SharpShooter Followers

Wednesday, November 24, 2010

Korea Utara serang Korea Selatan

SEOUL 23 Nov. - Korea Utara hari ini melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dengan melepaskan berpuluh-puluh tembakan meriam ke atas pulau Yeonpyeong, yang menempatkan kira-kira 1,000 tentera Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning, yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

Tentera Korea Selatan membalas serangan dengan bedilan meriam, kerajaan mengadakan sidang tergempar dalam bilik perang bawah tanah dan beberapa jet pejuang digerakkan dalam insiden sempadan terburuk sejak perang 1950-1953 ini.

Menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan, serangan ke atas pulau nelayan itu juga menyebabkan dua anggota marin Korea Selatan maut, sementara 15 anggota marin lagi dan tiga penduduk awam cedera.

Televisyen YTN melaporkan, Korea Utara melepaskan kira-kira 50 tembakan meriam ke arah pulau berkenaan, mengakibatkan berpuluh-puluh buah rumah rosak dan terbakar sehingga asap tebal boleh dilihat dari jauh.

"Sepasukan unit tentera Korea Utara melepaskan tembakan meriam sebagai tindakan provokasi pada kira-kira pukul 2.34 petang waktu tempatan (1.34 petang waktu Malaysia) dan pasukan tentera Korea Selatan melancarkan serangan balas sebagai pertahanan.

"Amaran ketenteraan Kelas A berikutan situasi tempur ini dikeluarkan serta-merta," kata seorang jurucakap tentera Korea Selatan kepada AFP.

Televisyen YTN melaporkan, jet tentera udara Korea Selatan turut dilihat berlegar-legar, selepas insiden di sempadan kedua-dua negara itu yang dianggap paling serius sejak sejak perang 1950-1953.

Penduduk pulau Yeonpyeong, Lee Jong-Sik memberitahu YTN, kira-kira 50 tembakan meriam dilancarkan ke atas pulau itu menyebabkan sekurang-kurangnya 10 rumah terbakar selain kawasan tepi bukit turut dijilat api.

Jurucakap Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak berkata, pemimpin tersebut segera mengadakan mesyuarat mengejut keselamatan.

Jurucakap itu berkata, Presiden turut mengarah pegawai-pegawai mengawal situasi dengan baik bagi mengelak ketegangan lanjut. - AFP



Sejarah Perang Korea
bermula sebagai perang saudara dari 1950 hingga 1953 di Semenanjung Korea, yang telah dibahagikan kepada kawasan taklukan Amerika Syarikat dan kawasan taklukan KRSS selepas Perang Dunia II. Perang saudara ini bermula pada 25 Jun 1950, apabila Korea Utara menyerang Korea Selatan. Peperangan ini berkembang pesat apabila Amerika Syarikat, dan selepas itu Republik Rakyat China campur tangan dalam konflik ini. Konflik ini tamat selepas gencatan senjata tercapai pada 27 Julai 1953.

Perang Korea merebak sehingga menjadi medan pertelingkahan ideologi – ideologi Komunisme (diterajui oleh Soviet Union, China dan dengan Korea Utara sebagai penggerak) dan ideologi demokrasi yang ditegakkan oleh Amerika Syarikat yang mahukan kerajaan Korea Selatan terus bertahan dan bertapak. (Ketika konflik ini bermula, terdapat beberapa medan persaingan ideologi yang dilancarkan oleh pergerakan komunisme seperti Darurat di Semenanjung Tanah Melayu, pemberontakan menentang penguasaan Perancis di Indochina)

China memberikan sokongan kuat kepada Korea Utara. Kesatuan Soviet juga memberikan sokongan material dan juga personnel – juruterbang pesawat Mig-15 yang bertembung dengan juruterbang Amerika Syarikat ramai terdiri daripada jurterbang Soviet. Korea Selatan menerima sokongan dan bantuan dari Bangsa-Bangsa Bersatu (dengan diterajui oleh Amerika Syarikat).

Di Korea Selatan, peperangan ini dikenali sebagai Perang 6•25 (Korea :6•25 (전쟁)) walaupun secara formalnya dipanggilsebagai Han-guk Jeonjaeng (Korea : 한국전쟁, bermakna “Perang Korea”. Di Korea Utara, konflik ini dikenali secara formalnya sebagai Perang Pembebasan Tanahair (Fatherland Liberation War (조국해방전쟁))

Amerika Syarikat secara rasmiya mentakrifkan perang ini sebagai operasi ketenteraman ataupun “policing action”, walaupun secara meluasnya konflik ini dikenali dengan panggilan Perang Korea. Penggunaan operasi ketenteraman oleh kerajaan Ameriak Syarikat (Pentadbiran Presiden Truman) adalah untuk mengelakkan keperluan Presiden Truman mendapakan mandat pengisytiharan perang oleh Kongres Amerika Syarikat.

Sebilangan pihak memanggil konflik ini “Perang Yang Dilupakan” (The Forgotten War) kerana konflik ini terlaksana pada skala yang besar tetapi tidak diberikan perhatian berbanding dengan Perang Dunia II dan juga Perang Vietnam.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/