SharpShooter Followers

Tuesday, August 16, 2011

BERSIH 2.0 - Razak tukang kasut tuntut RM10 juta



TEMERLOH, 16 Ogos: Seorang Pemuda Unit Amal yang pernah digambarkan oleh akhbar Berita Minggu sebagai 'perusuh yang membawa pisau' dalam himpunan Bersih 9 Julai lalu, menghantar notis tuntutan fitnah terhadap akhbar berkenaan.

Abdul Razak Endot, 33, dalam notis yang difailkan melalui syarikat guaman Sazali & Lim dan ditujukan kepada Ketua Pengarang Berita Minggu serta penerbit dan pencetak syarikat The New Strait Times Press (M) Bhd., meminta pihak berkenaan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta.

Dalam notisnya, pihak berkenaan juga diminta memberhentikan penyebaran fitnah dan menerbitkan permintaan maaf tanpa syarat.

“Tindakan ini perlu bagi membersihkan imej saya yang tercemar teruk akibat penyiaran gambar dan ulasan akhbar berkenaan,” katanya kepada Harakahdaily.

Akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Julai iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur di halaman muka depannya telah menyiarkan gambar seorang pemuda bertubuh sasa dan bertopeng sambil memegang pisau.

Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak, berkata tangannya memegang bendera jalur gemilang bukannya pisau sebagaimana kapsyen di bawah gambar akhbar berkenaan tetapi gambar tersebut telah diubah suai.


[Gambar: Ajak (berdiri, kiri) bersama pekerja di kedainya.]

Bercerita lanjut, Abdul Razak berkata beliau turun ke Kuala Lumpur pada perhimpunan tersebut sebagai anggota Unit Amal PAS yang diajar dengan disiplin tinggi. Beliau diarahkan mengawal keselamatan puluhan ribu rakyat di hadapan menara Maybank.

Katanya, pada masa itu Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata. Bagi mengawal pemimpin, beliau sempat mengutip kelongsong gas yang masih berasap itu lalu membalingnya ke atas rumput bukannya ke arah polis,” ujarnya.

Tambahnya lagi, gambar yang disiarkan akhbar berkenaan seolah-olah memegang pisau dan membaling batu sedangkan beliau memegang bendera jalur gemilang dan membaling kelongsong gas ke tepi.

Serentak dengan itu, beliau menganggap akhbar kawalan Umno itu berniat jahat dan fitnah sehingga merosakkan nama baik serta reputasinya serta dipandang rendah oleh masyarakat.

“Saya merupakan seorang peniaga dan imej yang dipaparkan oleh akhbar berkenaan amat negatif menyebabkan saya boleh dipandang serong oleh masyarakat dan pelanggan. Sebab itu saya mahukan keadilan dan imej saya dibersihkan.

“Saya juga sering terlibat dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan. Jadi jika gambaran ganas itu tidak ditarik akan terus merosakkan imej saya di mata masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Razak memberitahu notis yang telah dihantarnya itu memberi tempoh 21 hari kepada pihak akhbar berkenaan untuk dipatuhi. Jika tidak, tindakan undang-undang seterusnya akan diambil.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/