SharpShooter Followers

Thursday, February 18, 2010

Asri cadang semua perarakan Agama diharamkan

KUALA LUMPUR, Feb 18 — Rentetan isu kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang merancang untuk membatalkan perarakan Maulidur Rasul, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengesyorkan agar semua agama di negara ini tidak membenarkan perarakan keagamaan masing-masing di jalan raya.

“Saya melihat secara lebih luas, bukan isu di Pulau Pinang sahaja. Saya berpendapat mana-mana agama tidak wajar menganjurkan perarakan sempena hari-hari tertentu perayaan mereka.

“Semua agama bererti bukan sahaja orang Islam, tetapi juga Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain... buatlah di tempat-tempat ibadat masing-masing tanpa menyukarkan orang lain,” kata beliau dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.

“Di negara Arab Saudi tidak ada perarakan Maulidur Rasul, di India pun saya rasa tiada perarakan sempena Thaipusam...,” kata beliau.

Kata beliau kalau pun hendak berarak jangan sampai “mengganggu lalu lintas.”

“Jalan raya untuk kegunaan kenderaan... orang bayar cukai jalan, kita akan makan masa mereka, menyebabkan pemandu kenderaan kerugian masa dan wang, mengganggu emosi apabila kita menyebabkan kesesakan jalan raya,” katanya.

Isu perarakan Maulidur Rasul menjadi perhatian ekoran laporan akhbar bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat bercadang untuk membatalkan perarakan sempena hari keputeraan Nabi Muhammad SAW tahun ini.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Ketua Menterinya Lim Guan Eng dengan menganggap bahawa laporan Utusan Malaysia sebagai satu pembohongan.

Mengulas lanjut isu itu dalam blognya, Asri berkata “tiada teks mana-mana agama yang menyatakan disuruh menggunakan jalan raya untuk melakukan upacara agama.”

“Upacara agama yang hanya membabitkan pengikut agama masing-masing sepatutnya dibuat di tempat ibadah agama masing-masing, atau tempat yang dimiliki atau disewa untuk upacara tersebut.

“Menggunakan jalan raya untuk upacara keagamaan boleh menyebabkan kesesakan, atau ditutup laluan. Ini mengganggu, bahkan merampas hak pengguna lain yang tidak terlibat dengan upacara tersebut,” katanya.

“Islam tidak membenarkan penganutnya berbuat demikian, juga semua agama yang menghormati masyarakat awam tidak mungkin boleh membenarkan hal seperti ini,” katanya.

Asri berpendapat gangguan kepada pengguna jalan raya yang lain boleh menimbulkan perasaan tidak senang atau kebencian terpendam antara penganut agama.

“Seorang Muslim mungkin akan tidak puas hati apabila perjalanannya terhenti disebabkan upacara agama lain yang dibuat atas jalan raya raya. Demikian juga perasaan penganut agama-agama lain.

“Sesetengah upacara keagamaan telah mengotor atau mencemari kebersihan jalan raya yang mengganggu pemandangan orang awam.

“Juga menyusahkan pihak majlis perbandaran untuk membersihkan upacara agama yang tidak kongsi oleh semua masyarakat itu,” katanya.

Kata Asri beliau berpendapat amat tidak wajar jalan raya dijadikan tempat perarakan keagamaan mana-mana agama.

“Jika perhatian ini cuba diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, saya melihat kerajaan Selangor patut memberikan perhatian yang sama terutama di kawasan Batu Caves. Ini bukan kenyataan yang berat sebelah, tetapi terpakai untuk semua agama,” kata Asri kelahiran Pulau Pinang.

“Setiap agama patut hormati agama lain,” katanya.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/