SharpShooter Followers

Saturday, November 21, 2009

Husam Musa akan digugurkan....

Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mendakwa sudah wujud konspirasi untuk menggulingkan beliau daripada pentadbiran kerajaan negeri itu.

“Terdapat usaha untuk mencetuskan perbalahan antara saya dan Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan),” pengakuan Husam

“Saya sedar tentang kewujudan konspirasi (pihak tertentu) terhadap saya,” kata beliau lagi.

Pada Jun lalu, Husam yang dilihat sebagai ‘anak emas’ Nik Aziz, tewas dalam pertandingan merebut kerusi Timbalan Presiden PAS.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS disebut sedang timbang untuk menggugurkan Husam daripada Kabinet pentadbiran negeri ekoran isu Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang dipecat sebagai Pengarah Perhubungan Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) minggu lalu.

Syed Azidi, blogger Kickdefella, pula dilihat sebagai antara orang kanan Husam.

PMBK kini diterajui oleh menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman.

Semalam Syed Azidi mendakwa Nik Aziz telah meminta Ariffahmi yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Ariffahmi yang turut mendakwa Syed Azidi cuba untuk memberi tekanan ke atas Nik Aziz.

Khabar angin mengenai langkah menggugurkan Husam sebagai Exco mula timbul ekoran dakwaan Syed Azidi bahawa Nik Aziz akan mengumumkan keputusan letak jawatan Ariffahmi, semalam.

“Saya tahu bahawa Tok Guru tidak akan berbuat demikian kerana beliau seorang pemimpin yang waras,” tambah Husam yang merupakan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun Husam juga enggan mengesahkan sama ada Ariffahmi merupakan individu di belakang dalam usahanya untuk menggulingkan beliau daripada kerajaan negeri.

“Mereka adalah pihak luar, berusaha untuk menyerang, tetapi sasaran mereka ialah Tok Guru dan kemudian mereka akan bergerak untuk menggulingkan kerajaan PAS,” kata Husam lagi.

Pemilihan PAS pusat Jun lalu juga memperlihatkan kewujudan kumpulan yang ‘memihak’ Nik Aziz dan juga puak menyokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Badan perhubungan PAS Kelantan dijadual mengadakan mesyuarat khas pagi esok dan dijangka membincangkan krisis terbaru di negeri itu.

Kebanyakan ahli jawatankuasa perhubungan PAS Kelantan mahu Ariffahmi digugurkan dari sayap pelaburan negeri itu.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/