SharpShooter Followers

Sunday, November 07, 2010

Pemilhan Keadilan 'HALAL' dihentikan segera.

Parti Keadilan Rakyat menafikan siri dakwaan aktivis sosial Haris Ibrahim bahawa kertas-kertas undi pemilihan pusat parti itu, yang berlangsung sejak 29 Oktober lalu, kini dijual oleh kem Azmin Ali.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan dakwaan itu sebagai “kenyataan liar Haris.”

“Borang yang Haris dedahkan itu adalah minggu lepas punya, sepatutnya sudah dihapuskan.

“Lagipun, warna borang minggu ini adalah berbeza dengan warna minggu lepas. Kalau (didakwa) ada jual beli kertas undi, mana kertas undi minggu ini,” kata beliau.

Selain itu kata beliau, Jawatankasa Pemilihan Pusat (JPP) juga tidak menerima apa-apa aduan walaupun sistem pemilihan kali ini membolehkan setiap calon yang bertanding menghantar ejen proses pengundian dan pengiraan undi (PACA) di setiap pusat pengundian.

“Kalau ada anasir jual kertas undi, tentunya PACA paling awal menyerang JPP, bukan seorang blogger liar,” kata beliau lagi.

Pentadbir Pemilihan Keadilan Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin juga menafikan perkara itu dengan menegaskan, beliau juga ingin tahu butiran lanjut mengenai tuduhan itu.

“Tidak benar... sebenarnya saya pun nak tahu dari mana, berapa banyak kertas undi boleh dibeli, harganya, tetapi kami telus (dalam mengendalikan pemilihan),” kata beliau

Calon jawatan naib presiden Nurul Izzah Anwar melihat dakwaan itu sebagai sesuatu yang berat.

“Saya memandang berat dakwaan ini dan saya menggesa agar siasatan mendalam dijalankan berhubung perkara ini,” kata Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ditanya tulisan Haris semalam.

Pada masa yang sama beliau meminta ahli-ahli parti bertenang dan berkata, parti harus mengambil tindakan tegas dengan menjalankan siasatan rapi.

“Sebaik sahaja siasatan selesai, parti harus mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mencuri harta parti, selain kerana telah membenarkan sekuriti dilanggar,” katanya lagi.

Sebanyak 68 cabang telah selesai mengadakan pemilihan pucuk kepimpinan pada hujung minggu lalu - pusingan awal tiga hari pertama - dengan Azmin kini mendahului Datuk Zaid Ibrahim dan Mustafa Kamil Ayub bagi pemilihan timbalan presiden.

Pada sidang media minggu lalu, Saifuddin telah memberi penjelasan berhubung kesilapan pada pengumuman keputusan rasmi yang menunjukkan Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, pada Isnin lalu mendahului saingan tiga penjuru jawatan nombor dua itu buat seketika.

Dalam blognya kelmarin di bawah tajuk ‘PKR, and its ballot papers, up for sale’ (PKR, dan kertas undi untuk jualan), Haris berkata, beliau akan menemui seseorang yang mendakwa mempunyai kertas undi, yang boleh digunakan dalam pemilihan kali ini dan akan menyerahkan kepadanya sebagai bukti.

Dalam tulisan susulan bertajuk “Kak Wan, what do you want me to do with these ballot papers? (Kak Wan, apa yang anda mahu saya lakukan dengan kertas-kertas undi ini) semalam, Haris berkata, beliau menemui lelaki berkenaan yang menunjukkannya kertas undi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Kertas undi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden semuanya membawa nombor siri manakala kertas undi MPP tidak.

“Dia memiliki 100 keping kertas undi kesemuanya,” tulis Haris dalam blognya The People’s Parliament.

Haris berkata, beliau bertanya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkannya tetapi dia enggan menjawab.

“Dia menjelaskan pengawas pemilihan JPP boleh memanipulasi senarai ahli yang menghadiri proses pemilihan, di mana peratusan keluar mengundi adalah rendah, diubahsuai ke arah peningkatan, dan dimasukkan kertas undi tambahan ke dalam peti undi,” katanya lagi.

Malah kata beliau lagi, di tempat tertentu tiada langsung senarai kehadiran ahli, keadaan yang membolehkan kertas undi tambahan dimasukkan ke dalam peti undi.

