SharpShooter Followers

Thursday, February 04, 2010

Ibu tunggal gigih besarkan 11 anak

BUKIT TEH – Seorang isteri yang kehilangan suami sejak dua tahun lalu ekoran penyakit yang tidak dapat dikesan, kini, menjalani kehidupan yang sukar apabila terpaksa memikul bebanan membesarkan 11 anak yang berusia antara dua hingga 19 tahun.

Azizah Romli,42, yang tinggal di Kampung Cherok To’kun berkata, dia kini perlu bekerja lebih keras untuk mencari rezeki berikutan 10 daripada 11 anaknya itu masih belajar di sekolah rendah, menengah dan seorang di kolej kerururawatan di Perak.

Menurutnya, walau pun terpaksa hidup dalam serba kekurangan, namun dia tidak sedikit pun merungut dan berputus asa dengan nasib yang menimpa, sebaliknya cuba untuk mencari wang tambahan bagi memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang sempurna.

“Saya mengambil upah membungkus keropok secara sambilan dengan kadar bayaran sebanyak RM3 untuk 1,000 paket. Selain itu, saya ada mengasuh dua kanak-kanak dan mendapat upah sebanyak RM300 sebulan.

“Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 untuk anak-anak juga diterima. Pun begitu, ia sememangnya tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup dan perbelanjaan persekolahan yang tinggi. Namun, saya menggunakannya dengan jimat agar semuanya cukup,” katanya.

Dia berkata, kadangkala dirinya berasa agak penat kerana terpaksa melakukan pelbagai kerja dalam satu-satu masa, tetapi ia tidak langsung mematahkan semangatnya demi membesarkan zuriat yang ditinggalkan arwah suami.

Katanya, mujurlah sebelum pergi, arwah suami, Noor Azimi Ishak@Hassan, yang merupakan bekas tukang rumah meninggalkan sebuah rumah untuk dia dan anak-anak berteduh dari panas dan hujan.

Ibu cekal ini berkata, anak-anaknya juga tidak pernah sesekali merungut dan mereka seolah-olah memahami penderitaan yang ditanggung ibu mereka.

Dalam pada itu, penderitaan yang ditanggung Azizah mendapat perhatian daripada sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Wanita Tanpa Suami (Watami) yang berkunjung ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan.

Pengerusinya, Hamizah Che Amat berkata, bantuan yang diberikan pada hari itu berupa wang tunai RM250 yang disumbangkan penaja, Penzoil dan Naza Hotel.

Menurutnya, Watami merupakan sebuah badan NGO yang berperanan dalam membela dan membantu kaum wanita yang tidak mempunyai suami serta mempunyai jumlah tanggungan yang ramai.

“Bantuan diberikan kepada Azizah memandangkan dia merupakan ibu tunggal yang mempunyai 11 anak yang perlu ditanggung.

“Selalunya, sumbangan ini diberikan dalam satu-satu program yang dijalankan, tetapi memandangkan dia tidak boleh menghadirkan diri pada hari itu, maka kami akan menghantar sendiri sumbangan ke rumah.

“Diharap dengan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung Azizah dalam membesarkan kesemua anak-anaknya,” katanya.

Azizah ketika ditemui mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam memberikan sumbangan tersebut.

Katanya, wang yang diberikan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam menjalani kehidupan seharian.

Azila -Sinar Harian


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/