SharpShooter Followers

Wednesday, March 21, 2012

Keadilan gesa PSC siasat pemindahan pengundi secara haram

KEADILAN mendesak Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) Penambahbaikan Pilihanraya menyiasat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung pemindahan kawasan mengundi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tanpa pengetahuannya.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, tindakan SPR bertentangan dengan Akta Pilihanraya 1958 yang melakukan persempadanan semula sebelum tempoh yang ditetapkan.

“Suruhanjaya tidak dibenarkan mengubah sempadan bagi negeri dan Parlimen melainkan dilakukan persempadanan semula selaras Jadual 13, Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan dilaksanakan lapan tahun sekali.

“Dalam tempoh lapan tahun pengundi tidak boleh dipindahkan merentasi sempadan kawasan negeri atau Parlimen seperti terjadi kepada Menteri Besar Selangor,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan Kawasan mengundi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditukar tanpa pengetahuannya, seperti yang terbukti menerusi carian di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semakan di laman web tersebut mendapati Khalid kini pengundi di kawasan pilihanraya Lembah Pantai yang diwakili Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, lapor Malaysiakini.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti di bawah daerah mengundi Universiti.

Bagaimanapun, Khalid sebelum ini mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Sivarasa berkata, jawapan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omaryang mengatakan kawasan Khalid tidak ditukar, tetapi sempadan diperbetulkan merupakan sesuatu yang dangkal.

Ini kerana, SPR merujuk kepada Seksyen 7(1), Akta Pilihanraya 1958, bagaimanapun peruntukan tersebut hanya terpakai bagi proses pembentukan daerah mengundi bagi setiap kawasan selepas persempadanan semula kawasan mengundi termasuk mengubah atau membuat kawasan baru.

“Seksyen 7(2) pula memperuntukkan pembahagian kawasan mengundi kepada daerah pengundian boleh diubah sekiranya perlu, bagaimanapun ini berlaku dalam pengundian yang sama.

“Perkara ini boleh disemak dalam laman web SPR di bawah Seksyen Persempadanan Bahagian Pilihanraya dan di bawah sub-seksyen Belah Bahagai Daerah Mengundi yang mana dinyatakan bahawa seorang pengundi tidak boleh dipindahkan merentasi kawasan pilihanraya negeri apatah lagi sempadan pilihanraya Parlimen,” jelasnya.

Di kawasan Subang juga beliau berkata, selepas semak daftar pengundi yang diwartakan oleh SPR untuk akhir September 2011 mendapati sekurang-kurangnya 208 pengundi dipindahkan kawasan mengundi DUN dan Parlimen.

“Saya telah membuat laporan di SPR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon supaya diadakan siasatan terhadap penyelewengan dan tindakan haram ini,” katanya.



Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/