24 Febuari 2010
TOLAK BERDEBAT : BUKTI SAIFUL BAHARI BAHARUDIN DAN PEMUDA UMNO PENGECUT DAN TAKUT UNTUK BERDEPAN DENGAN REALITI , HILANG JATIDIRI DAN HALATUJU SERTA MENGESAHKAN MEREKA ADALAH PENGKHIANAT MELAYU TERENGGANU
Belum pun sampai TUJUH (07) hari , Sdr. Saiful Bahari Baharudin ( Ketua Pemuda UMNO Terengganu ) telah menolak untuk berdebat dengan saya dalam tajuk AMK ATAU PEMUDA UMNO PERLU DIBUBARKAN : HALATUJU & SIAPA PENGKHIANAT MELAYU .
Beliau takut untuk berdepan dengan realiti malah bersikap “ baling batu sembunyi tangan “ dengan memberikan alasan dangkal dan melucukan, menunjukkan beliau dan Sayap Kanan UMNO Terengganu itu benar-benar lemah.
Penolakkan debat adalah bukti nyata beliau dan Pemuda UMNO bimbang, segala pekung dan nanah mereka akan terbongkar, dan sesungguhnya benarlah, mereka mengkhianati rakyat khususnya orang Melayu Terengganu.
Terang lagi jelas, Sdr Saiful Bahari dan Pemuda UMNO bukan sahaja tidak mempunyai halatuju, malah telah hilang jatidiri, menjadi mereka tidak lagi relevan untuk memimpin anak-anak muda negeri Terengganu .
Saiful dan ‘awak-awak’ Pemudanya hanya dilihat ‘gah’ menggunakan media tapi ‘kurang jantan’ untuk berpencak, berdepan digelanggang.
Oleh kerana itu, saya mencadangkan agar Sdr. Saiful Bahari ‘mengunci mulutnya’ dan duduk berdiam diri kerana beliau telah hilang kelayakan untuk memimpin pemuda UMNO Terengganu.
Terbukti Pemuda UMNO adalah golongan ‘kurang upaya’ yang hanya mampu berdiri bertongkatkan wang ringgit, dan menyuap ‘gula-gula rasuah’ kedalam mulut anak-anak muda negeri Terengganu dengan Dana Bakti Remaja atau Wang Ehsan.
Justeru, adalah wajar sdr. Saiful Bahari Baharudin meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Terengganu .
Sdr. Saiful juga gagal menjawab beberapa persoalan yang saya dan AMK bangkitkan berkaitan halatuju Pemuda UMNO yang penuh palitan kehitaman akibat gejala penyelewengan , rasuah dan salahguna kuasa kerajaan UMNO/BN Negeri Terengganu, termasuk kegagalan, ketidakadilan , pilih kasih , penginayaan serta kezaliman dalam melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat negeri Terengganu Darul Iman .
Beliau juga gagal memberikan penjelasan, keterlibatan beliau dalam syarikat multi-jutaan MZ Hakujaya Sdn. Bhd. yang beroleh projek runding terus, pembinaan jalan dari Kg. Jeram ke Kg. To’ Kong bernilai RM226 juta.
Beliau gagal menjelaskan kezaliman Umno dan BN Terengganu dalm perlaksanaan projek tersebut serta melibatkan 14 buah rumah rakyat bakal dirobohkan di Kg. Banggol Donas .
Saiful juga gagal, menafikan penjualan projek tersebut kepada seorang Kontraktor bukan Melayu, lalu menelan sendiri airliur dan ludah dari tempikan slogan “ketuanan Melayu” yang dilaungkan oleh Pemuda UMNO.
Kasihan ahli – ahli pemuda UMNO di cawangan-cawangan, yang hidup “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, sedang pemimpin pemuda UMNO seperti Saiful, meraih laba, melonggok harta dan kaya raya dengan keuntungan atas angin, cari projek dan jual projek.
Malang bagi rakyat yang terus teraniaya, ditindas dan dizalimi, secara halus dan jelas, Pemuda Umno bukan lagi membela dan menjaga kebajikan rakyat, tetapi ‘membela dan menyembelih’ rakyat.
Saya dan AMK Negeri Terengganu menyeru dan mempersilakan, ahli-ahli Pemuda UMNO agar keluar dan meninggalkan parti ‘racist’ itu.
Saya mengalu-alukan mereka menyertai Parti Keadilan Rakyat atau sebarang parti dalam Pakatan Rakyat yang telah membuktikan membawa perubahan ‘cakna’ dan menjaga kebajikan sepertimana yang dilaksanakan di negeri Selangor , Kelantan , Kedah dan Pulau Pinang .
Dasar Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui bersama parti-parti Pakatan Rakyat adalah lebih mengutamakan kepada pembangunan insan, ekonomi, pendidikan, kesihatan, hak-hak wanita, generasi muda, kakitangan kerajaan , pekerja swasta, petani, nelayan dan seluruh rakyat .
Debat adalah merupakan adalah platform terbaik yang diamalkan oleh negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat dalam memberikan penjelasan dan hujah yang professional , fakta dan mudah difahami oleh rakyat . Rakyat akan dapat menilai dengan baik tanpa prejudis. Malah amalan tersebut berlaku dalam sidang parlimen serta Dewan Undangan Negeri sebelum sesuatu dasar atau polisi diluluskan .
Sekiranya debat tidak berguna , bubarkan sahaja sebarang pertandingan debat atau bahas yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Hujah Sdr. Saiful terlalu dangkal dan kebudak-budakkan .
Fariz Musa
Ketua AMK Negeri Terengganu
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/