti Saedat di Turki, HAMAS di Palestin dan lain-lain harakah Islam di seluruh dunia, mendukung perjuangan Islam dan bangun bersama Islam dan merealisasikan corak hidup Islam.

Walaupun nama-namanya berbeza di antara satu dan yang lain tetapi yang menyatukan gerakan-gerakan Islam ini ialah tujuan dan matlamatnya untuk melihat ugama Islam menjadi ugama yang memerintah di atas muka bumi Allah ini.

Kenyataan Mursyid Am PAS itu bukannya jumud, beku atau ingin membawa PAS berundur ke belakang di saat sokongan daripada orang bukan Islam begitu memberangsangkan sekali. Seolah-olah menyekat orang bukan Islam untuk menjadi pimpinan tertinggi PAS; mereka memahami apabila mereka memberikan sokongan kepada PAS bahawa PAS adalah parti untuk orang Islam tetapi mereka tertarik dengan komitmen dan istiqamah pemimpin dan ahli-ahli PAS dengan perjuangan Islam PAS.

Mereka tidak kecewa dengan penegasan Mursyid Am PAS itu. Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) adalah bukti bagaimana orang bukan Islam boleh menerima pendekatan yang dibawa oleh PAS dan menerima kepimpinannya mestilah diterajui oleh orang Islam. Dalam tempoh lima dekad perjuangan, PAS telah berjaya meruntuhkan tembok yang memisahkannya dengan orang bukan Islam, tembok khurafat yang dibina oleh UMNO/BN yang sentiasa berusaha untuk mewujudkan jurang antara PAS dan orang bukan Islam.

PAS akan terus menawarkan risalah Islam yang bersifat ‘alamiyyah (universal) dengan berkonsepkan adil dan rahmat ini kepada masyarakat bukan Islam. Tawaran PAS ini bukan untuk menindas mereka, bukan untuk memperdayakan mereka dan bukan untuk memaksa mereka. Kita mengemukakan penyelesaian mengikut Islam untuk mereka membuat pilihan yang bebas antara politik yang bersifat dominasi politik Melayu dengan politik Islam yang bersifat ‘alamiyyah sebagai teras kehidupan yang harmoni dan adil di negara ini.

Pada pandangan saya apa-apa jawatan di dalam PAS walaupun ketua cawangan sekalipun syaratnya mestilah berugama Islam, adalah di antara prinsip-prinsip tetap yang diamalkan di dalam PAS, ia bukannya termasuk di dalam ruang lingkup perkara yang boleh berubah mengikut tempat dan masa yang tertentu. Perlembagaan PAS FASA 11 (2) menetapkan syarat untuk menjadi ahli PAS itu mestilah berugama Islam, untuk menjadi pemimpin PAS mestilah terlebih dahulu menjadi ahli PAS.

Penetapan ini bukan kerana PAS mengokong penglibatan penganut ugama lain untuk bersama-sama membangunkan PAS di barisan pimpinan tetapi ianya adalah satu ketetapan yang berlandaskan kepada dasar PAS itu sendiri iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Ini adalah amalan biasa hatta di dalam mana-mana pertubuhan dan organisasi, bahawa pemimpin yang mahu memimpin pertubuhan dan organisasi tersebut mestilah menganut ideologi dan berpegang dengan dasar-dasarnya. Mana mungkin Parti Komunis boleh mengambil pemimpin yang berpegang dengan ideologi Kapitalis, adalah mustahil sama sekali.

PAS menetapkan pimpinannya mestilah di kalangan orang Islam kerana ianya adalah tuntutan syarak. Sesebuah jamaah Islam mestilah dipimpin oleh orang Islam. Mana mungkin imam di dalam solat berjamaah atau orang yang boleh menggantikan imam adalah di kalangan orang bukan Islam, begitulah juga keadaannya Jamaah Islam yang bergerak di dalam masyarakat, kepimpinannya mestilah di kalangan orang-orang Islam. Intipati ini boleh difahami di dalam firman Allah antaranya ialah (bermaksud): “Hendaklah ada di kalangan kamu satu umat (kumpulan) yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran“.

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa kumpulan yang melaksanakan tugas-tugas sebagaimana yang digariskan itu mestilah dikalangan orang-orang Islam dan dipimpin oleh mereka.

Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin Jamaah Islam yang pertama, apabila baginda tiba di Madinah selepas melalui kesusahan di dalam peristiwa hijrah, orang-orang Madinah bersepakat melantik baginda untuk menjadi pemimpin mereka di Madinah walaupun di Madinah ketika itu masyarakatnya adalah majmu’ yang terdiri daripada orang Yahudi, Nasrani Najran dan orang Musyrikin. Rasulullah s.a.w memimpin masyarakat Madinah dengan model Jamaah Islam yang memimpin sebuah kerajaan dan pemerintahan, oleh kerana itulah semua pimpinan kerajaan Islam Madinah adalah orang-orang Islam. Orang-orang bukan Islam pada ketika itu semuanya bersetuju apabila mereka sepakat menerima Piagam Madinah yang diletakkan oleh Rasulullah s.a.w., kecuali Abdullah bin Ubay dan golongan munafiqun yang bermati-matian menentang Rasulullah s.a.w. dengan cara yang terang-terangan atau halus.

