SharpShooter Followers


Wednesday, April 20, 2011

Dato' J vs Dato T



SHAH ALAM 19 APRIL : Gandingan Datuk T harus menjadi fokus utama Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul.

'Datuk T' iaitu Bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Easky Abdullah dan bekas Bendahari Perkasa Shuaib Lazim mengaku mendalangi penayangan video lucah itu di Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

"Soal dia (Eskay) mahu heret isu jam. Hari ini cerita jam, esok cincin, lusa tali pinggang, tulat sapu tangan...manakan boleh kita mahu jawab semua ini. Sebab itu kalau polis merasakan ada (keperluan untuk) siasatan maka siasat sahaja. Bukan sahaja jam, tapi apa jua yang perlu disiasat. Tetapi itu episod kedua selepas Peguam Negara dan polis mengambil tindakan jenayah atas fitnah dan ugutan yang dilemparkan," ujar beliau.

Johari berkata, Anwar sendiri tidak keberatan jika pihak berkuasa menjalankan siasatan telus untuk mengenal pasti pelaku dalam video berkenaan namun perkara pokok ialah tindakan fitnah dan peras ugut oleh Datuk T.

"Jangan lari daripada isu di mana tiga orang ini telah melakukan jenayah. Rahim dan Eskay mengaku terlibat, perlu ambil tindakan perkara itu dahulu. Kita tidak mahu defensif. Kalau mahu siasat maka teruskan, sebab Anwar kata bukan dia. Kalau bukan dia, tentu orang lain. Guna apa sahaja undang-undang tiada masalah," ujar beliau lagi.

Johari adalah ahli parlimen pertama diundang oleh Rahim menonton rakaman itu. Johari berkata Rahim kemudian memintanya untuk memujuk wakil rakyat PKR lain supaya keluar dari parti itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata trio 'Datuk T' kemungkinan akan didakwa mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah apabila mengaku menjadi dalang penayangan video seks terbabit.

Namun keputusan muktamad akan dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. Semalam PKR memberi kenyataan menzahirkan kebimbangan Gani akan mencari helah untuk mengikut telunjuk Umno dan mendakwa Anwar bersabit video itu.

Johari berkata, tindakan polis seharusnya berlandaskan undang-undang dengan pengakuan ketiga-tiga individu terbabit dijadikan asas penangkapan bersandarkan laporan yang dibuat oleh Anwar sebagai mangsa fitnah.

Beliau turut menyarankan agar ketiga-tiga individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Keselamatan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 bersabit Qazaf.

Akta tersebut memperuntukkan mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Jelasnya lagi, kabinet pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dilihat teragak-agak dan terikat kepada pertimbangan politik sama ada untuk mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga individu terbabit.

"Ini adalah isu berprofil tinggi. Saya rasa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Najib harus menghadapi hakikat bahawa jika anda tidak ambil apa-apa tindakan, rakyat tetap akan buat keputusan. Lebih baik anda ambil tindakan. Apa yang kita minta adalah tindakan yang berlandaskan undang-undang," katanya.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/