SharpShooter Followers

Monday, March 05, 2012

Sanggup tidur di luar rumah

TELUK BAHANG - Seorang pekerja am sanggup tidur di luar rumah selepas kejadian ribut pada malam Jumaat lalu, yang menerbangkan sebahagian bumbung rumahnya di Kampung Teluk Awak.

Azman K Saur Mydin, 43, berkata, dia terpaksa tidur di luar sejak dua malam lalu kerana menjaga rumahnya walaupun tidak berbumbung.

“Masih ada barangan berharga yang disimpan di dalam membuatkan saya tidur sahaja di luar, manakala tujuh lagi ahli keluarga lain, termasuklah ibu, isteri dan anak-anak ditumpangkan sementara di rumah abang yang terletak bersebelahan.

“Saya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa kami sekeluarga kerana inilah pertama kali kejadian sedemikian melanda kampung ini,” katanya yang bekerja di Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Selain bumbung, bahagian hadapan dan belakang rumahnya turut rosak ditimpa pokok manggis sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM20,000.

Azman berkata, mujurlah ahli keluarganya tidak cedera semasa kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu.

“Semua ahli keluarga berada di bahagian bawah rumah dan sedang menonton televisyen ketika kejadian.

“Saya tak dapat dibayangkan sekiranya kejadian itu berlaku pada waktu tengah malam kerana anak-anak saya semuanya tidur di bahagian atas rumah.

“Kami amat bersyukur kerana semuanya selamat walaupun barangan elektrik seperti sistem audio, peti sejuk dan televisyen musnah dalam kejadian itu,” katanya.

Azman turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pimpinan tempatan dan Kerajaan Negeri kerana pantas menyalurkan bantuan.

“Bumbung rosak kini sedang dibaiki dan dijangkakan siap sepenuhnya hari ini namun, masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk menyusun atur semula barangan yang bertaburan.

“Kerja pemotongan pokok dan pembersihan jalan juga membantu memudahkan penduduk dan diharapkan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi,” katanya.

Sinar Harian


Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/