PAS menetapkan pimpinannya mestilah di kalangan orang Islam kerana ianya menjamin maslahah Islam dan umat Islam. Maslahah Islam dan umat Islam ialah dengan melaksanakan konsep pemeliharaan lima perkara asas di dalam Islam iaitu; penjagaan kepada ugama, nyawa, maruah, aqal dan harta. PAS adalah jamaah yang meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya kekuatan yang dapat membangun semula umat Islam, membebaskan golongan mustadhafiin dan menyelamatkan negara daripada kehancuran dan kemusnahan. PAS akan terus menerus menjadi jamaah yang berjuang dan berusaha membebaskan umat Islam daripada penyakit-penyakit yang membawa kepada kehinaan dan kehilangan maruah mereka. Tanggungjawab dan kewajipan yang besar ini sudah tentu tidak boleh dilaksanakan melainkan oleh orang-orang Islam sendiri.

Kedudukan orang bukan Islam sebagai pemimpin kepada Jamaah Islam dan kedudukannya sebagai salah seorang menteri atau pegawai di dalam sebuah kerajaan Islam adalah dua keadaan yang berbeza sama sekali. Kepimpinan kepada Jamaah Islam adalah perkara asas dan dasar adapun وزارة التنفيذ dalam pelaksaaan sistem pemerintahan Islam adalah perkara furu’ yang mempunyai ruang kepada ulama untuk memberikan ijtihad-ijtihad mereka. Di dalam konteks negara Islam para fuqaha sering menyebut Hadis Nabi s.a.w apabila membicarakan hak-hak orang bukan Islam di dalam Negara Islam: “Bagi mereka (orang bukan Islam) apa yang dimiliki oleh kami (orang Islam) dan apa yang dikenakan ke atas mereka juga dikenakan ke atas kami“.

Mengikut Dr Abdul Kareem Zaidan di dalam bukunya أحكام الذميين والمستأمنين فى دار الإسلام walaupun hadis ini tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar tetapi maknanya boleh diterima oleh fuqaha. Bertitik tolak daripada sini para fuqaha menegaskan bahawa, di atas asas umum, orang-orang bukan Islam yang menghuni di dalam Negara Islam, mereka adalah sama dari sudut hak-hak dan keperluan-keperluan melainkan asas umum ini terdapat pengecualian iaitu Negara Islam meletakkan syarat terhadap orang bukan Islam untuk mereka menikmati hak-hak yang tertentu di dalam negara Islam mestilah menepati syarat Aqidah Islam kepada individu tersebut tidak cukup dengan hanya dia menjadi rakyat kepada negara Islam dengan erti kata lain mestilah berugama Islam. Maka di atas dasar ini jika sekiranya kita melihat Jamaah Islam itu adalah jelmaan kepada Negara Islam, mereka yang memimpin Jamaah Islam mestilah menepati syarat Aqidah Islam itu sendiri.

Pelantikan atau pemilihan orang bukan Islam menjadi pimpinan tertinggi PAS hatta presiden sekalipun boleh diterima jika sekiranya PAS adalah semata-mata parti politik sebagaimana حزب الحرية والعدالة (Parti Kebebasan dan Keadilan) di Mesir sebagaimana contoh yang diberikan. Tidak menjadi salah kita melihat dan mengambil manfaat daripada pendekatan PKK di Mesir atau di mana-mana sahaja tetapi bukan semua yang diketengahkan di Mesir boleh diterima pakai di Malaysia.

Bukan semua yang diketengahkan di Pakistan boleh diterima pakai di Morocco dan begitulah seterusnya. PKK di Mesir adalah cabang parti politik yang ditentukan polisi dan strategi oleh Ikhwan Muslimin. Ikhwan Muslimin tidak masuk campur dari segi kewangan, kepimpinan dan perkara-perkara yang bersifat teknikal. Mereka boleh memilih pemimpin mengikut kehendak mereka, oleh kerana itulah mereka memilih Rafiq Habib, penganut Kristian sebagai Timbalan Presiden kepada PKK sebagai satu strategi politik. PKK ditubuhkan dan bergerak bersusuaian dengan waqi dan keadaan semasa ianya ditubuhkan ketika berdepan dengan tekanan oleh regim Hosni Mubarak di mana Ikhwan Muslimin tidak boleh menggunakan nama dan simbolnya untuk bertanding di dalam pilihanraya di Mesir.

Selepas daripada kejatuhan regim Hosni Mubarak sudah timbul suara-suara di dalam Ikhwan Muslimin sendiri, ketika pilihanraya yang diadakan baru-baru ini supaya Ikhwan Muslimin menggunakan nama dan simbolnya sendiri yang sudah tentu jika sekiranya perkara ini berlaku Rafiq Habibi tidak boleh menjadi timbalan presiden kepada Ikhwan Muslimin kerana perlembagaan Ikhwan Muslimin sebagaimana perlembagaan PAS meletakkan syarat keahliannya mestilah orang Islam.

Dengan ini saya mengucapkan tahniah di atas ketegasan Mursyid Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan saya menyokongnya dengan sebulat hati.

USTAZ KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Lajnah Tarbiah
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/