Beliau membuat pengakuan itu dalam satu forum bertajuk "Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah penyelesaiannya?
Oleh itu Farid menyarankan supaya rakyat khususnya orang Melayu "menutup buku" kesalahan dan kelemahan kepimpinan Umno negeri itu sehingga mengakibatkan penghakisan tanah milik Melayu.
Dua ahli panel dalam forum itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Azmi Abdul Hamid membidas saranan yang tidak bertanggungjawab itu.
Bagi mereka istilah "tutup buku" tidak wajar digunakan sebaliknya episod mengecewakan itu patut dijadikan iktibar oleh orang Melayu dalam memilih pemimpin mereka.
Sehubungan itu, mereka menyarankan agar kelalaian dan sikap tidak beramanah Umno sewaktu berkuasa di Pulau Pinang dijelaskan dengan teliti agar generasi muda boleh mengenal pasti parti mana yang telah merosakkan bangsa sendiri.
"Sekarang bukan masanya buat kajian bahkan kena menyedari kenapa boleh berlaku begitu. Walhal ketika Umno berkuasa dan menjadi Timbalan Ketua Menteri serta memegang exco tanah tetapi tidak mampu berbuat apa-apa dalam urusan tanah," ujar Mujahid.
Pemimpin Umno pengkhianat bangsa
Azmi pula berkata, "orang Melayu lebih gemar kepada wang ringgit yang ditawarkan ekoran mainan orang tengah yang terdiri daripada kepimpinan politik Melayu yang kadang-kadang bercakap isu penghakisan tanah tetapi dalam masa yang sama mereka adalah pengkhianat."
Di forum yang sama, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Dato’ Seri Yusuf Latiff mendedahkan satu persatu sikap pentingkan diri pemimpin Umno yang asyik mencari nama, tanpa memikirkan kerja kuat mereka selama ini merugikan perjuanggan mempertahankan tanah orang Melayu.
Beliau mengambil contoh Koperasi Tunas Muda yang dahulunya begitu aktif menjaga kepentingan tanah orang Melayu tetapi kini memberi peluang kepada kaum lain terutamanya dari segi usahasama pembangunan.
"Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Koperasi Nusantara, dan banyak lagi koperasi yang diterajui oleh Umno berkubur kerana sikap tidak amanah," tegas beliau.
Walaupun pernah menerajui koperasi, Yusuf kurang senang dengan matlamat koperasi kini yang disifatkan lebih berorientasikan keuntungan dan tidak lagi berfungsi menghalang penghakisan tanah orang Melayu di semua daerah Pulau Pinang khasnya di Barat Daya dan Timur Laut bahagian pulau.
- harakah
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/