SharpShooter Followers

Thursday, February 18, 2010

AMK CABAR ZAHRAIN LETAK JAWATAN

BAYAN BARU, 18 Feb: Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Cabang Bayan Baru mencabar Datuk Seri Zahrain Hashim meletakkan jawatan dalam masa terdekat untuk memberi peluang rakyat di kawasan parlimen tersebut memilih wakil baru.

Ketuanya, Ahmad Azrizal Tahir berkata, kemenangan Zahrain sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru pada 8 Mac 2008 lalu adalah di atas tiket PKR dan menjadi tanggungjawabnya melepaskan semua jawatan termasuk ahli parlimen ekoran tindakannya keluar parti minggu lalu untuk menjadi anggota Bebas.

Menurutnya lagi, rakyat di Bayan Baru juga kecewa terhadap sikap yang ditunjukkan oleh Zahrain sebelum mengisytiharkan keluar PKR dengan menunding jari terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kononnya tidak membela kedudukan Melayu serta bersikap diktator dan ekstrem.

"Beliau jangan cakap banyak lagi sekarang. Apa yang perlu dibuat ialah meletakkan jawatan dan bagi rakyat di sini pilih ahli parlimen baru untuk mewakili rakyat," katanya.

Bila ditanya adakah beliau yakin PKR boleh mempertahankan kerusi parlimen tersebut sekiranya kerusi itu dikosongkan Zahrain, beliau menambah, terpulang kepada rakyat kerana rakyat adalah penentu untuk membuat keputusan.

Bagaimana pun, sambungnya lagi rakyat kini sudah matang, tambahan lagi Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya melakukan pembaharuan dengan memperkenalkan sistem Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), membantu meningkatkan pendapatan hidup terhadap golongan miskin tegar, membela warga emas dan sebagainya.

"Bagi kami, Zahrain tidak membawa apa-apa makna lagi kerana ia berada di luar PKR. Jalan terbaik baginya untuk tidak dikeji oleh orang ramai ialah letak jawatan Ahli Parlimen Bayan Baru.

“Jika beliau tidak buat demikian, pasti rakyat tidak dibela kerana kerusi Bebas boleh membuatnya 'goyang kaki' dengan hanya makan 'gaji buta' sedangkan kemenangan dulunya adalah amanah rakyat kerana tidak tahan dengan cengkaman Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata, sebagai salah seorang jentera PKR Cabang Bayan Baru memohon jutaan kemaafan kepada rakyat parlimen tersebut ekoran tindak tanduk Zahrain serta sikapnya keluar PKR untuk duduk sebangku dengan Datuk Ibrahim Ali.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/