SharpShooter Followers

Tuesday, November 30, 2010

Bantahan terhadap Azizah



PULAU PINANG 29 Nov. – Kesal dan berang dengan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang diibaratkan seperti kacang lupakan kulit, kira-kira 200 ahli Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) Pulau Pinang berhimpun membuat bantahan di sini malam tadi.

Mereka kecewa dengan tindakan Dr. Wan Azizah yang berikrar untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu atas alasan golongan muda kaum itu perlu membesar dengan lebih bermaruah.

Walaupun hujan lebat tetapi ia tidak menghalang perhimpunan yang diadakan di Taman Sri Payung, Bayan Lepas itu, sebaliknya mereka terus bersemangat melaungkan takbir dan berarak sejauh 200 meter menuju Balai Polis Daerah Barat Daya bagi membuat laporan polis pada kira-kira pukul 8 malam.

Presiden Pewaris Pulau Pinang, Sabaruddin Ahmad berkata, pihaknya kecewa dengan kenyataan Dr. Wan Azizah yang seolah-olah tidak sedar bahawa kejayaannya selama ini adalah hasil keistimewaan ketuanan Melayu.

Menurutnya, Pewaris juga mahu Presiden PKR itu memohon maaf secara terbuka kepada semua orang Melayu berhubung kenyataannya itu.

“Jika dia tidak minta maaf, Pewaris akan mengadakan bantahan secara besar-besaran dan menghantar memorandum kepada PKR sebagai bukti kebangkitan orang Melayu.

Sementara itu di SHAH ALAM – Kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya konsep Ketuanan Melayu ditinggalkan dikecam kira-kira 300 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara.

Setiausaha Agung Gabungan NGO Malaysia, Mohd Jurit Ramli, yang mewakili NGO berkenaan berkata, mereka akan bergabung dan mengadakan demonstrasi, mendesak Dr Wan Azizah memohon maaf.

“Kenyataan yang dikeluarkan beliau sungguh mengguris hati rakyat, terutama kaum Melayu.

“Kenyataan seperti itu menggambarkan betapa ceteknya pandangan pemimpin PKR itu. Beliau nampaknya tidak mengambil kira perjuangan pemimpin dahulu yang bergadai nyawa untuk mempertahankan Tanah Melayu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Wan Azizah perlu memohon maaf secara terbuka kepada Raja-Raja Melayu dan rakyat memandangkan kenyataannya mengenai konsep Ketuanan Melayu membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dan Raja-raja.

“Kami akan bermesyuarat bagi mengadakan demonstrasi mendesak beliau menarik balik kenyataan biadab itu dalam masa terdekat.

“Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan kerana akan merosakkan kaum Melayu dan agama Islam,” katanya.

Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata Tidak ada guna jika 'ketuanan Melayu' hanya diguna untuk mempertahankan pencuri dan perompak sebagai pemimpin negara,"

Sebaliknya beliau menegaskan, Melayu hanya akan terus menjadi tuan jika pemimpinnya bermaruah dan maruah orang Melayu adalah dengan Islam.

"Melayu akan terus jadi tuan kalau Melayu itu bermaruah, dan maruah orang Melayu adalah Islam.

"Tidak ada guna kita pertahan ketuanan Melayu, kalau pencuri jadi tuan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu 'ketuanan Melayu' yang cuba ditanam oleh Umno dalam pemikiran orang Melayu.

Jelasnya, Umno bertindak demikian kerana hanya mahu mengekalkan kuasa mereka, dan mahu memugar kembali kepercayaan orang Melayu kepada parti itu yang sudah luntur.

Sedangkan katanya, yang menjadikan Melayu lemah adalah sikap pemimpin Umno sendiri yang merosakkan kepercayaan itu.

Kepercayaan itu bukan sahaja pudar di kalangan Melayu, malah turut terkesan kepada bukan Melayu.

Menyedari hakikat itu, PAS katanya membawa pendekatan dakwah agar orang Melayu bermaruah dengan Islam.

Hasilnya, PAS diterima sebagai tuan, bukan sahaja oleh Melayu malah bukan Melayu juga.

"Orang bukan Islam boleh terima pemimpin Melayu di kalangan PAS untuk jadi pemimpin dia.

"Orang bukan Islam boleh terima Tok Guru Nik Aziz jadi pemimpin dia di Kelantan, Datuk Seri Ustaz Azizan di Kedah, Datuk Seri Nizar di Perak dahulu," katanya


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/