Haris memberitahu, lelaki berkenaan mengakui dia mendedahkan perkara berkenaan kerana kepimpinan yang dia memihak dilihat ditipu.

Malah menurut Haris, lelaki itu bertindak sedemikian dengan harapan sesuatu akan dilakukan untuk membetulkan keadaan itu dan jika tidak, tiada gunanya kekal dalam PKR.

Haris juga berkata, apabila ditanya siapa di belakang kejadian itu, lelaki berkenaan mendakwa Azmin dan sekretariat ibu pejabat dan beberapa anggota JPP di mana pengerusinya Dr Molly Cheah tidak lagi mempunyai kawalan ke atas jawatankuasa berkenaan.

Haris, peguam yang berpejabat di Bentong juga menunjukkan kertas undi yang didakwa diperoleh daripada lelaki terbabit dan mempersoalkan sama ada terdapat banyak lagi kertas undi di luar pada masa sekarang.

Haris juga bertanya sama ada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berjaya mempertahankan jawatannya tanpa cabaran akan melakukan sesuatu untuk mengatasi isu terbaru ini.

Malah dalam mesej Twitter semalam, Timbalan Presiden Senator Dr Syed Husin Ali pula berkata, “anggota-anggota PKR harus waspada terhadap blog-blog dan laman-laman web yang menabur pelbagai fitnah untuk gagalkan pemilihan parti.”

“Mereka punya agenda buruk,” kata beliau yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini.

Hari ini masuk hari kelima pemilihan dilangsung dan tinggal lima hari lagi.

Sharpshooter - Majoriti anak muda amat malu dengan perkembangan terkini dalam pemilihan Keadilan 2010. Pemilihan Keadilan 2010 wajar dihentikan segera. Jangan hina blogger setelah berkuasa, bukankah dahulu bloggerlah yang menjadi rujukan dan media alternatif Pakatan Rakyat sejak tahun 1998? Luahan terkini Mat Saman Kati di sini dan anak muda di sini.

Sepatutnya pemimpin atasan Keadilan insaf dengan kekalahan di Galas dan Batu Sapi. Sepatutnya mereka ambil pengajaran dari keputusan kekalahan dalam pilihanraya kecil tersebut dengan bermuhasabah dengan hukuman rakyat bukannya saling salah menyalah umno dan bn. Soal umno dan b-end gunakan media, jentera kerajaan, wang, pembangunan segera dan sebagainya itu perkara biasa. Sejak bila umno dan b-end tidak guna wang dalam pilihanraya?

Sharpshooter selaku penyokong Penerus Perjuangan Reformasi team Chegubard telah membuat beberapa laporan secara dalaman walaupun team Chegubard sedang mendahului. Ini bermakna bukan soal siapa menang siapa kalah tetapi ini soal ketelusan dalam keadilan. Ini soal masa depan Parti Keadilan Rakyat bukan soal individu yang bertanding.

Pemimpin boleh datang dan pergi, tidak akan ada pemimpin yang kekal sebab semuanya akan menemui ajal. Janganlah hanya kerana seorang pemimpin, rosak semua imej Perti Keadilan Rakyat. Biarlah ahli menentukan siapa pemimpin mereka tanpa dipaksa. Inilah pesanan Chegubard yang berjaya memikat hati anak muda Keadilan, Chegubard juga selalu berpesan, ini bukan soal Chegubard menang atau kalah, jangan taksub dengan Chegubard, jangan fanatik dengan Chegubard tetapi ayuh bersama Chegubard jika anak muda merasakan Chegubard boleh memimpin dan menegur pimpinan atasan. AMK wajib diberi nafas baru.

Akhir kata, kepada Saifudin Nasution, bertindaklah secara adil, siasatlah segala laporan secara adil, telitilah segala laporan dengan teliti sesuai dengan sifat anda yang memang amat teliti dengan angka dan fakta. Yang salah katakan salah, tidak ada kompromi.

Semoga Keadilan dapat bertindak segera sebab rakyat sudah menyampah dengan sesetengah pemimpin Keadilan. Ubah sebelum parah..ubah demi maruah.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/