Pendirian itu diumumkan beliau pada sidang media di sini pagi tadi.
Mustaffa sebelum ini mengemukakan memorandum desakan itu atas alasan wujud kecacatan dan kepincangan dalam proses pemilihan.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Molly Cheah berkata pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan bagi tempoh 2010-2013 tetap diteruskan walaupun ada gesaan daripada kalangan anggota parti supaya ia ditangguh atau dibatalkan.
Dr Molly Cheah berkata pemilihan itu tidak boleh dihentikan dengan begitu mudah semata-mata kerana ada pihak mendakwa berlaku kepincangan dalam sistem pemilihan.
Selasa lalu, Mustaffa yang juga Pengerusi Keadilan Perak berkata pembatalan dan perjalanan semula pemilihan di peringkat pusat adalah perlu kerana sehingga kini terdapat sebanyak 162 aduan telah dibuat terhadap kepincangan dan integriti JPP.
“Sememangnya saya amat memahami rintihan dan keluhan ahli dan kepimpinan akar umbi mengenai masalah yang berbangkit serta ketidakpuasan hati yang berlaku lantas mahu memboikot atau menarik diri dalam proses pemilihan atau memohon menangguhkan pemilihan parti.
“Namun demi kepentingan dan perjuangan parti jika pemilihan ini tetap diteruskan, saya akan kekal bertanding jawatan timbalan presiden walaupun dalam protes.
“Tindakan ini juga sebagai menghormati pandangan dan keyakinan ahli-ahli di peringkat akar umbi yang menginginkan saya terus bertanding bagi jawatan timbalan presiden Keadilan,” kata Mustaffa.
Justeru, Mustaffa mengajak semua ahli parti supaya bersama dengan beliau untuk terus mempertahankan maruah parti itu.
“Saya dengan penuh komitmen mengajak semua anggota parti bersama dengan saya mempertahankan maruah parti.
“Sesungguhnya saya merayu kepada semua ahli parti yang mengundi nanti supaya memberikan saya peluang untuk memenuhi harapan rakyat ini.
“Sekiranya saya diberi peluang, saya akan melaksanakan polisi rakyat dalam parti dengan mengangkat semula suara rakyat akar umbi, ahli parti dan golongan reformis sebagai suara utama parti,” kata beliau.
Mustaffa juga berkata, beliau akan memastikan kelangsungan politik nilai dalam parti serta menolak politik fitnah dan politik wang dalam parti.
Ketika ditanya sama ada bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan daripada pemilihan parti, Mustaffa berkata, “saya terima segala keputusan yang dibuat ahli sekiranya proses pemilihan berjalan dengan lancar dan adil.”
“Menang atau kalau itu tiada apa-apa bagi saya, saya akan terima keputusan yang dibuat selagi proses pemilihan berjalan dengan lancar, bersih dan adil.
“Saya sudah cuba yang terbaik, kini peluang untuk saya masih ada kerana masih banyak lagi ahli yang belum mengundi. Yang sudah mengundi seramai 10,000 ahli, akan mengundi 11,000 ahli dan yang belum mengundi ada lagi 25,000 ahli. Tiada apa yang mustahil dalam politik.
“Selain itu, penyokong Datuk Zaid Ibrahim juga sekarang memihak kepada saya. Terima kasih kepada mereka,” katanya.
Pada sidang media pagi ini, Mustaffa juga berkata dalam pertemuan dengan Dr Molly Cheah semalam JPP telah merumuskan tiga komitmen utama dalam memastikan badan itu benar-benar bersih, bebas dan adil.
“JPP telah merumuskan muafakat tiga komitmen iaitu JPP akan diangkat sebagai sebuah badan yang benar-benar berautonomi.
“JPP akan mewujudkan sebuah panel pemantau pakar bagi memantau tahap ketelusan dan intergriti JPP dalam pemilihan 2010.
“Ketiga, JPP akan melaksanakan tindakan-tindakan berdasarkan cadangan yang dibuat dalam memorandum terutamanya mengenai pengendalian aduan dan bantahan yang dikemukan sama ada di peringkat pemilihan cabang atau pusat.
“Malah Dr Molly Cheh juga berkata akan memecat mana-mana pegawai JPP yang berat sebelah,” katanya.
Sehubungan itu, Mustaffa sekali lagi mendesak supaya JPP mengambil respons terhadap aduan dan bantahan yang diterima.
“Berasaskan kepada situasi serta bersesuaian dengan politik nilai sebagai cagaran dan misi saya menawarkan diri bertanding timbalan presiden Keadilan, saya menegaskan JPP hendaklah segera meneliti dan membuat semakan terhadap aduan dan bantahan yang diterima.
“JPP juga hendaklah menjalankan siasatan terhadap ketidakadilan, ketidaktelusan yang berlaku sejak pemilihan parti,” katanya.
Perebutan jawatan timbalan presiden Keadilan kini menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Mustaffa dan seorang lagi Naib Presiden Keadilan Azmin Ali selepas Zaid memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding atas alasan wujud banyak kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan.
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/