SharpShooter Followers

Tuesday, March 27, 2012

Blogger Cucu Mat Kilau pula disaman

Susulan membuat urusan pembelian rumah menggunakan syarikat guaman milik seorang bekas calon BN yang tewas pada Pilihanraya Umum ke-12 lalu, menyebabkan pembeli akhirnya berhadapan dengan tindakan saman oleh pemilik kediaman terbabit.

Inilah yang berlaku kepada Mohd Shukri Mohd Ramli (foto) atau lebih dikenali sebagai Blogger Cucumatkilau sekarang. Beliau terpaksa naik turun mahkamah sejak tahun lepas (2011) semata-mata untuk kes yang tidak sepatutnya berlaku itu.

Menurut Shukri, beliau menggunakan khidmat guaman Salamon, Zuraida & Partners yang terletak di Kuantan Center Point kerana dimaklumkan oleh rakan-rakan kononnya firma terbabit menawarkan caj perkhidmatan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan lain-lain firma di bandar Kuantan.

Namun, selepas segala urusan jual beli selesai kini beliau berhadapan dengan tindakan saman sehingga mencecah RM28,208.23 atas denda kelewatan 10% setahun (2 tahun) yang dikenakan terhadap rumah yang dibeli dengan harga RM93,000.

Difahamkan, salah seorang pemilik syarikat guaman itu ialah Salamon Ali Rijal yang merupakan bekas calon BN yang tewas kepada Azan Ismail (PKR) bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu.

"Banyak masalah yang berlaku hingga menyebabkan urusan jual beli terlewat dan akhirnya kami disaman oleh penjual. Kini, mereka lepas tangan dan membiarkan kami terkapai-kapai. Sedangkan kesalahan itu juga melibatkan kesalahan nama pada geran yang dilakukan oleh pihak terbabit hingga ia melewatkan proses berkenaan. Memang awalnya saya terlewat bayar caj perkhidmatan kerana sudah tidak tahan mengamuk dengan harga perkhidmatan yang ditawarkan (berubah-ubah)",
kata Shukri.

Apa yang menyedihkan, beliau terpaksa menghabiskan banyak wang untuk membayar peguam baru bagi berhadapan dengan tindakan saman oleh pemilik. "Sebelum ini kes didengar di Mahkamah Sesyen Raub, namun selepas setahun kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan. Apa yang saya kecewa syarikat guaman terbabit (Salamon, Zuraida & Partner), langsung tidak mahu membantu dan menyelesaikan masalah ini secara rundingan agar ia tidak membebankan kami.

Bayangkan beli rumah RM93,000 tetapi perlu bayar saman RM28,208.23 pula atas kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku. Memang benar urusan tertangguh selama dua tahun, tetapi ketika itu kami membayar sewa RM300 terhadap rumah terbabit sebagai bayaran ganti rugi. Tapi, bila semua sudah selesai, kami pula disaman .. sedangkan peguam ada memberi tahu akan selesaikan kes itu sebaik mungkin. Kini kami dibiarkan berhadapan dengan kes ini tanpa bantuan peguam berkenaan"
, kata Shukri lagi.

Kes Akan Ke Tribunal Pengguna Dan Bar Council

Difahamkan, kes akan didengar semula pada 16 April 2012 ini di Mahkamah Sesyen Kuantan. "Saya terpaksa melantik peguam baru untuk berhadapan dengan kes berkenaan, sedangkan peguam asal kami hanya lepas tangan. Ini amatlah tidak adil, kami bayar dia untuk uruskan urusan jual beli rumah (lama) bukan rumah baru, tapi kini mereka senang lenang selepas dapat wang sepenuhnya dari urusan terbabit", tambah Shukri.

Beliau juga tidak teragak-agak akan membawa kes ini ke Tribunal Pengguna dan juga Majlis Peguam (Bar Council) untuk mengambil tindakan terhadap syarikat guaman terbabit yang telah menyusahkan kehidupannya sejak lima tahun yang lalu.

"Benar, mereka kini senang lenang atas masalah yang kami hadapi .. tapi tunggulah apa yang akan kami lakukan. Ada bukti kukuh mereka telah melanggar amalan guaman dalam kes ini. Saya memberi tempoh beberapa hari untuk pihak terbabit berbincang dan menyelesaikan masalah ini atau firma guaman mereka akan ditutup jika perkara ini dibongkarkan",
kata Shukri.

Justeru beliau menyeru orang ramai di sekitar Kuantan dan kawasan yang sama waktu dengannya agar lebih berhati-hati dengan helah dan taktik syarikat guaman selepas ini. Jangan hanya "tandatangan" segala dokumen yang diminta sebelum mengkajinya terlebih dahulu.

Sumber Pahang Daily Online.

Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/