Oleh Wira Arjuna |
Cuma tinggal satu persoalan pokok sekarang – mana satu parti yang akan bakal diambil alih dan diterajui oleh Datuk Zaid Ibrahim. Sumber mengatakan usaha sudah mula digerakkan untuk membolehkan Zaid dan beberapa konconya mengambil alih sebuah parti untuk melancarkan kempen politik beliau seterusnya. Adalah difahamkan dua daripada tiga parti yang mungkin diambil alih adalah daripada Sabah dan Sarawak. Tidak ada sesiapa yang terkejut dengan laporan akhbar The Star yang memetik Zaid sebagai berkata bahawa beliau akan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat. Tidak ramai juga akan gusar dengan tindakan itu, baik di dalam parti mahupun di dalam Pakatan Rakyat. Malah, mungkin ramai akan berasa lega. Pagi tadi, seorang sumber yang rapat dengan kem Zaid berkata bekas ketua bahagian umno itu belum membuat keputusan muktamad dan akan memperjelaskan kedudukannya menerusi blog beliau. Ramalan bahawa Zaid akan menubuhkan parti mengikut acuan politiknya sendiri semakin nyata apabila beliau enggan meneruskan saingan untuk menjadi timbalan presiden Keadilan. Beliau mendakwa pemilihan parti tidak dijalankan secara telus malah berlaku penyelewengan. Dari saat itu, Zaid memperhebatkan serangan terhadap Anwar – “Anwar adalah punca kepada segala masalah, Anwar memihak kepada Azmin, Anwar dan Azmin harus berundur” adalah intipati serangan yang dilontarkan oleh Zaid. Zaid mahu menyakinkan semua orang bahawa beliau diserang oleh pimpinan parti hanya kerana menegur proses pemilihan Keadilan yang pertama kali menggunakan sistem satu ahli satu undi. “Saya dah muak terhadap serangan-serangan peribadi ini,” kata beliau kepada akhbar The Star. Hakikat ialah Zaid cuba menenggelamkan bahawa beliau dan penasihat-penasihat kanannya telah mula menghentam Anwar secara peribadi dan secara terbuka jauh sebelum proses pemilihan bermula. Di cabang-cabang tertentu, khususnya di Sabah dan Sarawak, Anwar menjadi mangsa penyebaran pelbagai fitnah, jauh sebelum pemilihan Keadilan bermula. Umum tahu siapa membiayai Portal Free Malaysia Today dan hubung kaitnya dengan Zaid. Serangan-serangan oleh Zaid dan konco-konconya terhadap Anwar, dengan menggunakan Azmin sebagai alasan, diperhebatkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Malah, Zaid turut cuba untuk mengheret PAS dalam agendanya, dengan mencadangkan beberapa pemimpin parti Islam itu berpotensi untuk mengambil alih teraju pakatan daripada Anwar. Cubaan itu gagal kerana pemimpin PAS dapat menghidu agenda politik yang dibawa oleh Zaid. Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Zaid tidak seharusnya mengaitkan parti lain dalam soal pemilihan Keadilan "Tidak perlu sabitkan PAS, sabitkan DAP dan tidak perlu juga menjadikan suasana lebih keruh. Tidak perlu nak heretkan dan babitkan yang lain," tegas beliau. Dalam tempoh singkat kurang dua tahun dalam Keadilan, Zaid dilantik sebagai ahli Biro Politik parti, calon pilihanraya kecil Hulu Selangor dan juga Pengerusi Keadilan Wilayah Persekutuan selain menjadi penyelaras untuk Pakatan Rakyat. Zaid akan mendakwa beliau tidak melobi untuk dipilih sebagai calon bagi PRK Hulu Selangor, namun kebenaran adalah sebaliknya. Kepercayaan yang diberikan oleh parti kepada Zaid cukup tinggi, malah ramai pemimpin Keadilan lain yang jauh lebih lama dalam parti tidak diberikan amanah serupa itu. Adakah semua amanah itu diberikan oleh pucuk pimpinan semata-mata untuk mencantas Zaid kemudian hari?. Tidak masuk akal. Masalah “duri dalam daging” berlaku kerana Zaid di lihat enggan berpegang kepada keperluan untuk menjadi “team player.” atau bertindak secara berpasukan, berlainan dengan tokoh-tokoh lain seperti bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng. Pilihanraya kecil Hulu Selangor adalah bukti nyata bagaimana Zaid mencuba untuk mengendalikan kempennya sendiri dan secara berasingan daripada apa yang dirancang oleh kerajaan negeri dan ibu pejabat parti. Beliau tewas. Zaid tidak memperlihatkan kesediaan untuk menerima kritikan tetapi sendiri lantang mengkritik. Beliau tidak senang menerima idea dan teguran orang lain tetapi mahu pendirian beliau didokong secara bulat. Justeru Zaid memulau mesyuarat-mesyuarat Biro Politik parti – “Membazirkan masa sahaja” Zaid memberitahu pemberita. Beliau merasakan lebih berbaloi untuk menetapkan agendanya sendiri dalam parti. Sikap sedemikian lambat laun tentunya akan membawa padah dan pengumuman Zaid untuk keluar parti hanyalah natijah peri lakunya sendiri. Sayugia diingatkan, Zaid bukan seorang sahaja yang mengkritik pemilhan parti, calon dan pemimpin kanan lain turut berbuat demikian namun mereka tidak pula menyerang Anwar dan bertindak keluar parti. Mustaffa Kamil Ayub, Badrul Hisham Shahrin, N Gobalakrishnan dan lain-lain hanya menuntut supaya pimpinan parti menangani aduan-aduan mengenai pemilihan secara lebih tegas demi kekuatan parti. Mereka terus mendokong perjuangan Keadilan. Mereka tidak menyimpan cita-cita menjadi untuk nakhoda dalam sebuah kapal yang sudah pun mempunyai nakoda teruji. Mereka lebih rela berusaha untuk membaiki proses pemilihan demi menyuburkan lagi demokrasi dalam Keadilan supaya parti itu terus bergerak atas landasan yng dituntut oleh rakyat. Dengan meninggalkan Keadilan, Zaid kini mempunyai ruang luas untuk membina kapalnya sendiri dan sekali gus menjadi juragannya. |
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/